Sebagai tuan rumah sudah se­mestinya negara ini menitik­beratkan dua perkara utama iaitu ingin menjadi tuan rumah terbaik dalam sejarah penganjuran Sukan SEA dan juga muncul juara ­keseluruhan. Berdasarkan pe­ngalaman beberapa kali menganjurkan Sukan SEA di samping beberapa temasya sukan berprestij lain seperti Sukan Komanwel (SUKOM) pada 1998, penulis cukup yakin bahawa kita mampu menjadi penganjur terbaik.

Mengambil kira tahap kesiapsiagaan semua lokasi pertandingan serta keterujaan pasukan sukarelawan dan pihak berkuasa seperti polis yang berkobar-kobar mahu memberikan perkhidmatan terbaik, impian untuk menjadi penganjur terbaik tidak mustahil untuk dicapai. Isu seperti cetakan ­bendera terbalik serta masalah-masalah teknikal lain tidak sepatutnya melemahkan semangat kita untuk mencapai matlamat tersebut.

Diharap semua pihak yang ter­libat baik secara langsung mahupun tidak langsung akan menjaga imej, nama baik dan maruah negara. Ini penting kerana perlu diingatkan apa jua tindakan terutamanya sebarang kesilapan akan memberikan kesan besar seterusnya mencemarkan nama baik negara di peringkat ASEAN dan juga antarabangsa.

Jadi sudah semestinya persoalan utama sekarang yang berlegar dalam pemikiran setiap rakyat adalah apakah kita mampu mengulangi sejarah 2001 untuk muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA? Ini kerana kita tidak mahu sekadar menjadi penganjur yang hebat tetapi gagal bangkit membuktikan bahawa negara ini memiliki atlet hebat yang bertaraf antarabangsa.

Tanda tanya berhubung jumlah pingat emas yang bakal disasarkan ke atas kontinjen negara sudah pun terjawab apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini mengumumkan sasaran 111 pingat emas dalam misi bergelar juara keseluruhan. Jadi sasaran sudah jelas dan mukta­mad maka sekarang terpulanglah kepada barisan atlet untuk menunaikan impian dan hasrat 30 juta rakyat negara ini.

Walaupun sasaran ini agak be­rat namun kita yakin atlet Malaysia mampu melakukannya. Buktinya dalam beberapa hari sa­ja mereka sudah mampu memungut beberapa pingat emas menepati ramalan semua pihak seperti emas daripada pasukan bola jaring dan juga ragbi lelaki di samping acara lain seperti memanah, boling dan acara kuda lasak. Jika momentum ini dapat diteruskan impian untuk muncul juara keseluruhan mampu direalisasikan.

Kepada semua atlet, janganlah anggap sasaran 111 pingat emas serta impian untuk menjadi juara keseluruhan dilihat sebagai sesuatu yang membebankan atau memberikan tekanan. Kalau yakin dan kekal dengan sema­ngat berjuang yang tinggi tiada apa yang mustahil untuk dicapai. Terimalah sasaran ini sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan masing-masing kepada seluruh rakyat negara ini.

Ingat kali ini kita berjuang di bumi sendiri jadi tidak wajar ada sebarang masalah, alasan mahupun kerisauan serta ketakutan. Ini tempat kita maka jadikan ia sebagai satu kelebihan dan pastikan dapat memberikan persembahan terbaik. Pedulikan apa jua reputasi pesaing kerana dalam dunia sukan apa saja keputusan luar jangkaan boleh berlaku. Jadi tidak perlu terlalu merendah diri walaupun pesaing ialah atlet pilihan atau juara bertahan sekali pun.

Biar Sukan SEA edisi ke-29 ini menjadi manifestasi kebangkitan sukan tanah air selari dengan temanya Bangkit Bersama. Wa­laupun sasaran 111 pingat emas tetapi penulis yakin kita masih boleh menaruh harapan kepada acara sukan yang mungkin selama ini kurang diberikan perhatian mahupun harapan. Sama-sama kita nantikan kejutan daripada mereka.

Dalam pada itu, masyarakat dan peminat sukan perlu memainkan peranan supaya impian ini menjadi kenyataan. Pastikan kita melayan tetamu iaitu delegasi dan kontinjen luar sebaik mungkin. Tunjukkan disiplin dan sikap yang terpuji dengan layanan mesra serta berbudi bahasa terhadap setiap tetamu. Mereka bukan saja atlet tetapi tetamu negara ini. Janganlah sesekali ada yang ambil ke­sempatan ke atas mereka sebagai orang luar. Kita tidak mahu de­ngar lagi isu seperti pemandu teksi ‘cekik darah’ serta atlet luar diragut dan sebagainya. Kejadian seumpama itu pastinya akan mencemarkan nama baik Malaysia.

Ironinya, temasya kali ini cu­kup signifikan kepada kita se­mua kerana diadakan ketika musim sambutan bulan kebangsaan, jadi diharap­kan semangat kebangsa­an dan kemerdekaan itu akan me­resap ke dalam jiwa setiap atlet supaya dapat berjuang habis-ha­bisan demi negara tercinta.

Selamat maju jaya kepada se­mua atlet, jangan hampakan harapan seluruh rakyat Malaysia. Ayuh marilah bangkit bersama mencipta kejayaan dengan semangat kesukanan yang tinggi demi negara tercinta. Majulah sukan untuk negara.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED ialah Timbalan Pendaftar Fakulti ­Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).