Namun semangat sebagai rakyat 1Malaysia tidak pernah luntur. Tidak kira siapa pun yang bertanding selagi di dadanya tersemat Jalur Gemilang, seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan padu. Inilah kelebihan yang ada di sebuah negara bernama Malaysia ini.

Oleh itu, semangat perpaduan itu harus dikekalkan. Kita perlu bersatu menolak sebarang usaha memecahbelahkan kita kerana perbezaan politik. Pinggirkan kelompok yang cuba meraih kuasa politik dengan membangkitkan kebencian kepada kerajaan.

Perpaduan dan semangat 1Malaysia yang tersemat di hati seluruh rakyat negara ini tidak harus dirobek apatah lagi dihancurkan oleh segerombolan manusia yang berpolitik berdasarkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’.

Penulis membangkitkan soal kebencian ini selepas mengkaji bagaimana dalam laman-laman sosial dan portal berita propembangkang, biarpun kita berada dalam suasana Sukan SEA, ada pihak cuba menjadikan ia modal untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Mereka seolah-olah tidak berbangga dengan kejayaan Malaysia bukan sahaja menjuarai temasya itu tetapi juga memastikan kita menjadi tuan rumah terbaik. Segala-gala­nya terjadi kerana di dalam kepala mereka ‘sudah dipenuhi dengan ulat politik’.

Kelompok seumpama ini tidak harus dilayan dan perlu ditolak habis-habisan. Tidak salah untuk mencari sokongan untuk menang pilihan raya tetapi biarlah dilakukan berdasarkan kepada fakta bukannya emosi.

Sama ada suka atau tidak, kita perlu mengakui senario politik Malaysia ketika ini semakin dicemari oleh politik kebencian. Parti-parti pembangkang khususnya yang bergabung dalam Pakatan Harapan tidak pernah memuji atau menghargai apa sahaja usaha kerajaan.

Malah tidak terkecuali ‘serangan-serangan’ juga mula dihalakan kepada agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya semata-mata disebabkan ada pemimpin mereka disiasat.

Mereka semakin gembira dengan usaha itu apabila portal propembangkang seperti Malaysiakini bersedia menyiarkan komen-komen mengecam kerajaan dan agensinya dengan berselin­dung di sebalik ayat ‘kami tidak bertanggungjawab...’’

Walaupun ada komen-komen tersebut sudah melampaui batas sehingga ke tahap yang boleh dikategorikan menghina mahkamah, namun Malaysiakini tetap bebas tanpa dikenakan apa-apa tindakan. Mereka seolah-olah ‘kebal’ daripada tindakan, maklumlah kalau tindakan diambil nanti juak-juak mereka akan terpekik terlolong menuduh kerajaan cuba menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media. Tetapi kebebasan ada hadnya, kebebasan mutlaknya hanya akan mengundang malapetaka kepada negara ini.

Hakikatnya, kita tidak boleh membiarkan sentimen kebencian terus dimainkan oleh pihak-pihak tertentu ter­masuklah portal berita yang merasakan mereka bebas ­melakukan apa sahaja kerana kerajaan tidak berani mengambil tindakan ke atas mereka.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menolak sebarang amalan atau perbuatan termasuk dari segi politik yang menggunakan sentimen kebencian bagi meraih sokongan.

Adalah sesuatu yang malang jika di negara kita masih ada kelompok yang jahil untuk memahami erti kebebasan sebenar dan rela melakukan apa sahaja asalkan mereka boleh menumbangkan kerajaan sedia ada.

Justeru atas semangat perpaduan yang ditunjukkan sepanjang Sukan SEA berlangsung dan atas perasaan cintakan tanah air tercinta ini, marilah kita bersama-sama bangkit menghapuskan kebencian.

Jangan biarkan negara ini porak peranda akibat sentimen itu. Jangan biarkan kestabilan negara tergugat akibat mereka yang rakus mahu merampas kuasa dan jangan biarkan ada mana-mana kelompok menjadi ejen perosak kepada Malaysia tercinta ini.

Marilah kita Bangkit Bersama mempertahankan kestabilan negara. Marilah kita Bangkit Bersama mengukuhkan perpaduan dan Marilah kita Bangkit Bersama untuk mencapai Malaysia yang lebih gemilang.