Bagaimanapun sejak ledakan teknologi maklumat melanda dunia, keadaan berubah sekelip mata. Pengenalan internet dan pelbagai aplikasi media sosial seolah-olah memberi satu lesen besar kepada sesiapa sahaja untuk meluahkan pandangan dan buah fikiran sehingga sampai ke tahap keterlaluan.

Antaranya, posting berbaur kebencian dan kecaman ke atas agama Islam dan agama-agama lain.

Kejadian mencerca dan memperlekehkan agama sejak dari itu semakin menjadi-jadi dan sudah menjadi perkara biasa.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila beberapa akta yang kelihatan ­tegas dan keras sudah dimansuhkan. Pemansuhan itu dikatakan menjadi salah satu punca berleluasanya perbuatan sedemikian.Tulisan-tulisan yang ­mengandungi unsur-unsur kecaman, penghinaan dan kebencian kepada agama dan kaum dapat dilihat dalam laman Facebook, Twitter, YouTube atau Instagram, laman web atau blog.

Perkembangan ini begitu meresahkan masyarakat lebih-lebih lagi begitu cepat tersebar menerusi media sosial. Pencaci dan pencela tidak merasa takut kerana kebanyakan berselindung di sebalik akaun palsu.

Ada juga yang menghina secara terbuka atas alasan kebebasan bersuara dan hak asasi ­manusia. Mereka ini bagaimanapun menjadi pengecut dan lari meninggalkan negara apabila ­diburu pihak berkuasa kerana takut didakwa.

Pujian harus ­diberikan kepada pihak berkuasa terutama polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana bertindak pantas mengekang insiden mencaci atau mencerca kaum dan agama sepanjang musim Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini. Beberapa pelaku didakwa dan dikenakan tindakan termasuk dipenjara.

Menyedari kejadian ­seperti ini tidak akan berakhir dan berterusan, kerajaan baru-baru ini ­mencadangkan agar Akta Kebencian Agama dan Kaum diwujudkan bagi mengekang perbuatan menghina agama Islam dan ­agama-agama lain. Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana ­Menteri Datuk Seri Mujahid ­Yusof, setiap agama perlu diberi perlin­dungan dan tidak boleh dicaci atau dihina. Dalam sebuah negara majmuk ini, akta khusus seperti ini sudah tentu sangat diperlukan bagi menjaga keharmonian hidup ­pelbagai kaum. Peruntukan undang-undang dalam akta berkenaan dapat membendung insiden yang lebih ekstrem ­seperti pergaduhan, pertelingkahan dan keganasan sehingga boleh membawa pertumpahan darah.

Bagaimanapun timbul satu persoalan, perlukah lagi akta ­seumpama itu diperkenalkan dalam keadaan sudah ada beberapa akta dan peruntukan dalam Kanun Keseksaan sedia ada yang digunakan untuk menangani ­kes-kes seperti itu. Selama ini kes-kes sebegini akan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Kanun Keseksaan. Setakat ini nampak keberkesanan akta ini apabila pihak berkuasa bertindak menangkap, mendakwa dan menghukum si pelaku. Tidak dapat dipastikan sama ada peruntukan yang terdapat di dalam ke­dua-dua akta dan kanun itu masih lemah sehingga perlu diwujudkan satu akta lain.

Penggubalan akta tersebut jika mahu diteruskan nanti ­mestilah tidak bertindih dengan beberapa akta yang telah ada sekarang. Malah akta itu nanti hendaklah lebih bagus dan lebih berkesan dalam mencegah dan membendung insiden-insiden penghinaan ke atas agama. Akta itu juga ­biarlah digeruni sehingga tidak ada lagi kes satu-satu ­agama ­dicerca ­dengan begitu teruk ­sekali.

Keberkesanan sesuatu akta itu dapat dilihat dan dirasai apabila berjaya dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin dan adil.

­Mereka yang melakukan ke­salahan dikenakan tindakan tegas sekali gus menjadi teladan dan ­pengajaran kepada yang lain.

Tidak ada kompromi dalam ­soal-soal yang melibatkan ­keselamatan kaum dan ­agama.

Pada masa yang sama ­janganlah ada nanti pihak yang cuba membela atau mempertahankan individu atau ­kumpulan yang secara jelas ­melakukan ke­salahan di ba­wah akta ­berkenaan.

Tindakan ini tidak akan ­mem­bantu malah boleh ­m­em­burukkan lagi keadaan.

Tidak ada gunanya jika banyak akta pencegahan jenayah digubal tetapi pelaksanaan dan penguatkuasaan lembab dan perlahan. Keadaan ini sudah pasti memberi ruang kepada lebih ramai lagi pencaci dan pencela mengambil bahagian dalam kerja-kerja­ ­mencaci dan mencerca kaum dan agama orang lain.

Seperkara lagi, janganlah ­memansuhkan akta sedia ada hanya kerana merasakan akta itu tidak memihak kepada ­satu-satu pihak atau parti politik suatu waktu dahulu atau hanya kerana digubal oleh kerajaan sebelum ini.

Pandanglah dari sudut yang lebih besar dan berlapang dada. Setiap akta yang digubal dan ­diluluskan sudah tentu ada kepentingan ­nasional. Melakukan pindaan ke atas peruntukan-peruntukan yang ­dirasakan perlu adalah ­lebih baik daripada memansuhkan ­secara tergesa-gesa.