Walaupun baru dilantik ke jawatan ini Julai tahun lalu, Mohd. Nor sebenarnya sudah berada di CBP sejak awal tahun 2017  sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO). 

“Sebenarnya bukan senang hendak menguruskan sebuah bank berteraskan koperasi. Alhamdulillah, dalam tempoh mencabar ini, saya banyak mendapat sokongan padu dan reaksi positif daripada ahli lembaga pengarah, kakitangan, orang luar dan juga badan kawal selia supaya menjadikan Coopbank Persatuan sebagai satu jenama yang dikenali ramai dan dihormati.

“Visi saya tidak berubah sebab ia merupakan asas yang ditetapkan lembaga pengarah dan saya akan teruskan kerana kita mahu mencapai dividen pada kadar 10 peratus pada 2020.  Bagi mencapai hasrat ini, saya jadikan Bank Rakyat sebagai penanda aras kita kerana mereka mampu bayar sehingga 15 peratus dividen,” katanya.

Mohd. Nor yang dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Lubuk Meriam, Tasek Gelugur, Seberang Perai, Pulau Pinang ternyata berbangga dapat menerajui bank koperasi pertama di negara ini. Sebagai anak kelahiran Pulau Pinang, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Menora dan menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Bakti, Tasek Gelugor. 

Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1984 melalui tajaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian).

Mohd. Nor memulakan kerjaya di Jabatan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 1988 sehingga tahun 2004. Sepanjang 16 tahun berkhidmat dengan BNM, beliau telah dipinjamkan kepada beberapa institusi di bawah seliaan BNM seperti Tabung Pemulihan Usahawan (TPU) (1993-1995), Tabung Projek Perumahan Terbengkalai (TPPT) (1995-1996), Financial Park Labuan (1997-1999) dan Danamodal Berhad (2000-2004).

“Saya banyak belajar tentang usahawan bumiputera. Ramai usahawan bumiputera ketika itu menghadapi masalah kewangan. Melalui tabung TPU ini, kita berjaya mengenalpasti masalah utama yang dihadapi oleh ramai usahawan bumiputera dan seterusnya dapat menyelamatkan mereka daripada masalah kewangan yang dihadapi dengan institusi kewangan. Itu juga satu kejayaan besar Bank Negara," katanya.

Apabila melihat banyak projek perumahan terbengkalai, Bank Negara menubuh satu lagi Tabung Projek Perumahan Terbengkalai (TPPT).

“Dari TPU, saya dihantar pula ke TPPT selama dua tahun mulai 1995. Waktu itu banyak projek terbengkalai di seluruh negara. Bagaimanapun, berkat disiplin dan intergriti pegawai TPPT yang tinggi, jadi kita berjaya membantu pulihkan banyak projek rumah terbengkalai di seluruh negara antaranya di Taman Perkasa di Kajang dan Taman Tun Perak di Cheras.

“Di sini saya belajar macam mana nak menguruskan sesuatu projek perumahan supaya tidak terbengkalai. Macam mana nak berurusan dengan pemaju, kontraktor dan konsultan yang dilantik,” katanya.

Pada pengujung 1996, sesudah berjaya memulihkan ramai usahawan melalui TPU dan rumah terbengkalai melalui TPPT, Bank Negara menghantar beliau ke Financial Park Labuan. Mohd. Noor tidak lama di Labuan dan dihantar pula ke bahagian Insuran Bank Negara pada penghujung 1999.

Kepimpinan

“Alhamdulillah saya boleh buat kerja tentang insuran pula. Saya rasa dah lengkap. Semasa krisis ekonomi, awal tahun 2000, saya diarah bertugas di Danamodal Berhad bagi membantu bank-bank yang bermasalah dengan melakukan suntikan modal untuk memastikan bank-bank terlibat lebih berdaya saing dengan bank-bank yang lebih besar,” katanya.

Selepas Danamodal, Mohd. Nor dihantar ke bahagian Payment System pula. Mulai tahun 2005 hingga 2012, beliau bertugas di Cagamas Berhad dan seterusnya, meneruskan karier di Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

Berbekalkan pelbagai pengalaman yang diperolehi itulah dimanfaatkan sebaik-baiknya ketika beliau bertugas sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Coopbank Persatuan (CBP) pada 1 Januari 2017, seterusnya dinaikkan pangkat sebagai CEO CBP pada 1 Julai 2017.

Sebagai sebuah bank berteraskan koperasi, CBP mula mengorak langkah yang lebih positif di bawah kepimpinan Mohd. Nor, apabila menempa sejarah memperoleh keuntungan sebelum cukai dan zakat tertinggi dalam tempoh 67 tahun iaitu sebanyak RM39.7 juta berbanding dengan jumlah tertinggi yang pernah direkodkan pada tahun 2010 sebanyak RM35.2 juta.

“CBP turut menempa sejarah apabila diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan BNM untuk menerbitkan Saham Keutamaan Islamik Boleh Terus Dan Boleh Ubah (i-RCPS) sebanyak RM300 juta dalam bulan Jun 2017. CBP merupakan koperasi pertama yang menerbitkan i-RCPS di Malaysia,” beritahu Mohd. Nor.