Seperti terujanya rakyat Johor dengan beberapa gagasan besar sebelum ini seperti konsep Bangsa Johor, Muafakat Johor, Team Johor, begitulah juga riak balas ­rakyat pada aspirasi Dekad Baharu Johor ini. Yang menariknya, aspirasi ini dibentangkan dengan terperinci yang menampilkan enam tunjang utama.

Selaku orang muda, pastinya perkara yang paling menarik perhatian adalah fokus keempat iaitu komitmen untuk menggandakan usaha besar-besaran bagi memastikan setiap putera-puteri rakyat Johor dibangunkan pemikiran, bakat dan kemahirannya secara bersepadu.

Fokus ini dicambahkan melalui beberapa pelan pelaksanaan seperti pengukuhan Pelan Johor Mahir, pemberian lebih banyak biasiswa, bantuan pendidikan, serta pusat latihan kemahiran skilling, upskilling dan reskilling.

Orang muda pasti teruja melihat bakat dan kemahiran anak muda menjadi salah satu agenda utama Johor. Keterujaan ini adalah berdasarkan beberapa sudut pandang dan kerisauan panjang yang kini sudah ada jawapannya.

Pertama, kesungguhan kerajaan negeri Johor untuk bergerak seiring dengan agenda negara-negara dunia yang giat membangunkan bakat dan potensi golongan muda negara mereka. Misalnya, inisiatif SkillsFuture yang dilaksanakan di Singapura sejak 2014.

Skim tersebut menjadi platform kepada golongan muda untuk mengembangkan bakat dan meningkatkan tahap pendidikan serta kerjaya dalam pelbagai bidang. Malah, di India, kempen Skill India telah mula dilaksanakan sejak 2015 yang meletakkan beberapa inisiatif utama untuk memajukan perkembangan bakat dan kerjaya orang muda.

Ini termasuklah inisiatif se­perti penyediaan skim latihan ke­mahiran yang menawarkan sijil kemahiran dan ganjaran bagi mereka yang berjaya menamatkan program mengikut tempoh yang ditetapkan.

Kedua, agenda keempat yang dibentangkan dalam Amanat Menteri Besar Johor 2018 ini menjadi jawapan kepada kerisauan anak muda terhadap hala tuju sebahagian mereka terutama­nya yang tinggal di kawasan luar bandar, Felda dan kampung.

Ramai anak muda hari ini sebenarnya lebih berminat untuk be­kerja dalam bidang yang memerlukan kemahiran, namun tidak tahu untuk mengembangkan bakat dan mencari arah lapangan kerjaya yang bersesuaian. Sekurang-kurangnya melalui inisiatif Dekad Baharu Johor ini, bakat dan kemahiran mereka tidaklah terhenti di halaman sendiri tetapi berpotensi untuk ditingkatkan dan ditawarkan pada halaman negeri.

Namun, apalah guna rencana yang baik jika gagal untuk disampaikan dengan sempurna kepada golongan sasarnya iaitu orang muda Johor. Dunia hari ini memang sedang berlumba-lumba memanfaatkan kemajuan Internet dan media sosial. Begitu juga Johor yang tidak mahu ketinggalan dalam menggerakkan segala bentuk inisiatif dan pembangunan Dekad Baharu Johor melalui media sosial dan teknologi komunikasi termaju.

Bagaimanapun, biar setinggi mana kebergantungan yang ingin kita letakkan pada medium teknologi maklumat, internet dan media sosial, penyampaian secara langsung dan nyata kepada golongan sasar masih merupakan pendekatan yang tidak boleh diketepikan. Ini memastikan se­gala inisiatif yang ditawarkan ke­pada orang muda Johor dapat disampaikan secara menyeluruh. Pandangan ini didasari oleh beberapa sebab.

Pertama, fokus untuk membangunkan bakat dan kemahiran ini menyasarkan orang muda sebagai target. Maka tidak boleh tidak untuk kita mengambil kira segala medium untuk memastikan semua bantuan dan program yang ditawarkan sampai hebahannya kepada mereka.

Terma-terma menarik seperti Bangsa Johor, Team Johor, dan kini Dekad Baharu Johor mungkin tular dan meniti di bibir mereka. Namun ia kekal sekadar tularan terma dan konsep yang menarik, bukan pada kefahaman tentang intipati dan kandungannya.

Maka, jika benar amanat ini amanat yang ingin direalisasikan, medium hebahannya tidak hanya boleh dilakukan di atas talian atau internet semata-mata. Tetapi juga melalui medium hebahan secara konvensional, yang bersifat bersemuka dan pertemuan secara langsung dan nyata dengan orang muda.

Kedua, adalah penting agar segala inisiatif yang dibentangkan ini mempunyai unit pemantau atau pusat perhubungan yang khusus.

Ketiga, segala proses perkembangan bakat dan pemikiran mestilah bersifat realistik dan disusun mengikut keperluan semasa. Khususnya yang diperlukan oleh pihak industri. Kita mesti tidak terlalu memfokuskan kepada aspek teori. Sebaliknya, kerjasama dengan para majikan serta pemain dari pelbagai sektor adalah sangat penting.

Keempat, kerajaan negeri mesti memastikan yang segala proses permohonan dan pelaksanaannya disusun secara ringkas dan mudah. Jangan sampai minat mendapat orang muda terhadap bidang kemahiran terbantut dan mati dek kerenah birokrasi yang rumit, panjang dan merimaskan.

Kita percaya untuk setiap matlamat dan hala tuju yang kita sasarkan dalam hidup, cara dan mekanisme pelaksanaan adalah kunci kejayaannya. Semoga agenda pembangunan bakat dan kemahiran anak muda Johor ini berjaya direalisasikan demi Dekad Baharu Johor yang lebih gemilang.

MOHD. DAUD MAT DIN ialah Pengarah Penyelidik Bait Al Amanah dan ANI NAJIHA MD. SHAH ialah pelajar sarjana undang-undang Universiti Malaya (UM).