SEORANG kanak-kanak melintasi replika wau Barisan Nasional (BN) yang dipasang oleh penyokong parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 di Alor Setar, Kedah. 

Namun begitu berapa ramai yang “teringin” itu sedar akan tanggungjawab yang bakal dipikul sekiranya dipilih kelak. Ringkasnya, adakah mereka yang menawarkan diri ini benar-benar bersedia?

Maka kerana itu penulis merasakan perlunya diwujudkan satu bentuk orientasi untuk bakal-bakal wakil rakyat ini. Penulis sebenarnya merasakan lebih cenderung untuk mewajibkan kursus sebegini, agar keseriusan bakal wakil-wakil rakyat boleh dinilai dari mula lagi.

Orientasinya bukanlah berbentuk seperti orientasi ketika kita melalui minggu haluan siswa ataupun seperti ketika baru mendaftar sebagai pelajar di universiti, tetapi lebih kepada orientasi untuk memahami keperluan dan kehendak masyarakat yang mereka akan wakili.

Penganjurnya, pastilah dalam kalangan pertubuhan persatuan penduduk atau NGO yang bebas unsur politik di dalamnya.

Antara kandungan orientasi ini termasuklah memahami selok-belok geografi kawasan yang akan diwakili, mengetahui secara teliti back to back mengenai pendapatan per kapita dan pecahan bangsa. Beliau juga harus mempunyai senarai mereka di bawah radar Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Asnaf Pusat Zakat.

Bakal wakil-wakil rakyat juga harus mendampingi balai polis setempat untuk mengetahui sendiri kadar jenayah kawasan dan jabatan perpaduan dan integriti untuk mengetahui titik-titik panas penyatuan bangsa.

Dengan adanya maklumat sebegini pastinya bakal wakil-wakil rakyat tersebut dapat menjangkakan apa yang terburuk jika mereka terpilih mewakili kawasan tersebut.

Bukan sekadar itu, mereka ini juga harus mengetahui apa yang dikehendaki oleh setiap lapisan masyarakat setempat, dan berjuang untuk mendapatkannya.

Hakikatnya, setiap wakil rakyat perlu melihat sesesuatu dalam keadaan mikro sebelum bercita-cita meletakkan diri dalam keadaan makro seperti menjadi exco kerajaan negeri mahupun menteri di peringkat pusat.

Penulis lebih suka selepas setiap orientasi ini, wakil-wakil yang ingin menjadi Yang Berhormat harus mengemukakan satu blueprint kawasan untuk dikemukakan kepada parti-parti politik mereka, ini boleh dijadikan satu manifesto khusus untuk kawasan tersebut. Kerana bagi penulis setiap kawasan mempunyai perbezaan kehendaknya.

Orientasi kedua pula perlu melibatkan pasangan bakal wakil-wakil rakyat ini. Wakil rakyat yang tidak mendapat sokongan daripada pasangan masing-masing harus diketepikan, kerana konsep negara kita menitikberatkan kesepaduan kekeluargaan. Maka orientasi ini diperlukan untuk menjelaskan peranan dan sokongan yang diberikan oleh setiap pasangan terhadap bakal wakil-wakil rakyat ini. Jangan nanti ada pasangan yang bertindak menjadi “lebih sudu daripada kuah”.

Suka juga penulis menegaskan kepada mereka yang sudah menyandang jawatan wakil rakyat lebih daripada dua penggal tetapi gagal menunjukkan prestasi yang membanggakan harus dengan sukarela diganti dengan muka baru yang lebih proaktif. Kadangkala terlampau lama juga menyebabkan seseorang itu merasa selesa dan alpa akan tanggungjawab yang patut mereka pikul.

Konsep report card sering kali dicadangkan dan sudah tiba masa dikuatkuasakan. Saya merasakan mereka yang memperoleh markah kurang daripada 80% harus digugurkan secara automatik daripada jawatan ini. Jawatan ini hanya boleh dan layak disandang oleh mereka yang punya komitmen tinggi sahaja.

Secara tuntasnya peranan utama wakil rakyat ialah mewakili rakyat kawasan pilihan rayanya. Justeru, wakil rakyat tersebut menggalas amanah besar yang hendaklah ditunaikan dengan jujur dan bijaksana sebagaimana kehendak mereka yang berada di daerah pilihan rayanya. Wakil rakyat itu bukan sahaja mewakili rakyat yang mengundi mereka semasa pilihan raya tetapi juga rakyat yang tidak menyokong atau tidak mengundi mereka semasa pilihan raya. Selain itu kepentingan rakyat boleh dijaga dengan saluran bantuan serta projek-projek tempatan.

Dalam perkhidmatan wakil rakyat, hendaklah diwujudkan ruang-ruang untuk rakyat berhubung bagi mendapatkan maklumat dan bantuan. Ketika ini zaman teknologi yang memerlukan maklumat disalurkan dengan pantas. Maka wakil rakyat yang savvy teknologi sahaja yang amat diperlukan masa kini.

Wakil rakyat hendaklah menyediakan akses maklumat kepada rakyatnya tentang agenda penting negeri atau negara. Wakil rakyat juga perlu melibatkan rakyat dan menjelaskan peranan mereka dalam konflik serta perlu membina konsensus dan mencapai penyelesaian. Wakil rakyat perlu responsif kepada setiap keperluan rakyat.

Secara umumnya peranan wakil rakyat sebagai wakil kepada rakyat, hendaklah membuatkan rakyat berasa mereka diwakili oleh wakil yang mereka secara majoriti telah pilih.

Justeru, harapan kita kepada wakil rakyat, sudah pasti untuk mereka melaksanakan amanah dengan baik sehingga mampu menyelesaikan masalah, bukan sahaja masalah dalam kawasan mereka, tetapi juga menyelesaikan masalah negara.

YB itu bukan sekadar Yang Berhormat, malah meliputi Yang Berkhidmat, Yang Bertimbang rasa dan pastinya Yang Berkorban.

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI ialah Pengarah IPDM, Universiti Utara Malaysia (UUM).