Temasya sukan dwi tahunan melibatkan 11 negara itu berte­ma­kan Bangkit Bersama (Ri­sing To­­gether). Ia membawa mesej ca­ba­ran terkini dan akan datang yang perlu ditempuhi oleh negara-negara Asia Tenggara sebagai satu komuniti. Hari Kebangsaan 2017 pula bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa. Ini kali ketiga, Sehati Sejiwa digunakan sebagai tema sambutan. Tahun lalu dan juga pada 2015, Malaysia Sehati Sejiwa dijadikan tema sambutan. Tema ini menggambarkan keutuhan, perpaduan, kesefahaman, bersatu dalam menempuh saat kejayaan dan detik kesusahan seluruh rakyat negara ini. Rakyat Malaysia dituntut supaya taat setia tanpa berbelah bahagi. Jiwa raga dan kesetiaan hanya kepada tanah air tercinta. Tema berkenaan diharap dapat meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menjelang Hari Kebangsaan ka­li ini, semarakkanlah sambutan de­­ngan kibaran Jalur Gemilang. Ja­nganlah dalam keghairahan me­lakukan persiapan temasya Sukan SEA, kita melupakan sambutan Hari Kebangsaan. Kepada atlet negara yang akan bersaing bersama para atlet negara peserta yang melibatkan 38 jenis sukan dan 404 acara itu, mereka juga mempunyai peranan untuk memastikan Jalur Gemilang berkibar setiap kali beraksi. Menangi sebanyak mungkin pingat emas yang dipertandingkan. Jangan biarkan Jalur Gemilang tenggelam di sebalik pelbagai persiapan menyambut kontinjen negara peserta. Disebabkan Sukan SEA melewati sehingga 30 Ogos, amat wajar semua pihak mempamerkan kehebatan sambutan dua acara ini. Lebih-lebih lagi acara penutup KL2017 pula akan berlangsung pada 30 Ogos seiring dengan sambutan Ambang Merdeka di Stadium Nasional. Justeru, raikan dua acara ini bersama. Mungkin atlet negara juga dapat menghadiahkan kejayaan cemerlang Sukan SEA sempena Hari Kebangsaan kali ini. Adakah angka 111 emas yang dicapai pada tahun 2001 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah akan ber­ulang? Lebih penting pasangkan tekad untuk menghadiahkan Malaysia juara keseluruhan sempena Hari Kebangsaan 2017.

Ketika persiapan Sukan SEA le­bih banyak melibatkan pihak kerajaan dan swasta, bagi masyarakat awam pula bolehlah menyokong persiapan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Memasuki hari ketujuh pada bulan kemerdekaan ini, berapa ramai rakyat Malaysia yang ambil kisah atau peduli dengan kibaran Jalur Gemilang? Sejauh mana keghairahan rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang ketika negara menghampiri usia 60 tahun kemerdekaan? Berapa banyak premis sama ada pusat perniagaan, pejabat kerajaan, swasta atau kawasan perumahan mula memasang Jalur Gemilang? Adakah masih menanti hari pelancaran kempen kibarkan Jalur Ge­milang? Adakah saban tahun perlu disuruh, diperingatkan atau menanti Jalur Gemilang diedar secara percuma? Sahabat saya, Saad Noordin mempunyai cara tersendiri dalam menyemarak­kan sambutan Hari Kebangsaan ini. Di­nama­kan Kayuhan Jelajah #Merdeka602017, beliau me­­lakukan kayuhan sambil mengedarkan Jalur Gemilang di kawasan yang disinggahinya. Bermula dengan pelancaran di Sik, Kedah, beliau ketika ini berada di Terengganu. Semasa berada di Kota Bharu, Kelantan, beliau menerima perkhabaran duka bahawa abangnya meninggal dunia. Beliau terpaksa pulang ke Baling. Selesai pengebumian, keesokannya, Saad kembali ke Kota Bharu dengan menaiki bas bagi menyam­bung kayuhan yang tertangguh. Begitulah sumbangan Saad untuk meraikan Hari Kebangsaan. Beliau tidak takut kayuh secara solo kerana katanya, negara ini aman, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Syukurlah dengan nikmat kemerdekaan hari ini.

Dengan kibaran Jalur Gemilang, sedikit sebanyak dapat mengingatkan rakyat tentang semangat kesetiaan dan patriotisme. Mungkin akan ada yang bertanya apa faedahnya dan apa ada pada bendera? Memang benar Jalur Gemilang hanyalah sehelai kain berjalur merah putih berserta bulan bintang kuning berlatar belakangkan warna biru. Bagi mereka yang faham dan tebal semangat kenegaraan akan berfikir secara positif me­ngenai kepentingan ben­dera ini. Mereka sedar bendera mempunyai nilai serta kedudukan yang amat istimewa. Ia simbol kedaulatan, kemerdekaan dan identiti utama sesebuah negara. Menyelak kembali detik pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, acara yang paling dinantikan ialah penurunan bendera penjajah, U­nion Jack. Memasuki ambang 31 Ogos, Union Jack diturunkan dan bendera negara dinaikkan, menandakan lahirnya Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Suatu masa dulu, ketika perang, bendera menjadi pembakar semangat tentera dan rakyat malahan orang yang bertanggungjawab meme­gang ben­dera ini adalah pahlawan yang kuat semangat perjuangannya. Mereka sentiasa menjulang bendera ini dan mempertahankannya supaya tidak jatuh ke ta­nah. Cuba selak beberapa peristiwa berkaitan bendera. Ketika sesuatu pihak marah kepada negara tertentu, sasarannya adalah bendera. Mereka melepaskan perasaan marah dan geram dengan membakar bendera, mengoyak, memijak atau menconteng. Ini menunjukkan betapa bendera itu melambangkan kedaulatan sesebuah negara. Negara mana di dunia ini yang tidak mempunyai bendera?

Memang kita tidak boleh me­ngukur semangat patriotisme seseorang itu dengan kibaran bendera tetapi sekurang-kurangnya raikan sambutan Hari Kebangsaan dan hayati erti kemerdekaan de­ngan mengibarkan Jalur Gemilang.Tidak perlu dipaksa atau di­suruh. Tampillah secara sukarela untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja - bangunan pejabat, kawasan perniagaan, perumahan termasuk flat, kondominium atau banglo dan kenderaan. Tidak kira di bandar atau pedalaman, pastikan ada kibaran Jalur Gemilang. Lebih menarik jika dikibar atau dipasang secara kreatif. Cuma jangan pula membiarkan bendera usang, lusuh atau terkoyak terus berkibaran. Berapa sangatlah harga sehelai Jalur Gemilang yang mungkin dikibar sebulan dalam setahun.

Ayuh rakyat Malaysia, hargailah erti kemerdekaan dengan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Ketepikan perbezaan politik kepartian. Kita bangkit bersama membina semangat sehati sejiwa dalam menempuh segala dugaan dan rintangan. Tanpa pe­rasaan curiga, semua anggota ma­­syarakat perlu memantapkan per­paduan dan kerjasama demi ke­sejahteraan bersama di sebuah negara bernama Malaysia. Ingatlah bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan dan merdeka juga bukan bererti bebas melakukan sesuatu sesuka hati tanpa tertakluk kepada peraturan undang-undang atau etika. Selamat Hari Kebangsaan 2017.