Banyak faktor dan sebab BN tewas dalam pilihan raya umum kali ini. Namun mungkin banyak pihak terlepas pandang bahawa UMNO yang menjadi tonggak dalam BN adalah parti memenangi paling banyak kerusi di peringkat Parlimen iaitu sebanyak 54. Secara keseluruhan BN menang 78 kerusi.

Parti yang paling hampir menyamai pencapaian UMNO ialah PKR sebanyak 49 kerusi, diikuti DAP (42 kerusi) manakala PPBM yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad cuma memenangi 10 kerusi.

Justeru, apa yang boleh diperkatakan, UMNO jika dikira sebagai parti tunggal adalah parti yang berjaya mengekalkan pengaruh­nya sejak pilihan raya umum per­tama lagi khususnya dalam kalangan orang Melayu apabila jumlah kerusi yang dimenanginya agak konsisten.

Cuma, apabila keputusan setiap pilihan raya umum mengambil kira kemenangan semua parti yang membentuk BN, UMNO terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Pakatan Harapan walaupun kerusi yang dimenangi oleh parti berkenaan lebih banyak daripada semua parti bertanding.

Oleh itu, apabila Naib Presiden yang menjalankan tugas Pre­siden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi kelmarin meminta UMNO segera bangkit daripada kekalahan, sewajarnya mesej itu dihayati dan dihadam oleh semua pemimpin pelbagai peringkat termasuk ahli akar umbi.

Hakikatnya, jika dilihat jumlah kerusi dimenangi oleh UMNO dalam PRU-14, tiada sebab parti tersebut tidak boleh bangkit. UMNO sebenarnya mampu bangkit, UMNO sebenarnya masih re­levan. Jika tidak, mustahil UMNO masih mendapat sokongan sebahagian daripada orang Melayu dengan mendapat 54 kerusi Parlimen.

Yang penting di peringkat ini, pemimpin dan semua ahli UMNO tidak harus hanyut dengan kekecewaan. Mereka perlu bermuhasabah dan tidak dinafikan kekalahan BN pada PRU-14 minggu lalu adalah sesuatu yang amat pedih untuk ditelan tetapi mengalah bukannya langkah terbaik sekiranya kita mahu melihat UMNO gah kembali.

Strategi perlu disusun, perancangan perlu dirangka, tindakan-tindakan perlu diambil dan paling penting perubahan perlu dilakukan agar UMNO benar-benar bangkit dan mampu menghadapi cabaran Pakatan Harapan dalam tempoh lima tahun lagi.

Sehubungan itu cadangan menubuhkan satu jawatankuasa khas oleh Ahmad Zahid bagi meletakkan UMNO sebagai kuasa politik negara adalah amat dialu-alukan. Sungguhpun begitu, jawatankuasa khas tersebut hendaklah bekerja secara ikhlas demi kelangsungan parti itu untuk masa akan datang.

Bagi sesetengah pemerhati politik, sekiranya UMNO gagal bangkit dalam tempoh lima tahun ini iaitu sebelum diadakan PRU-15, kedudukan parti itu akan lebih teruk lagi. Mungkin jumlah kerusi yang dimenangi akan merosot.

Mahu tidak mahu dalam tempoh lima tahun yang genting ini, UMNO perlu bangkit bersama perubahan-perubahan yang lebih menyegarkan khususnya dalam konteks hubungan parti itu de­ngan rakyat. Rakyat adalah pengundi dan kuasa memangkah yang ada pada mereka sangat besar kesannya.

Selain hubungan dengan rak­yat, tumpuan juga perlu diberikan kepada usaha memperkukuh­kan kesatuan dalam parti. Tidak kurang pentingnya langkah membersihkan parti daripada pe­­mimpin-pemimpin yang ta­makkan kuasa, kedudukan dan harta. Ahmad Zahid dan dibantu seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilihat mampu menjalankan tugas ini.

Kadang-kadang apabila satu-satu parti itu telah lama berkuasa, ada sesetengah pemimpin lebih mengutamakan kepenting­an mereka sendiri berban­ding kepentingan rakyat. Lebih malang lagi sikap sedemikian turut dicontohi oleh orang di sekeli­lingnya. Lagi malang jika mereka menunjukkan kemewahan yang ada kepada rakyat akar umbi.

Keadaan seperti ini yang me­rosakkan UMNO, sekali gus menyebabkan rakyat jauh daripada UMNO. Apa yang boleh disimpulkan, Ahmad Zahid dan Hishammuddin mempunyai tugas berat untuk mengembalikan kekuatan UMNO lebih-lebih lagi dalam tempoh lima tahun yang sangat genting ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid dan Hishammuddin perlu me­ngenal pasti Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang boleh membantu ke­dua-duanya memperkukuhkan semula UMNO. Tidak terkecuali, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri yang perlu dilibatkan sekali dalam usaha ini agar kebangkitan sehingga ke peringkat akar umbi dapat dilakukan kadar segera.

UMNO tidak boleh bertangguh lagi kerana PRU-15 bukannya lama, hanya lima tahun sahaja lagi. Pejam celik, pejam celik sudah sampai lima tahun. Jangan nanti apabila sampai waktu tersebut, UMNO masih belum ber­ubah.

Kepada ahli-ahli UMNO pula tunjukkanlah kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin terutama ketika parti berada dalam situasi sukar.

Yakinlah, kesetiaan yang di­berikan ini mampu mencetuskan lagi semangat barisan ke­­pe­mimpinan untuk memper­kukuhkan semula UMNO.