Setelah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah selama dua tahun lima bulan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sudah pasti pelantikan beliau menerajui NFCC merupakan pilihan tepat.

Ini kerana, sejak beliau memulakan tugas di JIM pada 1 Ogos 2016, Mustafar dilihat begitu tegas dalam memperkukuh integriti dan profesionalisme jabatan itu dan anggotanya, sekali gus ‘membersihkan’ peringkat dalaman bagi membanteras gejala rasuah dalam kalangan pegawainya dan sindiket yang menjadi dalang.

Bukan itu sahaja, beliau turut dilihat sering turun padang melakukan operasi-operasi pencegahan bagi membendung kebanjiran pendatang warga asing di negara ini tanpa sebarang kompromi.

Mustafar dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, MASZUREEN HADZMAN baru-baru ini berkongsi pengalamannya melakukan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan bagi memulihkan imej JIM.
 

UTUSAN: Setelah lebih dua tahun Datuk Seri menerajui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), umum dapat melihat Datuk Seri sering turun padang melihat sendiri operasi yang dilaksanakan. Apakah pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan?

MUSTAFAR : Saya sebenarnya tidak membilang hari bekerja. Pada saya setiap masa seolah-olah hari pertama dan sememangnya banyak yang perlu dilakukan.

Namun, selama dua tahun lima bulan menerajui jabatan ini, sudah pasti banyak perkara yang saya tidak dapat lupakan kerana dalam tempoh tersebut pelbagai cabaran, kejayaan dan keberhasilan telah diperoleh.

Dalam JIM, kita mempunyai hampir 15,000 warga kerja di mana saya bukan sahaja memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah tetapi sering saya nyatakan iaitu sebagai ketua keluarga, ayah atau abang dalam membentuk jabatan secara bersama dalam satu ikatan yang mantap.

Ini termasuklah antara yang utama bagi menangani masalah kebanjiran pendatang tanpa izin di negara ini yang sering di ketengahkan dan dirasai oleh orang ramai.

Sepanjang tempoh itu juga, saya dan warga kerja JIM bersama-sama menempa kejayaan, terutamanya dalam memberi tumpuan terhadap operasi-operasi bagi membanteras ancaman pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini walaupun terdapat kekurangan dalam perjawatan, aset atau logistik.

Lebih-lebih lagi kebanjiran PATI di negara ini diakui begitu ramai kerana pelbagai kesalahan dilakukan.

Tanpa sebarang kompromi, JIM perlu dan terus mengambil langkah proaktif dan agresif mengambil tindakan ke atas mereka-mereka yang visa telah tamat tempoh tetapi masih tinggal di negara ini.

Tema gerak kerja ‘Kedaulatan dan Keselamatan Tanpa Kompromi’ telah diperkenalkan kerana JIM perlu berada di barisan hadapan di pintu-pintu masuk tidak kira di darat, laut dan udara dalam memantau kemasukan pelawat ke negara, warganegara Malaysia ke luar negara agar sentiasa terkawal.


Dalam tempoh sama, JIM telah melalui pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan. Apakah pembaharuan paling ketara diwujudkan JIM di bawah kendalian Datuk Seri dan mengapa ia harus diteruskan?

Sepanjang saya menerajui JIM, pelbagai pembaharuan dilakukan bersama-sama warga JIM. Perkara ini dengan jelas dapat dilihat dan dinilai oleh warga kerja JIM dan masyarakat sendiri dalam tempoh dua tahun ini.

Saya ingin nyatakan bahawa apa juga pembaharuan dan penambahbaikan yang saya dan JIM lakukan bukanlah untuk saya nilai sendiri kerana tidak mahu rasa syok sendiri, sebaliknya dinilai oleh stakeholders, masyarakat dan kepimpinan negara.

Pembaharuan utama pada peringkat awal dilantik KP JIM ialah perubahan struktur dalam jabatan itu sendiri. Semasa mula-mula masuk, gred perjawatan di JIM adalah rendah tetapi dapat dipertingkat dengan persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan.

Beberapa perubahan struktur turut diwujudkan dengan adanya jawatan baharu iaitu Timbalan Ketua Pengarah Operasi yang mana sebelum itu hanya terdapat dua jawatan iaitu Ketua Pengarah Pengurusan dan Timbalan Ketua Pengarah Kawalan.

Mahu atau tidak, kita mesti ada jawatan terbabit bagi menyelia dan menentukan pelbagai aspek operasi terutama dalam risikan, operasi-operasi khas, siasatan dan pendakwaan.

Selain itu, menerusi transformasi operasi juga, JIM telah memfokuskan aspek menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran agar kegiatan itu kita dapat kawal sebaik mungkin dan kerana itu kita mempunyai Akta Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Dari segi kawalan pula, sebanyak 137 pintu masuk di negara ini, baik melalui udara, darat dan laut diberi pembaharuan tertentu. Pembaharuan di bahagian pengurusan pula, JIM mempertingkatkan kompetensi dalam kalangan pegawai-pegawai dalam memberikan perkhidmatan cemerlang.

Dalam pada itu, JIM turut memberi peluang kepada pegawai perkhidmatan menikmati kenaikan pangkat dan kerjaya dalam jabatan.Umumnya, sebanyak 12,000 daripada 15,000 warga JIM berkhidmat sebagai pegawai perkhidmatan. Sehubungan itu, penambahbaikan sesuatu perkara yang baru, perlu dilestarikan sama ada dikekal atau ditambah baik.

Saya berharap kepada barisan pelapis JIM perkara-perkara yang dapat kita wujudkan dalam kejayaan perlu diteruskan dengan suntikan tambahan dalam nilai-nilai tambah. Jangan sampai kita tertinggal di belakang selepas satu persatu diperbaharui tiba-tiba terhenti sebab-sebab tertentu.

NFCC adalah agensi baharu yang ditubuhkan tahun ini. Boleh Datuk Seri terangkan apakah fungsi dan skop kerja NFCC?

Apa juga cabaran yang diamanahkan, tugas dan tanggungjawab perlu digalas dan dilakukan secara proaktif dengan satu semangat untuk menjayakan tugas tersebut.

Buat permulaan, saya dilantik sebagai Ketua Eksekutif NFCC. Kewujudan pusat ini telah dinyatakan sebelum ini oleh Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Apa yang akan saya tekankan adalah kesiapsiagaan kita dalam memastikan struktur yang kita akan bina selain undang-undang akan dibentuk dan juga SOP yang kita akan gariskan bagi memastikan gejala jenayah kewangan dapat dibanteras.

Bagi kesiapsiagaan ini, saya tidak berseorangan sebaliknya kita sudah ada pasukan yang telah ditubuhkan dan paling penting, kita ada rakan-rakan strategik.

Antara yang turut sama seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), JIM, Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bergerak bersama-sama dalam memastikan jenayah kewangan ini dapat dikawal.

Sehubungan itu, mengenai perancangan yang akan kita lakukan pada NFCC ini, sudah pasti ini adalah sesuatu perkara yang baharu dan saya sedang meneliti perkara-perkara ini dan akan maklumkan mengenai misi NFCC kepada media dalam masa terdekat ini.

Apakah cabaran utama dalam menggalas tugas baharu sebagai Ketua Eksekutif NFCC?

Ini merupakan yang kedua selepas saya menggalas cabaran untuk mewujudkan Jabatan Integriti Malaysia dahulu. NFCC adalah agensi baharu jadi cabarannya memang banyak, lebih-lebih lagi di dalam mewujudkan undang-undang yang dapat kita gariskan.

Saya perlu meneliti undang-undang sedia ada sebelum mendapat sokongan daripada Jabatan Peguam Negara. Permulaan ini, kita bergerak di Kompleks Kerajaan Persekutuan Parcel D, dengan kelengkapan menggunakan akta-akta yang sedia ada. Justeru, ini merupakan satu cabaran yang perlu dipikul.

Apakah harapan Datuk Seri terhadap penubuhan NFCC?

Harapan saya begitu menggunung. Apa sahaja yang bakal NFCC berdepan, kita akan bersedia dengan kesiapsiagaan satu pasukan yang mantap agar jenayah terancang ini dapat ditangani secara terancang, sistematik dan holistik.