Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam didapati serius sejak 10 tahun kebelakangan ini dan dikhuatiri terus meningkat sekiranya tidak segera dibendung. Kenyataan ini adalah berdasarkan rekod sebanyak 665 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penjawat awam sepanjang tahun 2016 hingga Februari lalu yang mana daripada jumlah itu, seramai 548 penjawat awam ditangkap manakala 63 kes lagi dituduh di mahkamah.

Sementara itu, satu lagi statistik pula menunjukkan, sejak 2014 hingga tahun lalu, SPRM menahan seramai 2,329 orang dan daripada jumlah itu, 54 peratus membabitkan 1,267 individu berumur 40 tahun ke bawah di mana 635 atau 50 peratus dalam lingkungan usia itu adalah penjawat awam yang terlibat dalam rasuah.

Dalam pada itu, bilangan penjawat awam yang terbabit dengan hutang yang serius juga membimbangkan di mana statistik menunjukkan seramai 3,276 penjawat awam diisytiharkan bankrap sejak 2013 hingga tahun lalu dan daripada jumlah itu, 617 kes bankrap direkodkan pada 2013 diikuti 606 kes (2014), 960 kes (2015) dan 1,093 kes tahun lalu. Kes bankrap melibatkan penjawat awam adalah sebahagian daripada keseluruhan 82,383 individu yang diisytihar bankrap oleh mahkamah.

Secara keseluruhannya statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa ini jelas menunjukkan penjawat awam di negara ini sedang berhadapan dengan masalah dan cabaran kewangan yang cukup kompleks. Walaupun bilangan penjawat awam yang terlibat dengan rasuah dan bankrap masih kecil berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam yang dianggarkan sekitar 1.6 juta orang, namun masalah sebilangan kecil ini tetap dilihat menjadi kudis dan nila yang boleh menjejaskan reputasi perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Justeru untuk menangani isu ini kita perlu melihat punca yang menyebabkan penjawat awam terbelenggu dengan masalah ini. Secara umumnya kita boleh rumuskan ia berpunca daripada desakan kehidupan dan ­keadaan ekonomi individu penjawat awam itu sendiri. Gaji yang secara relatifnya masih rendah, bilangan ahli keluarga yang perlu ditampung ramai, kos sara hidup yang tinggi terutamanya di kawasan bandar adalah antara faktor utama yang mendorong penjawat awam terpalit dengan gejala seperti ini.

Bagi mengatasi desakan hidup yang dihimpit dengan peningkatan kos sara hidup mereka terpaksa memilih jalan yang tidak betul iaitu menyalahgunakan kuasa dan mengambil rasuah. Sebahagian lain pula bertindak nekad untuk berhutang bagi mengatasi masalah kesempitan hidup sehingga akhirnya diisytihar bankrap kerana gagal membayar hutang. Jadi di samping kita menangkap dan mengambil tindakan kepada semua yang terbabit dengan rasuah, kita juga wajar memikirkan pendekatan yang terbaik untuk membantu penjawat awam yang bermasalah seperti ini terutamanya dari kelompok kumpulan pelaksana yang masih hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sehingga terpalit dengan rasuah dan hutang yang serius.

Perkara ini penting kerana statistik rasuah dan bankrap dalam kalangan penjawat awam akan terus meningkat jika kita tidak membantu mereka menyelesaikan masalah asas yang mereka dihadapi. Andai masalah gaji yang rendah mendorong mereka untuk terbabit dalam masalah seperti ini eloklah kerajaan melihat semula skim gaji penjawat awam secara menyeluruh. Walaupun keadaan ekonomi kurang memberangsangkan dan kerajaan juga sebelum ini ada membuat semakan kadar gaji dan membuat penambahbaikan kepada beberapa skim perkhidmatan membabitkan peningkatan gred dan gaji namun persoalannya adakah ia sudah setimpal dengan keperluan kos sara hidup semasa di sebuah negara yang pesat membangun ini?

Di samping itu, ruang untuk penjawat awam mencari pendapatan sampingan juga perlu diperluaskan. Mungkin boleh diperkenalkan skim khas untuk melatih penjawat awam yang didapati mempunyai masalah kewangan serius untuk menjadi usahawan. Ini boleh dikatakan tanggungjawab sosial kerajaan kepada penjawat awam dari kelompok yang ada masalah kesempitan hidup. Latih supaya mereka boleh menceburi bidang keusahawanan atau perniagaan secara kecil-kecilan dan sambilan terutamanya selepas waktu pejabat dan hari cuti.

Penjawat awam juga manusia biasa yang mahukan kehidupan yang lebih baik. Jadi kita harap kerajaan dapat memikirkan kaedah terbaik untuk membantu penjawat awam yang terlibat dengan masalah seperti ini supaya isu ini tidak berterusan. Rasuah tetap salah dan kita menyokong usaha SPRM untuk membersihkan nama baik perkhidmatan awam dengan menangkap semua yang bersalah namun inisiatif untuk mencari punca masalah dan mencegah mereka daripada terbabit dengan gejala tidak sihat ini juga perlu diberi perhatian sewajarnya.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).