Mangsa yang kritikal meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa di Hospital Serdang. Selain mendapati ada kesan koyakan pada selaput dara dan juga dubur, terdapat juga kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa manakala tempurung kepala mangsa pecah akibat dihentak objek tumpul.

Kematian mangsa menyebabkan pihak yang didakwa melakukan perbuatan sadis ini disiasat atas tuduhan membunuh mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan Akta 574.

Insiden kejam ini membuat kita tertanya-tanya mungkinkah pengasuh berkenaan secara munasabahnya sedar bahawa sesuatu yang tidak baik terjadi kepada kanak-kanak yang diletak di bawah asuhannya?

Mengapa pula pengasuh berkenaan membiarkan suaminya yang menjaga kanak-kanak tersebut sedangkan pengasuh tersebut yang bersetuju unutk menjaganya? Bolehkan ini juga dikaitkan dengan perbuatan bersubahat?

Pengasuh terbabit juga boleh ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Undang-undang menyatakan bahawa pengasuh bertanggungjawab selagi kanak-kanak berada dalam jagaan pengasuh, walaupun mungkin berlaku kesilapan yang tidak disengajakan. Dalam masa yang sama, tindakan undang-undang juga boleh dikenakan jika pengasuh itu dibuktikan cuai, kerana kecuaian merupakan suatu bentuk kesalahan.

Berdasarkan peningkatan kes-kes sebegini di negara kita, berjayakah Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang diperkenalkan? Dasar ini berkobar-kobar meletakkan tanggungjawab bersama ke atas setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat dalam memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak.

Keselamatan kanak-kanak perlu diutamakan. Kepentingan terbaik kepada kanak-kanak turut diuar-uarkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (United Nations Convention on the Rights of the Child) (CRC).

Di Malaysia, kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun diberi perlindungan khas dan dikawal di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang diluluskan bagi tujuan menjaga kepentingan kanak-kanak. Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 pula dibuat sebagai penambahbaikan ke atas Akta Kanak-Kanak 2001 ini demi memperkasakan perlindungan ke atas mereka yang masih di bawah 18 tahun.

Merujuk Artikel 2(2) CRC, Malaysia sebagai negara ahli dalam CRC dikehendaki mengambil segala langkah yang sesuai untuk memastikan bahawa kanak-kanak dilindungi daripada semua bentuk diskriminasi atau hukuman berdasarkan status, aktiviti, pernyataan pendapat, atau kepercayaan ibu bapa kanak-kanak, penjaga yang sah, atau ahli keluarganya.

Malaysia memperuntukkan banyak hukuman dalam bentuk sekatan sebagai rintangan di antaranya Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi pertuduhan meliwat manakala seksyen 376B Kanun Keseksaan hukuman bagi perbuatan

merogol mangsa.

Bagi kesalahan melakukan seksual fizikal tanpa persetubuhan pula, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa pula diperuntukkan dalam seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2016. Namun begitu, perbuatan jenayah sadis ke atas kanak-kanak masih berleluasan malah semakin menjadi-jadi.

Sejarah juga pernah mencatat kes jenayah ke atas kanak-kanak sebelum ini di mana pada 3 Julai 2018, seorang pengasuh Asmarani Ghazali, 39 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh kanak-kanak berusia dua tahun di rumahnya di Taman Tuanku Jaafar.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, seorang warga emas Hashim Karim, 68 tahun dipenjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak kerana bersalah melakukan perbuatan keji memasukkan jari ke dalam kemaluan bayi 11 bulan (anak asuhan menantunya) pada 20 Ogos 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Seawal tahun 2012, suami kepada seorang pengasuh didakwa meliwat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tujuh bulan (yang di bawah jagaan isterinya) di dalam bilik air rumahnya.

Setakat ini banyak cadangan agar kerajaan mengambil tindakan drastik susulan insiden-insiden berkenaan di antaranya dengan menguatkuasakan undang-undang. supaya kerajaan harus mewajibkan semua pengasuh sama ada yang mengasuh di

kediaman sendiri atau pusat asuhan supaya berdaftar dengan kementerian.

Adakah saranan ini berkesan setakat ini? Ibu bapa juga disarankan lebih berhati-hati dalam memilih pengasuh. Tidak boleh menilai perangai seseorang hanya dari gambaran yang dipaparkan secara luaran.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa perlu peka dan segera berjumpa doktor jika anak didapati anak sakit selepas ditinggalkan dengan pengasuh. Kita perlu melakukan sesuatu sebelum kejadian jenayah ke atas kanak-kanak berleluasa.

Menurut Jawatankuasa Hak Asasi Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu daripada tiga mangsa rogol di India melibatkan kanak-kanak pada tahun 2014.

PBB turut mengeluarkan amaran berhubung penderaan seksual kanak-kanak yang berleluasa di negara berkenaan. Biro Laporan Jenayah Kebangsaan India memaklumkan, hampir 11,000 kes rogol melibatkan kanak-kanak dilaporkan di India

pada tahun 2015 di mana tiga kejadian rogol kanak-kanak berlaku setiap hari di New Delhi.

Menurut laporan tersebut, bandar berkenaan dilaporkan terkenal sebagai ibu negara ‘rogol’ dan pernah mendapat tumpuan dunia pada tahun 2012 berikutan kejadian rogol berkumpulan melibatkan seorang penuntut perempuan.

Kes keganasan seksual ini semakin menjadi-jadi dan kes yang terbaharu dilaporkan oleh Press Trust of India, melibatkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang menjadi mangsa rogol bapa saudaranya yang berusia 27 tahun di rumahnya sendiri pada Januari 2018.

Pada Oktober lalu di Amerika Syarikat, dua sahabat baik berdepan pertuduhan rogol selepas seorang daripada mereka didakwa merakam perbuatan rakannya memperkosa bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Isiah Dequan Hayes, 19, didakwa merogol bayi perempuan tersebut manakala rakannya, Daireus Jumara Ice, 22, pula didakwa merakam perbuatan tidak berperikemanusiaan itu. Hayes berdepan tuduhan merogol kanak-kanak yang serius sementara Ice didakwa bertanggungjawab secara jenayah atas perbuatannya merakam rakannya semasa memperkosa bayi malang itu.

Kedua-duanya ditahan di Penjara Shelby County dan tidak dibenarkan ikat jamin.

Ini antara pengajaran daripada kes-kes jenayah seksual yang melibatkan bayi-bayi dan kanak-kanak di luar negara. Mungkin daripada kes-kes ini kerajaan Malaysia boleh menjadikannya sebagai iktibar atau panduan terhadap sebarang tindakan dan hukuman bukan sahaja terhadap pelaku tetapi juga mereka yang bersubahat dengan pelaku.

Roos Niza Mohd. Shariff adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Undang-undang Universiti Utara Malaysia