Bajet 2018 yang dilihat cukup komprehensif dan mendapat sambutan hangat rakyat ternyata meresahkan pemimpin-pemimpin pakatan itu termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Selain itu, Azmin tanpa segan silu menganggap Bajet 2018 oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedikit seba­nyak meniru bajet kebajikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan PKR Selangor. Berikutan itu ramai ternanti-nanti apakah Azmin akan membentangkan bajet untuk negeri Selangor jauh lebih baik daripada bajet Perdana Menteri.

Tetapi ternyata, apabila bajet tersebut dibentangkan oleh Azmin, ia jelas tidak mempunyai apa-apa keistimewaan sebaliknya hanya menampakkan kekalutan kerajaan negeri yang diperintah oleh PKR, DAP dan Pas untuk menentukan hala tuju Selangor seterusnya.

Apa yang mengejutkan, ketika pemimpin-pemimpin pembangkang mengkritik Bajet 2018 Kerajaan Pusat berkaitan defisit, defisit perbelanjaan Kerajaan PKR Se­langor jauh lebih tinggi iaitu sebanyak 26 peratus daripada RM3.12 bilion iaitu jumlah keseluruhan pendapatan negeri.

Pada masa sama, penulis menganggap Azmin cuba mengelirukan rakyat khususnya penjawat awam Sela­ngor apabila mengumumkan pemberian bonus sebanyak tiga bulan, sedangkan faktanya ia hanya tambahan sebulan bonus sahaja.

Mungkin Azmin berbuat demikian kerana berasa ‘terpukul’ dengan pelbagai pe­ngumuman bantuan khas dan insentif oleh Kerajaan Pusat dalam Bajet 2018. Oleh itu, untuk menampakkan kononnya Kerajaan PKR Selangor tidak kurang hebatnya, maka pengumuman seumpama itu dibuat.

Penulis juga melihat Azmin semakin tertekan berikutan keprihatinan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dalam mena­ngani isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor.

Oleh itu, untuk menutup kegagalan menangani isu berkenaan, Azmin mengumumkan pemansuhan tunggakan sewa bagi PPR. Tetapi apa yang menjadi persoalan ramai, PPR mana yang dimaksudkan oleh Azmin? Kenapakah baru sekarang beliau sebagai Menteri Besar mahu memperkatakan soal tersebut? Apakah dalam bajet sebelum-sebelum ini soal PPR mendapat perhatian Azmin?

Sebab itulah penulis percaya, Azmin sebenarnya semakin tertekan dan kelam kabut dengan kegigihan serta keprihatinan Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor yang dilihat berjaya menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan PPR.

Apa yang lebih meresahkan Azmin ialah penduduk-penduduk PPR semakin menghargai apa yang dilakukan oleh Noh dan melihat Kerajaan PKR Selangor gagal membantu mereka. Walaupun Noh melakukan tugasnya sebagai menteri dan membela nasib penduduk PPR atas dasar tanggungjawab, namun Azmin melihat dari sudut politik. Atas sebab itulah, Azmin dan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Selangor mempolitikkan apa yang Noh lakukan.

Bagaimanapun, penulis percaya rakyat Selangor khususnya penduduk-penduduk PPR tidak akan mudah terpedaya dengan sandiwara politik oleh Azmin ketika membentangkan bajet negeri Selangor. Apatah lagi kalau diteliti bajet tersebut ia sama sekali tidak boleh menyai­ngi kehebatan Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri khususnya dalam memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir.

Ketika Azmin sering menguar-uarkan Selangor melaksanakan kepemimpinan berteraskan negeri berkebaji­kan, namun dalam bajet yang beliau ketengahkan, perkara itu masih boleh dipersoalkan. Ia memandangkan dalam bajet berkenaan tidak ternampak sebarang tanda-tanda atau pendekatan yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan PKR Selangor untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Kalau benarlah kerajaan PKR Selangor prihatin dan merasakan mereka lebih baik dari segi membantu rakyat dari sudut tersebut kenapakah tidak ada satu pun pe­ngumuman yang menjurus ke arah tersebut? Kenapakah hanya mengulangi skrip lama berhubung program-program yang sudah dilaksanakan sebelum ini tetapi hasilnya boleh dipersoalkan?

Ternyata sekali, bajet negeri Selangor yang dibentangkan oleh Azmin penuh dengan persoalan dan tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat negeri Selangor. Inilah akibatnya jika kita hanya pandai menuding jari dan mempertikaikan apa yang dilakukan oleh orang lain.

Justeru penulis berharap, rakyat akan menilai apa yang dilakukan oleh Azmin. Pembentangan bajet oleh Menteri Besar Selangor itu membuktikan Pakatan Harapan yang bercita-cita memerintah negara tidaklah sehebat mana.

Hakikatnya, bajet negeri Selangor bukan sahaja ‘gula-gula’ bagi meraih sokongan politik tetapi lebih pada bagaikan ‘tin kosong, bunyinya kuat, isinya tiada’.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.