Tambahan pula, Malaysia dihuni oleh pelbagai kaum dan etnik yang menggambarkan kepelbagaian dalam kalangan rakyat. Kepelbagaian kaum dan etnik ini bukan hanya antara kaum dan etnik tetapi dalam ruang lingkup sesuatu etnik itu sendiri. Namun, sayugia diingatkan bahawa kepelbagaian ini tidak patut melebarkan lagi jurang perbezaan antara rakyat Malaysia. Sebaliknya, titik persamaan dalam kepelbagaian inilah yang akan mencetuskan kebangkitan bersama rakyat Malaysia dalam memajukan negara.

Lebih-lebih lagi, momentum ekonomi Malaysia sentiasa ber­ada pada landasan yang betul dalam menuju negara maju berpendapatan tinggi pada 2020. Buktinya, pertumbuhan ekonomi negara 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini didorong oleh permintaan domestik yang kukuh terutamanya dari sudut perbelanjaan sektor swasta. Malah, bukan setakat faktor kekuatan ekonomi domestik tetapi juga eksport negara meningkat dalam tempoh sama. Pertumbuhan cukup memberangsangkan ini telah me­nyangkal dakwaan yang digembar-gemburkan untuk mencetuskan situasi negatif terhadap negara seolah-olah Malaysia di ambang kemuflisan.

Mana mungkin sebuah negara yang di ambang kemuflisan mampu merancakkan ekonomi domestik dan berjaya tingkatkan eksport produknya ke luar negara? Mana mungkin sebuah negara mengalami masalah ekonomi yang cukup teruk mampu menarik minat pelabur me­labur ke dalam negara tersebut? Malah, penarafan kukuh oleh agensi penarafan antarabangsa cukup menggambarkan keyakinan mereka terhadap kekuatan ekonomi Malaysia. Jadi, tiada bukti berasaskan fakta dan ang­ka bahawa dakwaan Malaysia di ambang kemuflisan adalah benar sama sekali. Sebaliknya, fakta dan angka-angka terbaharu cukup untuk membuktikan kepada mereka yang rasional agar tidak menelan buta-buta sesuatu dakwaan di­sebarkan kepada umum.

Apa yang penting di sini, agenda negara perlu diteruskan walau apa pun andaian, persepsi mahupun dakwaan yang disebarkan terhadap ekonomi Malaysia. Hanya dengan komitmen berterusan untuk sentiasa melakukan yang terbaik buat ekonomi negara, maka insya-Allah prestasi ekonomi Malaysia akan sentiasa berada pada landasan betul berasaskan aspek kemapanan dan keterangkuman. Malah, di sebalik pelbagai dakwaan tersebut agenda dan idea baharu diteruskan demi ke­sejahteraan rakyat Malaysia, mi­salnya Program Kerjaya Berpendapatan Tinggi (SHIP) bagi melatih golongan bumiputera agar berkemahiran tinggi sehingga mereka mampu berpendapatan melebihi RM20,000 sebulan.

Agenda seperti inilah memerlukan kerjasama semua pihak yang terlibat berasaskan kebangkitan bersama dan bukannya hanya segelintir pihak yang melaksanakannya dengan penuh dedikasi. Bayangkan jika semua pihak bangkit bersama, tidak kira erti penat dan tidak juga berkira antara satu sama lain, maka sudah tentulah sesuatu agenda itu dapat direa­lisasikan dengan mudah dan pantas. Banyak lagi agenda negara yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk bangkit bersama ke arah kehidupan rakyat Malaysia yang lebih sejahtera.

Misalnya, baru-baru ini, kerajaan melancarkan Blueprint 2.0 bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang menyasarkan pelaburan terkumpul sebanyak RM146.5 bilion menjelang 2025. Dalam tempoh sehingga 2025, Ke­luaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diramal meningkat kepada RM300 bilion melalui 80 projek baharu daripada tujuh nod pertumbuhan. Projek-projek ini adalah berimpak tinggi dan merentasi sempadan yang mana memerlukan kerjasama semua pi­hak terutamanya pelabur dan penduduk negeri-negeri utara Ma­laysia. Sasaran kerajaan untuk merealisasikan purata pendapatan isi rumah kepada RM12,964. Bagi golongan 40 peratus berpendapatan rendah (B40), kerajaan menyasarkan purata pendapatan isi rumah mereka pada tahap RM6,043.

Maka, hanya dengan motivasi bangkit bersama untuk memberi kerjasama yang kukuh dengan pihak kerajaan akan mampu menjayakan agenda ini. Bukan setakat pertumbuhan negeri-negeri utara akan meningkat tetapi juga memberi kesan ekonomi yang positif buat lebih empat juta penduduk utara tanah air. Dijangkakan lebih 161,000 peluang pekerjaan akan dibuka kepada penduduk empat negeri utara Malaysia iaitu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Agenda-agenda ekonomi se­perti inilah cukup membuktikan bahawa setiap perancangan ekonomi memerlukan gabu­ngan kebangkitan bersama oleh semua pihak. Tidak ada pihak yang berasakan mereka terpinggir. Jauh sekali ketinggalan berban­ding segelintir pihak yang sudah maju ke hadapan. Malah, gabu­ngan antara mereka yang sudah berjaya dan belum berjaya akan mencetuskan kebangkitan bersama yang manfaatnya tidak dijang­ka sebelum ini.

Kejayaan itu tidak mungkin datang bergolek tanpa adanya usaha berterusan oleh individu. Di sinilah pentingnya setiap individu rakyat Malaysia saling membantu dan bangkit bersama tanpa perlu rasa terpinggir atau dipinggirkan demi memajukan negara ini. Sokongan berterusan antara satu sama lain tanpa berbelah bahagi sehingga mencetuskan satu fenomena bangkit bersama dalam memajukan Malaysia akan menjadikan kehidupan rakyat negara ini lebih bersatu padu dan sejahtera.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.