Antara kawasan terjejas di Georgetown termasuklah Kampung Masjid, Jalan P. Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama, Lebuh Carnovan, Jalan Anson, Halaman Bukit Gambir serta kejadian tanah runtuh di Baverly Hills, Tanjung Bungah.

Banjir besar yang berlaku di Pulau Pinang ini dapat dikategorikan sebagai bencana alam. Jika kita lihat di media-media baharu banyak teori dan pandangan berkaitan banjir ini. Namun secara amnya banjir yang berlaku ini dapat kita kategorikan kepada dua isu utama iaitu isu yang dapat dikaitkan dengan fenomena alam dan isu-isu berkait kegiatan manusia.

Kerajaan Pulau Pinang lebih cenderung mengatakan bahawa punca sebenar kejadian banjir kilat di kawasan pulau itu adalah disebabkan jumlah taburan hujan yang tinggi dalam tempoh sehari (menyamai sebulan) dan air pasang tinggi serta ribut taufan.

Oleh kerana faktor-faktor tersebut, maka sungai dan sistem saliran di taman dan kampung sedia ada tidak dapat menampung isi padu air hujan yang banyak ini. Selain itu, sistem perparitan juga tidak dapat berfungsi dengan baik kerana terdapat sampah sarap termasuk plastik-plastik yang menghalang aliran air ini.

Selain isu perparitan ini, isu yang lebih dipandang serius adalah kegiatan pemaju perumahan yang membangunkan rumah-rumah atau banglo-banglo di lereng-lereng bukit yang akan melibatkan pembersihan, penarahan dan penggondolan di puncak bukit.

Akhbar yang memetik kenya­taan Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Nor Hisham Mohd. Ghazale baru-baru ini melaporkan, kejadian tanah runtuh akibat banjir di Pulau Pinang antara risiko yang dihadapi kerana pembangunan di lereng bukit. Pembangunan kawasan lereng bukit, memerlukan tindakan kejuruteraan yang sangat tinggi.

Justeru, katanya semua pihak perlu berhati-hati membabitkan projek di lereng bukit kerana satu perkara yang tidak dapat di­e­lakkan apabila membangunkan bukit, ia akan mengganggu laluan air semula jadi. Selain itu, akan berlaku juga penebangan pokok yang sebenarnya mempunyai fungsi menyerap air.

Oleh itu, pembangunan les­tari adalah amat penting bagi sesebuah negeri. Polisi Malaysia mengenai pembangunan lestari ini jelas disebut dalam Ranca­ngan Malaysia Ketujuh (RMK-7) (1996-2000). Pembangunan lestari ini bertujuan memastikan penggunaan sumber-sumber semulajadi mencukupi pada masa kini dan juga masa hadapan serta dapat memberi manfaat kepada semua jenis kehidupan di muka bumi ini. Pembangunan lestari amat bergantung kepada pemeliharaan kesejahteraan manusia dan ekosistem secara bersama.

Pembangunan yang tidak les­tari akhirnya akan mengakibatkan bencana alam seperti Firman Allah di dalam surah ar-Rum ayat 41: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang te­lah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Dalam menghadapi bencana alam ini, persediaan sebelum, semasa dan selepas adalah penting bagi menghadapi setiap bencana alam. Kini, sudah tiba masanya negara ini membangunkan apli­kasi sebagai langkah pertama yang dapat menjadi medium dan menyediakan informasi antara pihak berwajib dan mangsa bencana alam. Selain itu, aplikasi ini juga dapat memberikan maklumat lokasi sebenar mangsa bencana supaya bantuan kecemasan dapat segara dihantar.

Sebagai contoh, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) telah membuat aplikasi yang dinamakan Magma Indonesia. Aplikasi ini menyediakan informasi tentang bencana alam yang dapat dilihat secara real time oleh masyarakat yang merangkumi keadaan gunung api, gempa bumi, tsunami dan gerakan tanah.

Individu yang membangunkan aplikasi tersebut, Devy Kamil Syahbana, mengatakan aplikasi ini adalah pertama di dunia yang memberikan informasi dan rekomendasi bencana alam di Indonesia. Ia juga boleh diakses melalui website magma.vsi.esdm.go.id atau dimuat turun melalui Android melalui Play Store.

Dalam era menuju revolusi industri 4.0, masyarakat kita seharusnya didedahkan bagaimana untuk menyimpan dokumen-dokumen penting sekiranya berlaku bencana seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan lain-lain.

Dokumen-dokumen penting ini seharusnya dapat didigitalkan dan disimpan di alam maya sama ada disimpan di clouds, google drive, e-mail dan sebagainya.

Bantuan-bantuan pada kawasan yang terputus mungkin boleh dihantar dengan menggunakan drone secara kawalan jauh. Menurut Klaus Schwab dalam bukunya The Fourth Industrial Revolution, Revolusi Industri ke-4 dapat dilihat dari segi kemunculan super komputer, robot pintar, kenderaan tanpa pengemudi, sun­tingan genetik dan perkembangan neuroteknologi yang memungkinkan kehidupan manusia bergantung kepada robot kawalan jauh.

Perkembangan teknologi kini berlaku sangat pantas, apa yang agak mustahil satu ketika dahulu telah menjadi nyata pada masa sekarang. Kemungkinan pada masa akan datang satu sumber tenaga baharu dapat disediakan sebagai bahan alternatif kepada sumber bekalan tenaga yang terputus akibat banjir ini.

PENULIS ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).