WAN AZIZAH WAN ISMAIL
WAN AZIZAH WAN ISMAIL 

Kebimbangan ini disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail beberapa hari lalu.

Tumpang bagaimanapun tidak mahu komen lanjut isu ‘sesuatu catatan dalam media sosial itu palsu atau tidak’.

Cuma Tumpang hendak bangkitkan suatu ketika dahulu betapa menularnya catatan-catatan palsu dan seumpamanya yang dibangkitkan YB Wan Azizah hari ini itu.

Dengan kata lain, catatan berupa dakyah, fitnah dan tohmahan yang begitu berbahang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tempoh hari.

Bukan sedikit benda-benda bercampur-baur betul salah ini hingga membadai teruk kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

Serangan-serangan dahsyat ini terutama dalam dua tahun menjelang PRU 9 Mei 2018 itu dari berdikit-dikit, menjadi ‘berguni-guni’ pula. Ada mengakui dek penangan itu mengakibatkan penguasaan 61 tahun BN berakhir .

RAFIZI RAMLI
RAFIZI RAMLI 

Mungkinkah Nga Kor Ming, Hew Kuan Yau (Superman Hew) atau Rafizi Ramli tahu siapa di sebalik tabir ‘pelempar cakera’ dakyah, fitnah dan catatan-catatan palsu ini?

Malah, Tumpang turut teringat isu yang pernah disebar oleh seorang pemimpin utama wanita dari PKR di laman Facebook dan Twitternya bertarikh 8 April 2018 yang mencatatkan “9 tahun Najib Razak memerintah, dihapuskan pelbagai subsidi termasuk minyak masak, petrol dan gandum”.

Bukankah itu suatu catatan palsu yang tentunya Wan Azizah tahu siapa gerangan penyebarnya itu?

Terimbas juga Tumpang akan tindak tanduk Kor Ming yang menyiarkan sekeping foto Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya bersama-sama beberapa anggota Kabinet dalam laman Facebooknya pada 29 Mac 2015. Penyiaran gambar itu diiringi dengan kata-kata yang merendah-rendahkan mereka.

Ekoran itu, Najib pada 11 Jun tahun sama memfailkan saman terhadap Kor Ming atas dakwaan tulisan Kor Ming itu memfitnah mereka dan mudah diakses para pengguna Internet di seluruh dunia.

Najib mendakwa kenyataan Kor Ming itu antara lain membawa maksud beliau menyalahgunakan kuasa dan mandatnya sebagai perdana menteri untuk kepentingan sendiri dan isteri beliau.

Bagaimanapun isu itu selesai pada Mei 2016 selepas wakil rakyat DAP itu menzahirkan perasaan kesalnya yang mendalam kerana penyiaran gambar itu.

Begitulah orang Melayu yang terkenal dengan sifat pemaafnya, meskipun Kor Ming selepas itu sanggup pula memuatkan ucapan Aidilfitri dengan menyertakan gambar rumah api berlatarbelakangkan bendera Amerika Syarikat dan dise­litkan perkataan In God We Trust serta Lord, Guide Our Nation Back To You dan motif tangan berdoa.

Apapun, hanya selepas PH menang sahaja, Kor Ming kelihatannya insaf diri dan dalam temubual beliau dengan akhbar Tumpang, Mingguan Malaysia tempoh hari, beliau menganggap itu semua ‘kisah lama dan akan belajar daripada kesilapan dahulu serta harus memperbaiki diri’.

Di akhir zaman, tangan mengambil alih perbuatan lisan. Kecelaan tangan bukan lagi pada mencuri, merompak, memukul dan senarai-senarai klasiknya. Kecelaan tangan ialah pada tingkah laku sebagai penaip perkataan di alam tersebarnya qalam!

Bagaimanakah tersebarnya pena mendatangkan bencana? Sedangkan pena itu mulia, hingga Allah bersumpah dengannya di dalam surah al-Qalam. Pena adalah alat menulis, menyokong perintah baca (Iqra’) dan menyempurnakannya.

Misalnya, twitter Tumpang mempunyai 45,000 ‘pengikut’. Apabila Tumpang tweet satu mesej, go to Hell with the UEC issue! ia dengan serta-merta boleh diulang cetak di skrin 45,000 pengikut itu sehingga 45 salinan.

Tambahan pula dengan retweet, atau dipetik menjadi poster atau print screen, satu perkataan jadi berganda-ganda...sesuatu yang mustahil berlaku di zaman kertas stensil.

Maka, kebimbangan disuarakan Wan Azizah itu sememangnya berasas. Eloklah tiada lagi catatan palsu mendominasi media sosial.

Cukuplah sekadar fakta-fakta yang berlegar - yang sesekali diselangi troll bermaklumat daripada Najib.