Ini bermakna tidak sampai pun tiga bulan lagi kita akan menyambut bulan suci Ramadan dan selepas itu disusuli dengan Syawal.

Jika mengikut kronologinya, dan memang itulah aturan yang mengikut tabii, kita akan menempuh bulan puasa terlebih dahulu iaitu mulai sekitar 27 Mei, dan selepas sebulan barulah berhari raya.

Tetapi agak pelik, ramai dalam kalangan kita umat Islam sekarang sudah mula membuat persediaan untuk menyambut hari raya. Sedangkan yang akan muncul terlebih dahulu ialah bulan puasa, bukannya bulan raya.

Paling teratas dalam senarai persediaan awal untuk menyambut 1 Syawal itu tentulah tempahan membuat baju raya.

Sejak awal tahun ramai yang sudah kalut mengunjungi kedai jahit dan butik. Alasannya tidak mahu menunggu saat-saat akhir. Takut tukang jahit enggan menerima tempahan. Peliknya ini baru bulan Mac, ada lebih tiga bulan menjelang Syawal. Sejak bila pula tempoh itu sudah dianggap singkat dan seolah-olah di ambang Syawal?

Namun itulah hakikat yang berlaku. Penulis difahamkan ada yang sejak Januari lagi, maksudnya dari enam bulan lalu sudah pun membuat persediaan untuk pakai­an hari raya 2017. Awal-awal lagi membeli kain sedondon suami isteri. Yang baru menimang anak dan tahun pertama bakal me­nyambut hari raya bertiga pula usah ceritalah, sudah dicari dua tiga persalinan sedondon sejak hujung tahun lepas lagi.

Yang sudah lama berkeluarga pun dua kali lima, dari raya tahun lepas sudah merancang tema warna apa yang hendak dipakai pada tahun ini. Kalau tahun lepas warna oren labu, tahun ini pula hendak warna hijau rimba.

Maklumlah mengikut ramalan ikon fesyen antarabangsa bahawa, green is the color of 2017. Kenalah ikut trend.

Kecenderungan gedung-gedung tekstil di negara kita mengadakan jualan murah mega sepanjang tahun turut menyumbang kepada ke­ghairahan orang kita membeli-belah atas alasan untuk persiapan hari raya. Walau hakikatnya anak bulan Ramadan pun lambat lagi hendak menjelma.

Dalam hal ini sebenarnya tidak salah sikap orang kita yang gemar membuat persiapan awal itu.

Tidaklah di saat-saat akhir, gaji hujung bulan menjelang Syawal, barulah sibuk hendak membeli itu ini. Hendak menempah baju tidak sempat, maka terpaksa membeli baju siap. Nama pun baju siap, saiz dan ukurannya kadangkala sukar dijangka, nasib baik muat cukup-cukup, adakalanya panjang di tangan, kaki seluar atau kain. Terpaksa pula ditambah bajet untuk membayar upah mengubah suai atau membega baju siap itu. 
Sebab itu, memang elok sangat ada perancangan awal agar bajet rumah tangga dan bajet khas menyambut hari raya boleh diatur cantik.

Cuma yang tak eloknya, sikap kita itu berpilih. Ke­ghairahan kita membuat perancangan awal bukan untuk semua perkara, bahkan kadang-kala terhad untuk benda-benda yang tidak patut diawalkan sangat pun.

Kita beria-ia membuat persiapan hari raya enam bulan lebih awal, tetapi tidak pula beria-ia mengatur persediaan menyambut puasa? Persediaan kita lebih kepada duniawi atau kebendaan. Sedangkan aspek rohani dan keagamaan kita kesampingkan.

Jika Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma dalam tiga bulan sahaja lagi, logiknya tentulah Ramadan lebih dekat jaraknya.

Jika baju raya sudah ditempah, bagaimana pula dengan puasa, sudahkah berganti? Jangan-jangan ada yang puasa dua tahun lepas pun masih berhutang lagi. Hanya sempat membayar fidyah sedangkan jumlah hutang puasa masih belum luak atau masih berbaki.

Persediaan hari raya kita buat awal-awal lagi, sejak tiga bulan lepas bahkan ada yang dibuat sejurus melangkah ke tahun baharu, sedangkan puasa ganti kita tangguhkan sehingga hujung Syaaban. Malah tidak mustahil ada yang terkulat-kulat kerana baru teringat yang puasa belum habis berganti selepas melihat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengumumkan melihat anak bulan Ramadan.

Kalau kita bijak merancang bajet persiapan hari raya, seelok-eloknya biarlah bijak juga mengatur hari untuk melunaskan hutang puasa.

Kepada yang sudah membayar hutang puasa, syabas! Tetapi kepada yang masih berhutang, marilah kita sama-sama semak dan muhasabah diri, betulkah cara kita meletakkan keutamaan atau priority?

Bukan hanya dalam membayar hutang puasa, tetapi hutang yang lain-lain juga.