Berdasarkan hakikat itu, Timbalan Presiden UMNO, DATUK SERI MOHAMAD HASAN menegaskan, parti keramat orang Melayu itu pasti bangkit semula dengan azam dan tekad baharu.
Pesan beliau juga, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu belajar daripada kesilapan lalu dan jangan mengulanginya lagi. Ikuti temu bual eksklusif beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan BADRUL HAFIZAN MAT ISA serta jurugambar, MOHD. NOOR MAT AMIN dan juruvideo, MOHD. AFIZI ISMAIL di Kuala Lumpur, semalam.

 

UTUSAN: Perhimpunan Agung UMNO kali ini menyaksikan UMNO bukan lagi sebuah parti dalam kerajaan dan pertama kali juga Datuk Seri akan menghadirinya sebagai Timbalan Presiden. Apa perasaan Datuk Seri?

MOHAMAD: Perhimpunan Agung UMNO kali ini tiada kelainannya sangat. Cuma akan dibuat sehari untuk sayap dan sehari lagi untuk UMNO. Biasanya tiga hari untuk UMNO kerana akan ada perbahasan berkenaan ekonomi, pelajaran, agama dan sosial tetapi kita bukan lagi sebuah parti kerajaan jadi kita bukan lagi parti yang membuat dasar.

Maka, kita akan mengehadkan hanya sehari sahaja untuk seluruh pembahas, seorang untuk setiap negeri untuk membahaskan ucapan Presiden dan terbuka serta tidak mempunyai apa-apa tajuk. Cuma kita harap supaya pembahas-pembahas membahaskan isu-isu negeri masing-masing untuk kita kumpulkan apa sahaja isu, cadangan-cadangan untuk kita terus mengukuhkan parti.

Pada masa ini, timbul pelbagai pendapat mengenai UMNO. Ada yang kata UMNO rosak dan hancur tetapi pada masa sama, UMNO masih lagi sebuah parti yang kuat di Dewan Rakyat. Apa pandangan Datuk Seri?

Saya tak tahu bagaimana orang boleh kata UMNO sudah rosak dan hancur, cuma UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Pilihan raya ini biasalah ada menang dan ada kalah. Tak timbul pula bila UMNO kalah pilihan raya terus hancur bahkan saya rasakan semangat ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi lagi tinggi untuk mereka pastikan UMNO bangkit. Cuma yang lari seorang dua, itu kita tahu mengapa mereka keluar. Lebih kepada isu peribadi dan tidak baik ataupun tidak adil bagi mereka katakan untuk tinggalkan parti kerana parti sudah tersasar. Parti tetap parti yang sama yang mereka anggotai dahulu, cuma boleh jadi ramai yang keluar kerana sudah tak nampak ada lagi peluang-peluang yang boleh mereka dapat daripada parti.

Jadi orang-orang macam ini keluarlah, atau orang yang mempunyai masalah peribadi, itu kita ucap selamat maju jaya tetapi janganlah menghina pula parti. Parti yang didukung oleh semua orang yang selama ini telah berjasa. Tetapi tiba-tiba sahaja bila sudah kalah dalam pilihan raya, parti ini sudah tidak betul. Kalau tak dahulu inilah parti yang sama-sama kita dukung jadi pemimpin. Jadi saya tak nampak parti ini sudah runtuh dan rosak. Bahkan kita sekarang ini berazam dan bertekad untuk memperkasa dan memperkukuhkan parti daripada kekalahan yang kita alami dalam pilihan raya umum lalu.

Adakah perlu UMNO dijenamakan semula mengikut keadaan semasa?

Itu terpulang sama ada mahu dijenamakan atau tidak, kerana penjenamaan semula ini jika kita mempunyai masalah struktur. Tetapi UMNO tidak ada masalah struktur, Perlembagaannya kuat, kukuh. Kalau orang mahu benar-benar menghayati UMNO, boleh baca Perlembagaannya, itu struktur kita. Apa yang saya perhatikan, UMNO memerlukan perubahan dalam bentuk pengurusan, UMNO perlu diurus dengan baik. Kita menghadapi isu operasi bukan isu struktur. Struktur UMNO kukuh, Perlembagaannya kuat dan tidak berubah-ubah. Cuma yang berubah adalah orang yang mengurus maknanya kita menghadapi masalah pengurusan.

Apa yang perlu kita buat, kita duduk dan toleh ke belakang semula. Apa kesilapan yang telah kita lakukan? Dalam menguruskan parti ini jadi itu yang perlu kita ubah. Sama ada mahu dijenamakan semula, itu terpulang.

Selepas PRU-14 yang lalu ada yang nampak tidak ada hala tuju. Jadi ramai dalam kalangan akar umbi mahu Datuk Seri menegur kepemimpinan parti termasuk Presiden. Tetapi perkara itu dilihat tidak berlaku.

Saya tidak menegur secara terbuka kerana parti mempunyai salurannya. Melainkan saya sudah buat keputusan bahawa saya juga mahu lari daripada parti. Saya menegur parti dalam mesyuarat, secara peribadi kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga saya ada bercakap dengannya. Apa yang patut kita lakukan supaya parti dapat kita betulkan, saya tegur dan saya bincang. Tak timbul soal saya tak tegur. Tetapi bagi orang menegur mesti melalui media itu tak betul, itu hanya mahu mencari populariti. Saya tidak mencari populariti, saya hanya mahu memperbetulkan parti. Ada yang perlu kita buat teguran secara terbuka, ada yang perlu secara tertutup.

Selepas kekalahan dalam PRU-14 dan kurangnya bilangan Ahli Parlimen UMNO dalam Dewan Rakyat, ada yang kata sukar untuk UMNO bangkit semula. Malah kerjasama UMNO dengan Pas didakwa akan menyukarkan lagi UMNO untuk bangkit. Apa pandangan Datuk Seri?

Walaupun tinggal 49 ahli dalam Dewan Rakyat, itu masih jumlah yang banyak. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya ada 13 sahaja tetapi boleh jadi kerajaan, malah menjadi Perdana Menteri. Macam mana mahu kata UMNO sebagai sebuah parti yang lemah, cuma strategi kena betul.

Kita mesti pilih cara untuk mengolah strategi parti supaya kita dapat menjadi satu parti yang boleh dikatakan parti yang kuat. Tentang kerjasama atau persefahaman dengan Pas, tak perlu parti komponen dalam BN bimbang kerana kita bukannya bergabung. Kita belum bergabung dan kita tidak buat penggabungan. Kita cuma bekerjasama sebagai sebuah blok pembangkang. Apa salahnya kita bekerjasama dan bersefahaman dalam isu-isu yang sama. Ada juga isu yang kita tak boleh bersama, kita takkan bersama. Tetapi sebagai satu blok pembangkang tidak ada masalah. Bukannya kita mahu Pas-UMNO sebagai satu gagasan parti yang baharu.

Bagaimana pula dengan kenyataan dari parti-parti komponen BN yang dilihat menghakis semangat setiakawan BN sendiri, termasuk mengatakan BN akan hancur jika UMNO bekerjasama dengan Pas?

Saya rasa mereka salah faham. Kita bukannya bekerjasama untuk bergabung, kita cuma bersefahaman dalam isu-isu tertentu. Pas juga kata begitu iaitu dalam kepentingan bersama mereka akan menyokong. Mana yang tidak ada kepentingan bersama mereka tidak menyokong. Jadi tak timbul isu bahawa parti komponen boleh risau atau mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana saya rasa mereka tak faham dan tidak diterangkan dengan konsep berkempen atas satu pentas dalam pilihan raya kecil sebab kerjasama kita ini berasaskan kepada dasar satu kes ke satu kes. Kita bukannya bergabung sebagai sebuah parti seperti BN. Kita tak sampai ke situ lagi, kita cuma ada persefahaman bersama. Jadi kita dapat mengukuhkan blok pembangkang dalam menghadapi pilihan raya kecil. Itu sahaja yang kita buat.

Hubungan mesra yang dilihat antara Pas dan UMNO hingga ada yang kata menyukarkan UMNO untuk menambat hati kaum bukan Melayu. Mungkin UMNO perlu mengorbankan sedikit prinsipnya untuk menawan hati masyarakat bukan Melayu?

Ini bukan soal Pas sangat. Ini soal macam mana kita mahu menarik orang untuk sokong kita. Dulu Pas dalam Pakatan Rakyat dapat juga sokongan bukan Melayu, jadi adakah kita nak kata Pas itu adalah faktornya? Ingat lagi bahawa Pas berada dalam Pakatan Rakyat dan mereka mendapat sokongan bukan Melayu ataupun pengundi bukan Melayu.

Jadi ini alasan yang dangkal mengatakan bahawa jika UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama, UMNO akan kehilangan pengundi bukan Melayu. Terpulang kepada kita untuk mengolah isu tersebut. Saya yakin isu ini diada-adakan dan digembar-gemburkan kerana orang takut bahawa persefahaman UMNO dan Pas ini akan dapat menggabungkan dua parti Melayu yang terbesar dalam negara dan mendapat sokongan majoriti orang Melayu. Jadi adalah suara-suara yang mahu menggagalkan persefahaman yang hendak kita lakukan.

Dalam senario politik hari ini, adakah UMNO masih lagi dilihat sebagai parti yang memayungi orang Melayu?

Dalam Perlembagaan UMNO itu sendiri jelas menyatakan bahawa kita merupakan pengawal kepada hak-hak orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu merupakan teras kita dan itulah hala tuju kita, untuk terus mengawal semua kepentingan orang Melayu tersebut. Macam mana kita nak menguruskannya itu yang penting, itu yang saya katakan antara struktur dan operasi.

Pada masa yang sama, kita jangan lupa bahawa kita mesti menjadi pembela kepada kemajmukan pelbagai kaum dalam negara ini. Itu penting.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini banyak pihak yang beranggapan ia merupakan platform untuk UMNO bangkit semula. Apa kata-kata nasihat dan semangat dari Datuk Seri kepada para perwakilan?

Bagi saya semua orang mesti memainkan peranan untuk memperkasakan parti supaya kita belajar dari kesilapan-kesilapan dahulu agar tidak mengulanginya. Kekalahan kita dalam banyak pilihan raya bukanlah salah orang sahaja tetapi banyak salah kita sendiri. Salah kita tak buat kerja, salah kita tidak menyantuni pengundi dan macam-macam lagi sehingga orang semakin lama makin jauh dengan kita. Jadi kita perlu mendakap realiti ini untuk kita kembali semula mentadbir negara. Kita mesti ubah perangai, cara bertindak dan berfikir.

Itu sebabnya dulu saya menyanggah kata-kata pucuk pimpinan. Masa depan orang Melayu berada dalam tangan UMNO, itu tak betul. Bagi saya masa depan UMNO yang bergantung kepada tangan orang Melayu. Survival UMNO pada orang Melayu, bila orang Melayu menyokong UMNO, UMNO kuat maka wadah orang Melayu akan perkasa. Jadi itu kita perlu buat.

Kepada ahli akar umbi, teruskan. Jangan risau pemimpin yang keluar parti, mereka ini punya alasan tersendiri. Jangan terpengaruh dengan kata-kata UMNO akan lemah. Saya yakin dalam teori sesuatu tamadun atau empayar itu ia akan bermula dengan krisis. Selepas itu akan kuat walaupun kekuatan itu terpaksa dilalui dengan pelbagai perkara termasuklah seperti kalah dalam pilihan raya dan macam-macam lagi. Saya harap UMNO akan dapat bangun dengan azam dan tekad yang baharu untuk lebih perkasa lagi.