Disebabkan menetap di Kangar sedangkan anak pula bersekolah di Arau, maka setiap harilah penulis akan berulang alik antara dua daerah itu. Antara dua lokasi itu, dianggarkan terdapat hampir 10 buah persimpangan lampu isyarat yang perlu dilalui untuk perjalanan sehala.

Sudah pasti ibu bapa lain turut menjalani rutin sama, apatah lagi di negeri ini hampir tiada per­khidmatan bas sekolah yang ditawarkan. Entah apa puncanya, ibu bapa lebih gemar untuk menghantar sendiri anak-anak mereka ke sekolah menggunakan kenderaan sendiri.

Bukanlah isu bas sekolah yang menjadi persoalannya tetapi ia­lah sikap ibu bapa yang gemar me­langgar lampu isyarat semasa memandu atau menunggang motosikal. Malah tidak keterlaluan dikatakan ada yang ‘buat-buat’ tidak nampak lampu merah yang sedang menyala itu.

Mereka lupa bahawa dalam memastikan anak-anak sampai ke sekolah, ibu bapa juga sebenarnya ketika itu sedang menjalankan tanggungjawab mendidik pelajar yang dibawa. Bayangkan kalau ibu bapa sendiri gemar melanggar peraturan lalu lintas (lebih malang setiap hari), bagaimana pula hendak diharapkan si anak untuk mematuhinya.

Buatlah kempen keselamatan jalan raya macam mana pun, tetapi jika didikan ibu bapa itu gagal dilaksanakan, tidak mustahil ia akan sia-sia. Maka tidak hairanlah nanti si anak akan membesar dengan ‘hasil’ didikan untuk tidak menghormati undang-undang.

Harus diingatkan bahawa meng­­­hormati lampu isyarat bukan sahaja ketika waktu tertentu, tetapi juga semasa waktu malam atau awal pagi apabila tiada kenderaan. Inilah contoh kepimpinan melalui teladan yang seharusnya wujud dalam setiap diri ibu bapa apatah lagi ketika hendak menghantar anak ke sekolah untuk menuntut ilmu.

Itu pun belum diambil kira ibu bapa yang tidak memakai topi keledar atau hanya mereka sahaja yang menggunakannya.

Menggunakan telefon bimbit di atas jalan raya selain ada ibu bapa yang menunggang motosikal secara melawan arus di sesetengah lokasi untuk tujuan cepat sampai ke sekolah.

Penggunaan telefon bimbit ini dibuktikan dalam tinjauan akhbar ini baru-baru ini berserta gambar yang mendapati ramai yang tidak mengendahkan larangan ber­ke­naan.

Sesuatu yang menghairankan, sepanjang tempoh di Perlis, tiada pula terserempak dengan penguat kuasa yang menjalankan operasi pematuhan undang-undang ini. Mungkin bagi memastikan kelancaran lalu lintas ketika waktu puncak atau sebab lain yang tidak dapat dipastikan.

Namun bagi mengelak kejadian buruk berlaku, eloklah pada pandangan penulis, sekali-sekala dijalankan operasi penguatkuasaan atau setidak-tidaknya bagi tujuan mendidik.

Berdasarkan pengalaman, lo­ka­si yang perlu diberi perhatian ialah persimpangan lampu isyarat di Sekolah Kebangsaan Jejawi, Mata Ayer dan Kampus Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Kubang Gajah.

Difahamkan, ada lokasi dinyatakan itu turut menjadi antara pe­­nyumbang kes kemalangan di waktu pagi kerana kenderaan yang dipandu laju.

Ingatlah wahai ibu bapa bahawa tugas mendidik anak mematuhi peraturan lalu lintas, bukan sahaja terletak di bahu penguat kuasa semata-mata kerana merekalah yang sepatutnya mencorak sikap ‘pemimpin’ masa depan ini terlebih dahulu.