IZINKAN patik mengungkap bait puisi Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang (1929 – 2001)yang ber­tajuk “Melayu” berkaitan ­ke­tuanan dan kedaulatan Melayu:

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu

Masihkah tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang

kemajuan;

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan

keyakinan

Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba;

Memiliki ekonomi mencipta

budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka.

Dari puisi berkenaan, dapat kita lihat secara jelas akan sikap dan pemikiran Usman Awang mengenai harapan beliau terhadap kemajuan diri bangsa Melayu pada masa hadapan.

Izinkan juga patik membacakan karya seorang lagi tokoh ilmuwan Melayu, yakni Allahyarham Zainal Abidin bin Ahmad, ataupun lebih dikenali dengan gelaran Pendeta Za’ba, yang juga turut menyumbang penulisan dalam Utusan Melayu pada zaman beliau. Dalam karya bertajuk “Jalan Keselamatan Bagi Orang-orang Melayu”, beliau turut menyuarakan pemikiran beliau mengenai untung nasib dan kemajuan diri bangsa Melayu:

“Bahawasanya keselamatan orang Melayu ini pada pihak jalan kehidupannya (pencariannya) dan pada pihak perangai-perangai yang kekurangan itu hanyalah boleh didapati pada satu jalan sahaja, iaitu diubati kemiskinannya yang pada pihak otak itu – yakni kemiskinan pengetahuannya de­ngan jalan diberi mereka itu pelajaran-pelajaran daripada jenis yang betul. Maka di situlah sahaja boleh didapati jalan keselamatan ini, tiada yang lainnya.”

Sesungguhnya, penyair seperti Usman Awang dan penulis seperti Pendeta Za’ba, serta pengamal media seperti Kumpulan Utusan memainkan peranan penting dalam menegakkan budaya, bahasa, po­litik dan ekonomi bangsanya. Akal budi Melayu – Islam adalah tonggak penting ke arah kemajuan demi mencipta negara maju berpendapatan tinggi. Bangsa yang sanggup bersaing dan berusaha akan dapat mencipta tamadun dan peradaban ke arah kecemerlangan masa depan. Bangsa yang berilmu tidak mudah ditipu daya dan di­gula-gulakan dalam politik.

Melalui akal budi, seseorang itu dapat menilai kebenaran dan kebatilan. Selain itu, ia dapat membentuk tingkah laku, jiwa sensitif, rasional dan intelek. Melalui pemikiran yang waras dan tajam, seseorang akan dapat meningkatkan kefahaman dan keyakinan terhadap isu agama, politik dan sosial.

Sesungguhnya, intipati hasil karya dua penulis dan cendekiawan Melayu ini merupakan cerminan misi perjuangan PNB dalam membela untung nasib anak Melayu di bumi Malaysia ini. Alhamdulillah, sepanjang 15 bulan saya menyertai PNB, segala yang dirancang berjalan dengan baik.

Sesungguhnya diri saya dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad bertuah kerana diberikan peluang oleh kerajaan untuk menjadi sebahagian daripada institusi negara yang amat kukuh, yang dahulunya diterajui oleh Tun Ahmad Sarji dan Tan Sri Hamad Kama Piah.

Pada hari ini, PNB merupakan syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan dana di bawah pengurusan berjumlah RM271 bi­lion. Dua pertiga daripada dana atau RM186 bilion dilaburkan dalam ekuiti awam Malaysia yang mewakili 10.1% daripada jumlah pasaran permodalan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Ini termasuklah enam syarikat strategik kami yakni Maybank, Sime Darby, UMW Holdings, SP Setia, CCM dan MNRB serta banyak lagi syarikat teras lain PNB dengan pegangan sekurang-kurangnya 10% saham atau nilai RM1 bilion.

Pada November 2016, PNB telah mengumumkan Pelan Strategik 2017-2022 (STRIVE-15) yang bermatlamat menjadikan PNB sebuah “Firma Pelaburan Distinktif Bertaraf Dunia”. Alhamdulillah, STRIVE-15 telah membuahkan ha­sil yang amat menggalakkan, bilamana nilai enam syarikat strategik PNB telah meningkat sebanyak RM25 bilion pada 10 bulan pertama 2017. Sudah tentunya pencapaian ini memberi suntikan semangat kepada kami untuk bekerja keras agar dapat memberikan nilai tambah terhadap 13.2 juta pemegang akaun yang kini memiliki 217.7 bi­lion unit.

Selain prestasi kewangan, PNB juga turut memperkasa program tanggungjawab sosialnya. Setakat ini, PNB telah menawarkan lebih 2,400 biasiswa kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, program PNB Chartered Accountant Initiative (PCA) turut komited dalam penghasilan 1,000 akauntan bertauliah dalam tempoh lima tahun akan datang. Sejak dimulakan pada 2016, PNB telah memperoleh 600 penyertaan. Insya-Allah, PNB akan terus istiqamah menjalankan program ini sehingga sasaran kami tercapai.

Baru-baru ini juga, sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2018, PNB bakal memperkenalkan Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) mulai 1 Januari 2018 untuk semua bayi Malaysia yang lahir dari 1 Januari 2018 hingga 31 Di­sember 2022, yang akan ­menerima 200 unit dana amanah insentif percuma sebagai pelaburan permulaan.

ADAM50 melibatkan dua dana iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk bayi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) untuk bayi bukan Bumiputera. Mudah-mudahan, inisiatif bersama Kerajaan dan PNB ini akan memberi galakan kepada rakyat Malaysia untuk melabur demi masa depan. Dalam tempoh lima tahun akan datang sahaja, ADAM50 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2.8 juta bayi di Malaysia.

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang ke-32 ini juga merupakan suatu wadah perjua­ngan dalam memartabatkan dunia penulisan dan kesusasteraan kepada masyarakat yang membantu dalam pembentukan bangsa yang kukuh jati dirinya. Bangsa-bangsa yang maju dan bertamadun begitu menyedari hakikat bahawa pembangunan ekonomi dan peneguhan budaya perlu seiring untuk membentuk sebuah negara hebat.

Kesan daripada penganjuran hadiah sastera ini cukup besar khususnya bagi menggilap bakat sasterawan baharu dan pada masa yang sama memberi ruang kesinambungan kepada sasterawan tersohor termasuk golongan yang bertaraf Sasterawan Negara untuk terus berkarya. Syabas diucapkan kepada Utusan Melayu.

Akhir kata, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pemenang atas kecemerlangan hasil karya masing-masing. Terima kasih kepada Kumpulan Utusan kerana sudi mempelawa PNB menjadi Penaja Utama untuk HSKU ke-32 ini.

Keampunan jua patik pohon sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau cacat cela dalam ucapan patik sebentar tadi. Sekian, terima kasih.

UCAPAN Pengerusi Kumpulan PNB, TAN SRI ABDUL WAHID OMAR pada Majlis Penyam­paian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016 di Hotel Istana, Kuala Lumpur kelmarin.