Agenda balik raya ke kampung halaman menjadi sesuatu yang mesti kepada sesetengah orang. Tidak boleh tidak. Tidak dapat balik kampung, muka boleh jadi masam mencuka. Apa tidaknya, masa sekelumit inilah baru dapat berjumpa adik-beradik, sahabat-handai serta saudara-mara. Pada waktu lain, masing-masing sibuk dengan urusan keluarga, kerjaya dan rumahtangga.

Dilema berhari raya ini ada macam-macam. Bagi yang mempunyai anak kecil mungkin kurang masalah, bawalah ke mana saja mereka tetap suka. Bagi yang punya anak dewasa mungkin tidak dapat pulang beraya ke kampung bersama-sama lagi kerana mereka sendiri sudah ada emak dan bapa mertua yang perlu diziarahi. Malah ada juga yang sudah punya menantu, cucu dan cicit, tidak lagi berupaya pulang ke kampung halaman kerana terpaksa menunggu anak menantu dan cucu pulang beraya ke rumah pula. Inilah fakta dan kitaran hidup yang harus ditempuhi.

Seterusnya, apakah tujuan kita pulang beraya? Pastilah niatnya mahu bergembira dan bukan untuk bermasam muka dengan sanak-saudara. Oleh itu banyak perkara harus diberikan tumpuan sebelum, semasa dan selepas kita balik kampung.

Dari segi sikap, pembawaan diri, percakapan dan perlakuan malah cara pemanduan harus diberi perhatian agar dapat membantu mencipta kegembiraan di samping dapat meminimumkan perselisihan pendapat dan salah faham ketika menyambut lebaran.

Penulis ingin mencadangkan beberapa perkara yang patut dan tidak patut dilakukan ketika berhari raya di kampung halaman.

Pertama - Janganlah diikutkan sangat kerenah anak remaja kita yang gemar mengajak keluar ke pasar raya atau ke restoran makanan segera. Biarkan mereka belajar makan cara kampung. Ajar mereka untuk mengenal makanan tradisional kita.

Kedua - Jaga anak-anak kita supaya tidak main bunga api atau mercun. Takut terkena kereta orang atau rumah jiran, boleh bermasam muka. Ajar mereka supaya tahu bagaimana untuk menjaga harta benda termasuk harta orang lain.

Ketiga - Tegurlah anak-anak kecil agar jangan berkejaran di dalam rumah bagai berada di stadium balapan lagaknya. Selain mengajar mereka hormat, dapat juga menghindarkan sebarang kecelakaan yang mungkin tidak kita jangka.

Keempat - Ajar juga anak pe­rempuan kita untuk membantu nenek dan emak saudara mengemas rumah dan tempat tidur, mengganti kain langsir, membasuh kain baju, menukar sarung kusyen, mengemas meja makan atau membasuh pinggan mangkuk di dapur.

Kelima - Anak lelaki pun perlu kita ajar membantu menyapu sampah di laman atau membantu datuk dan bapa saudara menyiang ayam dan daging untuk dibuat rendang. Datuk dan nenek mereka bukankah sudah berusia dan tidak kuat lagi untuk melakukan banyak benda. Eloklah anak cucu pula yang melakukan kerja bagi meringankan tugas mereka.

Keenam - Jagalah aurat antara saudara lelaki dan perempuan untuk keselesaan bersama. Jika biasa berlenggeng di rumah sendiri, ja­nganlah amalan itu diteruskan di kampung pula. Ipar duai dan sanak saudara perempuan dan lelaki yang bukan mahram bukankah ramai ketika itu. Anak-anak remaja pe­rempuan dan lelaki kita pun perlu diperingatkan sama agar menjaga aurat ketika bergaul de­ngan sepupu yang bukan mahram mereka.

Ketujuh - Santunilah kaum keluarga yang agak kurang serba-serbinya. Hindarkan bersembang membangga diri. Seelok-eloknya fokuskan dalam membina sila­turahim. Jika mereka duduk di lantai, turunlah duduk bersama di lantai. Rendahkan diri seperti mereka juga. Baru keserasian datang menjelma.

Kelapan - Kalau boleh elakkan bercerita bab politik dan memberi syarahan agama percuma yang keterlaluan kerana ini juga boleh mengundang pergeseran. Cuba elakkan daripada menunjukkan ketaksuban kepartian mahupun kewarakan melampau di hadapan sanak-saudara.

Kesembilan - Untuk menge­lakkan anak remaja kita daripada membelek telefon pintar setiap masa, kita sebagai ibu bapa pun seelok-eloknya tidak bergayut sama. Inilah masanya untuk bermesra bersama kaum keluarga dan bukannya sibuk melayan teman alam maya dalam gajet yang tak pernah pun kita bersua muka.

Ke-10 - Menantu perempuan wajar ringan-ringankan tulang membantu di dapur. Janganlah memerap di dalam bilik melayan suami dan anak-anak atau melingkar di kusyen menonton televisyen sahaja.

Ke-11 - Janganlah berebut bilik tidur yang terhad sehingga bermasam muka dengan ipar duai. Pandai-pandailah berpakat de­ngan mengutamakan yang perempuan untuk berkongsi bilik sebab mereka lebih memerlukannya.

Ke-12 - Berkongsi belanja dapur. Janganlah dibebankan kepada ibu bapa kita yang sudah tua. Ada yang pencen. Ada juga yang tidak bekerja. Hulurkan sumbang­an seada dan semampunya. Sama ada di kampung kita atau di rumah mertua, kalau ada rezeki lebih, hulurkanlah lebih sedikit. Ibu bapa kita tidak akan meminta. Tapi kita kena faham-faham sendiri sahajalah.

Ke-13 - Janganlah mengomel makanan tak sedap itu begini sebab ada banyak selera makan yang perlu dipenuhi. Tidak akan tertunai kehendak pelbagai selera yang ada pada ketika itu. Makanlah apa yang ada dengan reda.

Ke-14 - Janganlah cepat sensitif. Sekali-sekala bersama ipar duai, bukan semuanya indah meskipun kelihatan meriah suasananya. Terlebih kurang dalam percakapan, anggaplah itu semua tidak disenga­jakan. Belajarlah untuk berlebih kurang dan saling menghormati pendapat orang lain.

Ke-15 - Bagi yang beraya di rumah mertua, ibu bapa mertua adalah ibu bapa kita juga. Mungkin tidak sama dengan beraya di kampung sendiri tetapi belajarlah menerima seadanya.

Ke-16 - Sebelum berangkat pulang, hulurkan pemberian seikhlasnya kepada ibu bapa kita dan mertua. Tak perlu banyak, sekadar yang kita mampu. Cuma kalau boleh janganlah diberi di dalam sampul duit raya kerana orang tua ini ramai anak cucu cicit. Manalah tahu, kalau sampul yang kita berikan khas itu dikitar se­mula untuk diberi kepada cucu cicit tanpa melihat isinya kandung­annya terlebih dahulu. Bukankah sudah jadi kes aniaya kalau begitu pengakhiran cerita­nya.

Ke-17 - Ketika berhari raya, je­ngah jugalah rumah jiran tetangga. Jangan asyik bergambar dan me­laram baju raya sehingga lupa untuk berkunjung dan bermaaf-maafan antara satu dengan yang lain.

Sebagai kesimpulannya, niat kita balik ke kampung halaman berhari raya adalah untuk menge­ratkan persaudaraan, dan bukannya untuk mencari persengketaan. Oleh yang demikian, sewajarnya bersama-sama memupuk silaturahim dan berusaha untuk mencerna kegembiraan sambil cuba memi­nimumkan pergeseran pendapat mahupun perlakuan tidak molek semasa kita berhari raya dengan kaum keluarga tercinta.

Hanya dengan itu, barulah dapat kita kembali ke kota untuk bekerja dan menempuh hari-hari muka dengan wajah yang lebih ceria setelah puas berhari raya di kampung halaman.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Melaka Kampus Jasin.