ROSLAND MOHD. ARIF
ROSLAND MOHD. ARIF

Sepatutnya bank tidak me­ngenakan tindakan muflis ke atas peminjam dan kemudian melelong harta mereka. Bagaimana peminjam mahu meneruskan kehidupan jika mereka telah dimufliskan terlebih dahulu.

“Jika rumah dilelong terlebih dahulu, peminjam mungkin mempunyai harapan untuk menyelesaikan baki hutang dan kemudian membina hidup baharu. Jika dimufliskan sebelum harta dilelong, peminjam sudah tiada jalan untuk menyelamatkan diri lagi.”

Demikian luahan Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif kepada akhbar ini semalam.

Apa yang dibangkitkan oleh Rosland ada kebenarannya. Memang menggerunkan apabila statistik menunjukkan purata 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini. Lebih-lebih lagi banyak melibatkan mereka yang berusia 35 hingga 44 tahun kerana mereka sudah tentu golongan tenaga kerja yang aktif.

Walaupun kerajaan juga telah meminda Akta Kebankrapan 1967 dengan meningkatkan kadar hutang daripada RM30,000 kepada RM50,000 untuk membolehkan seseorang diisytihar muflis, kata Rosland, penghutang masih terus berada dalam dilema dengan kehidupan tidak tenteram.

Beliau turut bersetuju dengan pendedahan dua peguam daripada firma guaman Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co., Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz dan Datuk Shaharudin Ali mengenai taktik licik agensi pengutip hutang dalam akhbar ini Ahad lalu.

Kebanyakan penghutang me­ragui sama ada benarkah rumah mereka boleh disita dengan pelbagai amaran dan notis ‘palsu’. Ini kerana agensi pengutip hutang menggunakan bahasa perundangan malah dokumen mahkamah pun boleh diperoleh melalui internet.

Ada yang ditampal gambar mereka di tempat awam seperti dilakukan ah long, kebanyakan kes di Lembah Klang. Ada juga pengguna yang takut dan membayar­nya tetapi hutang tidak berkura­ngan dan masih disenarai hitam Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS). Ada pula me­ngadu hutang kad kredit baharu RM3,000 sudah diugut muflis, bakal hilang kerja.

Selain ugutan berterusan, ada juga yang tunggu di depan rumah seperti gengster minta bayar hutang. Tujuan kutip hutang itu betul tetapi ugutan itu tetap satu bentuk jenayah.

Bahkan, diburukkan lagi de­ngan trend terbaharu ada agensi pengutip hutang ini ‘curi’ talian telefon mahkamah, ibu pejabat polis. Mengejutkan lagi mereka menggunakan talian rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pejabat Peguam Negara. Jika dihubungi semula nombor tersebut akan masuk ke pejabat berkaitan tetapi pegawai yang menelefon tadi ‘tidak wujud’.

Rosland mendakwa, banyak harta milik orang Melayu dilelong tanpa mendapat jaminan pihak bank walaupun BNM sudah beri jaminannya

“Walaupun akta kebankrapan berkenaan telah dipinda berkaitan kadar yang boleh dimufliskan, itu bagaimanapun tidak dipraktikkan.

“Sudah bertemu bank pun masih tidak ada penyelesaian. Disebabkan ini 4PM tidak mahu lagi bertolak ansur, kami akan memanggil sidang akhbar dalam waktu terdekat ini untuk mendedahkan nama pihak pengurusan bank yang enggan beri kerjasama.

“Ya, mereka ada ketikanya beri kerjasama dengan hantar e-mel (ingatan) kepada penghutang. Tapi hantar siang, petang sudah reject. Hairan, mengapa buat keputusan yang sangat singkat? Sukar­nya nak berurusan dengan pihak atasan bank,” kata Rosland lagi.

Sepatutnya, tegas beliau, pihak bank boleh berunding dengan penghutang dan memberi masa kepada mereka untuk membuat pembayaran berjadual.

“Lihat dari aspek kemampuan mereka termasuklah kemungkinan mereka diberi bantuan daripada pusat zakat.

“Ada satu kes dikendalikan 4PM melibatkan rumah berharga RM380,000, kemudian dilelong oleh pihak bank dengan harga RM110,000 tetapi akhirnya dijual kepada pembida sebanyak RM228,000.

“Ahli 4PM terbabit apabila men­dengar rumah berkenaan ada pembeli, terus diserang angin ahmar dan tekanan jiwa. Adakah bank sedar pihak mereka tidak adil dan tidak ambil berat serta tidak mahu bertoleransi,” katanya.

Kerana itu, Rosland bertekad menganjurkan himpunan secara aman yang akan dibuat di hadapan ibu pejabat bank tertentu.

“Niat kami murni, kami tak mahu mereka hilang tempat tinggal atau berlaku keruntuhan rumah tangga dengan keluarga berpecah-belah dan anak-anak bergaduh. Apabila bank sudah jual loan pada pihak ketiga, pasti begitu sukar untuk buat keputusan (berdepan dengan penghutang)... nak bantu pun sekadar melepaskan batok di tangga,” ujar beliau.

Mengenai pertemuan 4PM dengan pihak pengurusan sebuah bank di ibu negara baru-baru ini untuk menyelesaikan kemelut dihadapi seorang ahlinya, kata Rosland, setelah ‘bertekak’ dengan pihak bank berkenaan, mereka bersetuju untuk menarik balik arahan lelong atau menyita, tetapi malangnya hanya memberi tempoh 10 hari kepada penghutang untuk membayar sebanyak RM23,000.

“Nak tolong pun ala kadar sahaja... asal dah tolong,” kata Rosland, mengetuai ba­dan bukan kerajaan (NGO) berkenaan yang bo­leh dihubu­ngi di talian 03-23867835 atau 019-2531000/019-3971000/1700818707 dan www.ppppm.org.my.