Inilah aduan dan ru­ngutan yang diterima oleh akhbar ini terhadap tindakan segelintir bank yang tidak ada kompromi langsung atau ‘tak beri muka’ terhadap peminjam.

Pihak bank dikatakan sering tutup pintu rundingan dengan menganggap kebankrapan sebagai jalan penyelesaian buat mereka.

Sedangkan, sepatutnya bank tidak me­ngenakan tindakan muflis ke atas peminjam dan kemudian secara drastik melelong harta mereka.

Benar juga kata Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam:

“Bagaimana peminjam mahu meneruskan kehidupan jika mereka telah dimufliskan terlebih dahulu.

“Jika rumah dilelong terlebih dahulu, peminjam mungkin mempunyai harapan untuk menyelesaikan baki hutang dan kemudian bina hidup baharu. Jika dimufliskan sebelum harta dilelong, peminjam sudah tiada jalan untuk menyelamatkan diri lagi.”

Rosland menarik perhatian akhbar ini mengenai beberapa kes terbaharu yang dikendalikan pihak­nya selaku badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendali dan menyelesaikan permasalahan kredit.

Antaranya, kata beliau, kes pertama melibatkan seorang ahli perniagaan berjaya yang memiliki banyak aset, keseluruhannya dianggarkan RM3.5 juta. Namun dia masih berhutang dengan bank, yang berbaki antara 20 hingga 30 peratus sahaja untuk dilunaskan.

“Dia cuba berunding de­ngan bank dan pada masa sama terus membayar ansuran pinjaman setiap bulan mengikut keupayaannya. Namun, bank enggan terima dan tiba-tiba dia terima notis muflis.

“Amaun pinjaman yang me­ngakibatkan dia muflis itupun tak besar, kira-kira RM1 juta sahaja sedangkan aset lain yang dimilikinya banyak. Bukan itu sahaja, anak dia pun terpalit sama, mahu dibangkrapkan juga. Kini pihak saya masih dalam proses rundi­ngan dengan bank terbabit,” kata Rosland.

Kes kedua pula, kata Rosland, membabitkan tindakan sebuah bank melelong sebuah rumah di bandar sebuah negeri di bawah harga pasaran.

“Mengikut harga semasa, bang­lo setingkat seluas 8,000 kaki itu boleh dijual sehingga harga mencecah RM680,000. Tapi malangnya pihak bank dan dengan persetujuan pejabat tanah jual setakat RM280,000.

“Jadi, pihak 4PM sarankan supaya pengadu (pemilik rumah ber­kenaan) buat laporan polis. Kenapa sehingga harga serendah itu? Mungkinkah penilai lakukan penipuan atau pejabat tanah buat silap?

“Setelah buat kaveat dan laporan polis, akhirnya rumah ber­kenaan tidak jadi dilelong. Bayangkan, saya sendiri hadir ke pejabat lelong berkenaan dan dengan ‘hemoi’ mengingatkan melalui mik­rofon di situ supaya jangan sesiapa beli rumah berkenaan kerana sedang disiasat oleh polis. Kalau tiada usaha untuk menyelamatkan keadaan, bagi ‘buta-buta’ macam itu sajalah,” kata beliau lagi.

Rosland turut menyeru mereka yang menghadapi tindakan muflis supaya berwaspada de­ngan agensi pengutip hutang yang menggunakan beberapa teknik yang tidak sah dan tidak betul.

Jika mengikut proses perundangan mahkamah tiada masalah. Ini tidak. Taktik seperti menakut-nakutkan penghutang dengan kerap dan berterusan digunakan.

Trend terbaharu, ada agensi pengutip hutang ini ‘curi’ talian telefon mahkamah atau ibu pejabat polis. Malah ada menggunakan talian rasmi Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara. Jika dihubungi semula nombor tersebut akan masuk ke pejabat berkaitan, tetapi pegawai yang menelefon tadi ‘tidak wujud’.

“Ini bukan talian palsu, memang benar itu nombor rasmi ibu pejabat polis berkenaan atau Bank Negara tapi orang yang buat panggilan di situ tiada,” kata Rosland.

Negara ini dikatakan mempunyai hutang isi rumah tertinggi di dunia. Maka masalah pengutip hutang ini dipercayai akan berlarutan dengan pelbagai kaedah ‘licik’ mereka.

Dalam mengendalikan urusan mengutip hutang termasuklah menyita atau melelong sesuatu aset peminjam, langkah pertama, institusi kewangan perlu dapatkan penghakiman mahkamah. Contohnya ada hutang RM25,000 yang tidak dibayar, maka mahkamah akan keluar perintah untuk bayar jumlah itu. Peguam akan sampaikan penghakiman ini kepada penghutang yang diberikan tempoh 14 hari untuk membayarnya.

Jika gagal, pihak penuntut perlu pergi semula ke mahkamah untuk tindakan kedua iaitu dapatkan writ penyitaan dan penjualan. Ini satu penghakiman atau perintah baharu dari mahkamah yang membenarkan bailif mahkamah, bukannya peguam atau pihak lain, laksanakan proses penyitaan.

Bailif perlu hadir ke premis orang berhutang mengikut notis rasmi memaklumkan satu tarikh khusus untuk memulakan proses menyita. Peguam hanya boleh mengiringi bailif dan proses ini bukannya dengan pecah masuk rumah penghutang. Bailif akan membuat penilaian barang yang boleh disita.

Hanya barang di ruang tamu dan dapur boleh disita, kecuali peti ais, malah bilik tidur juga tidak boleh masuk langsung. Barang yang disita akan dilelong pada tarikh berbeza.

Katakan lelongan barang disita mengutip RM5,000, maka baki RM20,000 boleh diusahakan me­lalui kaedah lain pula.

Mana-mana pihak sekalipun tidak boleh tampal notis atau pita kuning penyitaan dan lelong pada pagar rumah orang lain mahupun tiba-tiba menghantar lori untuk merampas harta benda penghutang, semuanya dilakukan bailif mengikut prosedur mahkamah menggunakan dokumen rasmi.

Kata Rosland: “Kerana itu orang ramai perlu berhati-hati jika ada panggilan telefon dari agensi pengutip hutang ini kerana mahkamah, polis, Pejabat Peguam Negara mahupun Bank Negara tidak pernah dan tidak akan menghubungi anda melalui telefon. Ada beberapa kes, saya terima panggilan kira-kira pukul 5 petang dari pengadu yang cemas mengatakan bailif sedang menuju ke rumahnya bersama lori. Lantas saya minta pengadu bertenang kerana bailif tak akan datang selewat itu, biasanya paling lewatpun 3 petang.

“Apa pun, sebarang urusan rasmi mesti melalui dokumen dan surat rasmi,” kata Rosland.

Beliau bo­leh dihubu­ngi di talian 03-23867835 atau 019-2531000/019-3971000/1700818707 serta ww­w.ppppmalaysia.com.my/fb.ppppmalaysia.