Perkahwinan adalah ikatan kasih sayang di antara dua insan yang berbeza jantina. Setiap individu mempunyai hak untuk berkahwin dengan sesiapa yang dicintainya berdasarkan kepada syariah Allah. Tradisi perkahwinan lelaki dan wanita dengan pasangan yang lebih muda bukan satu perkara yang janggal dalam agama Islam. Tradisi ini sudah diamalkan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam pada masa silam.

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Aisyah Abu Bakar yang terlalu muda bukan berdasarkan kepada hawa nafsu tetapi ia adalah penentuan daripada Ilahi supaya baginda mengambilnya sebagai isteri.

Perkara ini dijelaskan oleh baginda dengan sabdanya, “Sebelum menikahimu (Aisyah), aku pernah melihatmu dua kali di dalam mimpi. Aku melihat malaikat membawa secarik kain yang terbuat dari sutera. Kukatakan kepadanya, ‘Singkap­lah’. Malaikat itu pun menyingkapnya. Dan ternyata kain itu memuatkan gambarmu. Lalu kukatakan, “Jika ini merupakan ketentuan Allah, maka Dia pasti akan membuatnya terjadi”. Pada kesempatan lain, aku kembali melihatnya datang membawa secarik kain yang terbuat dari sutera. Maka kukatakan, ‘Singkaplah’. Dan ternyata kain itu memuatkan gambarmu. Lalu aku berkata, “Jika ini merupakan ketentuan Allah, maka Dia pasti akan membuatnya. (Hadis riwayat Bukhari Muslim dan Ahmad).

Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah ketika beliau berumur 6 tahun dan bersama dengan baginda ketika berumur 9 tahun. Umat Islam sepatutnya memahami bahawa Aisyah yang merupakan wanita pilihan Allah bukan boleh dibandingkan de­ngan kanak-kanak perem­puan yang lain yang mana kematang­an dan kebijaksanaan akal fi­kirannya sukar ditandingi.

Ketika umur 10 tahun beliau telah menyertai peperangan Badar dan Uhud bersama ba­ginda. Beliau diasuh dan dididik oleh Rasulullah SAW mengenai ilmu wahyu dan merupakan periwayat hadis yang disegani berdasarkan kepada kecerdasan akal dan pengalaman kehidupannya bersama baginda.

Selain itu beliau juga memiliki ilmu pengetahuan dalam bidang perubatan dan juga petah dalam perbahasan ilmu pe­ngetahuan.

Sosio-budaya masyarakat Arab dan dunia ketika itu amat berbeza dengan masyarakat dunia masa kini. Perkahwinan di antara kanak-kanak lelaki dan perempuan dan juga lelaki tua dan kanak-kanak perempuan adalah lumrah masyarakat ketika itu. Bagi masyarakat Islam masa kini perbuatan demikian adalah dianggap janggal dan tidak berperikemanusiaan.

Penentangan terhadap per­kah­winan lelaki tua dengan ka­nak-kanak perempuan yang be­lum berumur 18 tahun di­ha­ramkan oleh perundangan bagi negara-negara tertentu kerana me­reka khuatir berlakunya pe­nganiayaan terhadap kanak-ka­nak perempuan. Penganiayaan tersebut sering berlaku dalam negara-negara miskin yang mana kemiskinan merupakan faktor utama ibu bapa mengahwini anak-anak perempuan mereka de­ngan lelaki lebih tua walaupun berpoligami. Di antara negara-negara miskin yang mengamalkan perkahwinan ini adalah negara-negara di Asia Selatan, seperti India dan Bangladesh, Afrika Utara, Sub-Sahara seperti Niger, Chad, Mali dan Guinea dan juga di Amerika Latin.

Terdapat banyak kes yang mana kanak-kanak perempuan yang dikahwinkan dengan lelaki tua sering menjadi mangsa pe­ng­aniayaan dan dijadikan hamba. Misalnya di Kashmir, ba­nyak kanak-kanak dari keluarga mis­kin dijual kepada lelaki tua yang mempunyai wang dengan harga 500 Rupee 20,000 Rupee yang mana keadaan kehidupan kanak-kanak perempuan tersebut amat sukar dan derita ketika berada dalam genggaman suami tua. Berdasarkan kepada kes penganiayaan ini maka negara-negara membangun seperti Malaysia mengharamkan perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur yang ditentukan oleh negara.

Lelaki Islam dalam era ini se­patutnya memahami konsep membantu kanak-kanak dan wanita miskin dalam perspek­tif yang lebih rasional supaya tidak berlaku kes ‘sambil menyelam sambil minum air’. Per­kahwinan dengan wanita dan ka­nak-kanak miskin dengan amalan poligami bukan satu tindakan yang boleh menyelamatkan wanita malah ia juga boleh menggugat keharmonian rumah tangga.

Bantuan secara ikhlas tanpa sebarang niat untuk mengambil kesempatan terhadap insan yang terdesak dan menderita lebih dihargai oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada hari yang disambut oleh para hamba melainkan di sana ada dua malaikat yang turun, salah satunya berkata, “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang-orang yang berinfak (bersedekah)”. Sedangkan (malaikat) yang lainnya berkata, “Ya Allah berikanlah kehancuran kepada orang-orang yang menahan (hartanya).” (Hadis riwa­yat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan kepada keisti­mewaan bersedekah, maka ber­lumba-lumbalah membuat ke­bajikan tanpa mengharapkan pembalasan dunia. Lembutkanlah hati terhadap kanak-kanak perempuan yang perlu dilin­dungi seperti mana melayani anak-anak sendiri semoga kebaikan dan kebajikan tersebut dirahmati oleh Allah.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).