Cuma dalam ruang terhad ini, Tumpang lalu nak bangkitkan sedikit isu pasal dunia akademik di universiti-universiti awam.

Kita semua maklum Mac tahun lalu, Universiti Malaya tersenarai dalam ranking 100 Universiti Terbaik Asia 2017 oleh Times Higher Education (THE).

Universiti Malaya, entri baharu dalam senarai berada di kedudukan ke-59, diikuti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di tangga 120 teratas.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di tangga 121-130.

Universiti Teknologi Petronas pula menduduki ranking 141-150, Universiti Sains Malaysia (ranking 151-160) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (161-170).

Dalam pada itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia berada di kedudukan 251+.

Syabas diucapkan atas pencapaian yang bukan mudah ini buat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Apa pun semua ini bermula dengan pelan strategik pengajian tinggi sejak 2007 yang waktu itu diterajui Datuk Seri Mustapa Mohamed, disambung oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum diteruskan oleh menteri sekarang, Datuk Seri Idris Jusoh. Syabas kepada ketiga-tiga menteri.

Begitupun ketika Tumpang lalu bersembang santai dengan seorang profesor yang memiliki pengalaman cukup luas dalam kajian penyelidikan baru-baru ini, beliau menyarankan supaya kementerian ‘tengok-tengokkan sikit’ beberapa isu untuk kebaikan bersama.

Katanya, ada kalangan Naib Canselor (Vice Canselor/VC) dan pensyarah di universiti awam dan swasta menulis kepadanya melalui Facebook dan juga menerusi program-program tertentu mengadu dengan meluahkannya begini:

  • Ada banyak perkara mereka suarakan dari hasil pengalaman untuk kebaikan negara. Tetapi suara mereka disekat oleh para pegawai bukan akademik, kebanyakannya pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). Bagilah peluang kepada mereka bersuara. Walaupun constructive criticism, kebanyakannya baik asalkan tidak terlibat dalam politik.
  • Pihak berkenaan (atasan) dikatakan terlalu banyak penasihat. Ramai penasihat ini dah ter­tinggal zaman dan tidak terlibat dalam tecno academic. Mereka ini give yesterday’s solution to today’s problems.
  • VC sepatutnya dikawal oleh menteri dan Pengerusi Lembaga. Tidak perlu adanya PTD yang ‘mengawal’. Kerana ‘kawalan’ ketat ini, pandangan VC tidak tersiar di akhbar.
  • Universiti-universiti awam tidak boleh sekadar bersandarkan rating sebagai tanda mercu kejayaan. Kena lihat juga sama VC dan pensyarah itu gembira. Kalau VC dan tenaga pengajarnya mengeluh, itu tunjukkan kecapaian keterpaksaan. Jika ini berlaku, ia akan menjauhkan pensyarah dari kerajaan.
  • Ini semua bukan salah kementerian, tetapi mesti dilihat semula perkara ini untuk mengekang denial syndrome. Universiti perlukan suasana kerja yang gembira, dengan itu pensyarah akan sanggup beri hasil kerja terbaik.
  • Kenaikan pangkat seseorang pensyarah ketika ini lebih dinilai dari hasil kajian penyelidikan mereka sedangkan yang bagus mengajar dikesampingkan. Mesti ada keadilan. Meskipun sistem penilaiannya ada, tetapi tidak dipraktikkan. Pengiktirafannya agak perlahan. Masih wujud prejudis terhadap pensyarah yang bagus mengajar.
  • Ada pensyarah yang tidak ada family life kerana nak kejar kenaikan pangkat hingga keluarga tidak dihiraukan. Perlu ada kelonggaran dalam kajian kenaikan pangkat.
  • Kaji semula syarat kenaikan pangkat di mana tanpa doktor falsafah (Ph.D), pensyarah tidak naik pangkat ke DS/DM 52. Sedangkan guru sekolah boleh naik pangkat ke DG 52 tanpa Ph.D.
  • Penyelidikan yang dibuat tidak cukup sumber kewangan. Walaupun hasil penyelidikan itu ada, ia kurang dikomersialkan.
  • Akibat stress, ramai pensyarah menghidap penyakit kronik yang dalam jangka masa panjang merugikan negara.
  • Sistem merit perlu dilonggarkan untuk pelajar miskin.

Semua ini dibangkitkan profesor berkenaan untuk kebaikan dunia pendidikan negara. Ti­dak ada motif politik, melainkan untuk mendekatkan tenaga akademik dengan kerajaan yang terbukti melalui kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjulang bidang akademik negara ke persada antarabangsa.

Kecurangan politikus yang korup...

Al-KISAHNYA, maka Parti Pri­bumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR meraih jumlah kerusi bertanding yang sama banyak, masing-masing 52 dan 51 kerusi.

Kata orang-orang lama yang banyak pengalaman dalam satu WhatsApp grup yang turut di­sertai Tumpang lalu yang lebih muda ini, ia menceritakan satu hal yang interesting. PPBM itu Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad). PKR itu Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Dr. Mahathir itu Perdana Menteri (PM) dan Anwar itu Timbalan Perdana Menteri (TPM) tempoh hari.

Situasi pengagihan kerusi dan meletakkan Dr. Mahathir sebagai ca­lon PM sementara oleh Pakatan Harapan yang dipersetujui mereka kelmarin, mirip keadaan 1998 ketika masing-masing PM dan TPM juga.

“Jika ini benar-be­nar berlaku, mak­nanya segala tragedi dalam masa 20 tahun lalu (kes liwat membabitkan Anwar) ha­nyalah drama atau sinetron. Tiada perjuangan dan tiada idealisme, hanya retorik.

“Sebut Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz iaitu anak Dr. Mahathir) dan Nurul Izzah (anak Anwar)...anak-anak depa sahaja...nepotisme...anak-anak kita tak ada chance ka (pegang jawatan tertinggi negara)?”, kata salah seorang daripada mereka.

Mengikuti sembang santai mereka ini, sambung rakan-rakan grup itu lagi, ia jelas suatu kecurangan politikus yang korup. Ada watak-watak utama dan sokongan dengan plot ber­pusing-pusing berterusan ceri­tanya - sehingga terkagum bahasa retorik mereka.