Niat hendak membantu keluarga akhirnya menjerumuskan Azrina Ariffin, 39, ke kancah muflis. Tindakan itu akhirnya memakan diri apabila dia ditinggalkan terkontang-kanting menghadapi kehidupan berstatuskan muflis tanpa pertolongan mereka yang pernah dibantunya dahulu.

Episod kehidupan Azrina bermula ketika dia membuat pinjaman peribadi semasa berkhidmat sebagai kakitangan awam.

“Kemudian saya buat beberapa pinjaman peribadi lagi untuk tolong keluarga terutama adik-beradik yang dalam kesusahan.

“Sebab sayangkan adik-beradik, saya tidak fikirkan apa yang bakal berlaku kepada saya ketika itu. Niat saya, cuma mahu tolong mereka walaupun ia adalah hutang dan mereka perlu bayar semula”, katanya kepada S2 baru-baru ini.

Namun, apa yang berlaku benar-benar menghiris hati Azrina apabila ‘darah daging’ sendiri yang pernah dibantu tidak mengendahkan rayuannya agar membayar hutang ketika dia dalam kesusahan.

Sehingga satu ketika, Azrina diisytiharkan muflis dan tidak lagi mempunyai punca pendapatan kerana terpaksa berhenti kerja.

“Melalui saat itu, saya sangat menderita. Lama juga turun naik Jabatan Insolvensi kerana tiada wang mahu ke sana untuk urusan muflis.

“Akaun bank, saham, dividen malah ganjaran saya berkhidmat dalam sektor awam sebelum ini dibekukan. Hendak minta kerja juga bukan senang dengan status begini,” katanya.

Tambah Azrina, punca utamanya apabila berhutang untuk menutup hutang-hutang yang lain dan itu satu kesilapan sehingga jumlah keseluruhan sebanyak RM230,000.

“Sayangkan adik-beradik, keluarga memang perlu tetapi jangan sampai memakan diri sendiri sampai muflis kerana terlalu baik hati sangat,” katanya.

Walaupun berdepan dugaan itu, Azrina kini berniaga kecil-kecilan dan tidak lagi malu mengakui status muflis.

“Saya mendapat begitu banyak sokongan daripada masyarakat sekeliling untuk terus berusaha agar bebas daripada muflis,” katanya.