TAJUDDIN RAHMAN
TAJUDDIN RAHMAN

Menyedari senario yang meresahkan itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, DATUK SERI TAJUDD IN RAHMAN mengambil inisiatif menganjurkan Himpunan Melayu Bangkit! di Pekan Kampung Gajah, Perak pada 1 September ini.

Beliau berkongsi pandangan tentang nasib dan masa depan orang Melayu bersama wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan SAFINA RAMLI serta wartawan Utusan Online, NURULANUAR MANSOR dan jurugambar, SAIFUL BAHARI ASHARI
dalam temu bual di Kuala Lumpur, barubaru ini.


UTUSAN : Apakah yang mendorong Datuk Seri menganjurkan Himpunan Melayu Bangkit pada 1 September ini?

TAJUDDIN: Himpunan ini tidak bertujuan menggugat mana-mana pihak atau kaum mahupun agama lain. Jangan ada yang menuding jari mengatakan kita ini rasis. Program ini bertujuan mempertahankan hak kita dan agama Islam. Kita tidak sentuh hak orang lain. Saya tegaskan perkara ini untuk pemahaman supaya tidak ada mana-mana pihak daripada kaum lain atau orang Melayu sendiri yang berfikiran liberal menyerang kita apabila kita buat program menyentuh mengenai orang Melayu. Kita tidak ada niat melakukan provokasi terhadap mana-mana pihak.

Perhimpunan ini diadakan ke­rana ada puak tertentu yang sudah mencabar kedudukan hak orang Melayu, bumiputera dan agama Islam. Mereka semakin berani dan lantang. Kelantangan mereka menunjukkan seolah-olah orang Melayu sudah lemah, tidak ber­suara, tidak bangkit mempertahankan hak kita. Tidak kira daripada parti mana, serupa sahaja.

Suara kita tidak kedengaran lagi. Kalau ini berterusan orang Melayu akan dikalahkan dan mungkin minda kita akan dijajah semula, tak semestinya secara ketenteraan tetapi secara sistem politik. Kita tidak boleh terima mana-mana pihak yang berhasrat menzalimi Melayu, bumiputera dan agama Islam.

Dalam perhimpunan sebelum ini sambutan orang Melayu agak tidak memberangsangkan. Kenapa ini berlaku, adakah orang Melayu sudah tidak peduli apa yang berlaku?

Ada beberapa faktor antaranya orang Melayu fikir pasal hidup dia sahaja. Cukup makan, pakai, bahagia dengan ahli keluarga sudah. Mereka tidak fikir pasal kesatuan bangsa. Bagi saya, ia satu kesilapan. Bukan sahaja orang biasa bersikap demikian. Ada tokoh-tokoh dan pemimpin tertentu juga.

Mereka sanggup kompromi perjuangan bangsa, masa depan anak cucu kerana mereka mahukan kedudukan, pangkat, kuasa dan pihak-pihak yang dengki kepada orang Melayu akan sanggup menghulurkan bantuan kepada mereka.

Ada orang Melayu yang sudah sanggup dapatkan sokongan pihak lain semata-mata kerana pangkat dan orang lain tidak minat hendak jaga kepenti­ngan Melayu malah setengahnya musuh orang Melayu. Apa yang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kata kepada DAP, anti-Melayu dan anti-Islam. Saya tidak kata tapi Haji Hadi. Jadi berminatkah DAP hendak tolong Melayu dan Islam?

Siapakah yang Datuk Seri harap akan beri sokongan kepada himpunan ini?

Orang yang sedar tentang nasib orang Melayu akan memahami ancaman yang sedang menanti. Saya sudah memainkan peranan saya. Saya harap kebangkitan ini akan disebarluaskan agar orang Melayu memahami penghinaan kepada raja-raja Melayu, bagaimana kita dikatakan sebagai pendatang seolah-olah mereka pula pribumi, agama Islam pula dihina macam-macam. Siapa yang nak bela semua ini kalau bukan orang Melayu sendiri? Bolehkah kita meletakkan nasib orang Melayu dan Islam di tangan orang bukan Melayu dan Islam? Nak pertahankan nak mem­bela kita sendiri tidak kira UMNO, PKR atau Parti Amanah Negara (Amanah). Kita sendiri.

Difahamkan Datuk Seri menggunakan belanja sendiri untuk himpunan ini. Kenapa Datuk Seri melakukan pengorbanan ini?

Saya buat yang termampu dengan menggunakan gaji dan elaun sebagai Ahli Parlimen untuk menjayakan program ini. Apa yang penting kita mahu membangkitkan kesedaran orang Melayu. Saya bukan pemimpin besar tetapi sebagai seorang insan berketurunan Melayu, saya terpanggil dan bertanggungjawab melakukan sesuatu yang saya mampu. Saya harap ada orang yang turut menyumbang, saya sangat alu-alukan.

Bagaimana Datuk Seri melihat masa depan orang Melayu di bawah era Malaysia Baharu?

Masa depan orang Melayu kuasa sudah sebahagian besarnya sudah terlepas daripada genggaman mereka. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan kerajaan orang Melayu. Kerajaan DAP sebahagian daripada­nya. Berapa kementerian yang dipegang oleh DAP?

Masa depan ditentukan oleh kuasa selain jati diri dan semangat perjuangan kita. Nasib kita 400 tahun dulu merempat sebab kita hilang kuasa kepada penjajah. Sebelum kita hilang kuasa pada 1511, sebelum Portugis menyerang Melaka, kita hebat. Melaka jadi tempat perdagangan di rantau ini tetapi apabila sudah hilang kuasa kalah perang, apa nasib Melayu? Lintang-pukang.

Jadi sekarang ini kita ada kuasa tak? Tak ada. Sebab apa hilang kuasa? Sebab kita tidak bersatu, kita telah dipecah-­pecahkan oleh pihak yang berlawan dengan kita. Nak berkuasa orang Melayu kena bersatu, kita berkuasa bukan sebab mahu menindas orang lain. Kuasa kerajaan diterajui oleh Melayu selama 60 tahun, ada kita tindas orang lain? Sebab itu, kita boleh bangunkan orang Me­layu. Sekarang kuasa kita telah berkecai. Kalau terus dibiarkan, masa depan orang Melayu terus gelap. Kena bersatu menuju ke arah memastikan majoriti Melayu menjadi pemerintah dan pihak yang berkuasa.