Beberapa inisiatif langsung dan tidak langsung dilihat mampu memberi manfaat kepada golongan wanita.

Inisiatif langsung seperti mewajibkan 30 peratus wanita dalam keahlian sebagai lembaga pengarah GLC, GLIC dan badan berkanun merupakan satu program bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengangkat wanita menerajui posisi penting dalam organisasi.

Selain itu, peruntukan RM26 juta untuk program latihan keusahawanan dan pengecualian cukai bagi wanita yang kembali bekerja merupakan kesinambungan kepada matlamat memperkasakan golongan wanita.

Inisiatif cuti bersalin mandatori dari 60 hari ke 90 hari dilihat memberi keceriaan kepada golongan wanita berkerjaya di sektor swasta manakala, inisiatif tidak langsung, adalah melalui tambahan dana Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) RM200 juta yang menjadikan jumlah dana sebanyak RM2.7 billion.

Inisiatif ini dianggap sebagai 'bonus' kepada wanita memandangkan rakan AIM sebahagian besarnya terdiri daripada wanita dan ibu tunggal.  

Cuti bersalin wanita di sektor swasta mandatori ditambah dari 60 hari ke 90 hari manakala bagi wanita di sektor awam, peningkatan cuti bersalin dari 300 ke 360 hari (maksimum 90 hari setahun) pasti melebarkan lagi senyuman di wajah golongan ibu bekerja.

Pengumumannya oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2018 memberi khabar ceria kepada wanita bekerjaya yang juga memberi sumbangan besar dalam ekonomi negara.

Pengurangan waktu bekerja kakitangan wanita hamil di GLC, selain pegawai kerajaan yang mengandung lima bulan ke atas diberi pelepasan balik awal sejam,  sudah pasti menambah khabar gembira buat golongan tersebut.

Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang diberikan kepada setiap bayi warganegara ini yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 hingga 2022 pula jelas sekali satu inisiatif holistik dalam meningkatkan jumlah populasi dan tenaga kerja pada masa hadapan.

Lebih menarik lagi, dengan mewajibkan semua bangunan pejabat baharu menyediakan pusat jagaan kanak-kanak bermula di Kuala Lumpur akan dapat mengurangkan kebimbangan ibu yang bekerja.

Kesimpulannya, golongan wanita menerima manfaat dalam bajet yang dibentangkan kali ini dan jelas sekali mereka tidak dilupakan oleh kerajaan dalam pembangunan ekonomi negara.

Bajet 2018 tidak syak lagi telah menceriakan wanita, yang sekali gus menyejahterakan keluarga dan masyarakat.


PENULIS ialah Profesor Madya di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).