Usaha murni yang dijalankan oleh JANM dalam membangunkan piawaian perakaunan Islam sewajarnya dipuji atas landasan merealisasikan piawaian perakaunan Islam yang pertama di dunia untuk digunapakai oleh institusi wakaf, zakat dan baitulmal di Malaysia.

Dalam konvensyen ini, hasil penyelidikan yang diperoleh para penyelidik daripada tiga buah universiti tempatan, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dibentangkan kepada pemegang taruh dalam membangunkan piawaian perakaunan Islam untuk digunapakai oleh institusi wakaf, zakat dan baitulmal di Malaysia.

Penulis melihat bahawa de­ngan kerjasama erat yang diberikan oleh para penyelidik daripada UKM, UUM dan UIAM kepada JANM, maka usaha murni itu mampu direalisasikan demi kebaikan umat Islam Malaysia.

Ini antara sebahagian kecil, bagaimana peranan universiti tempatan boleh digemblengkan demi kebaikan bersama. Sememangnya, peranan universiti cukup besar dalam membangunkan masyarakat dalam sesebuah negara.

Di universitilah, lahirnya begitu ramai cendekiawan dan pemikir yang terdiri daripada ahli akademik dan pelajar itu sendiri yang amat penting dalam merea­lisasikan agenda memperkasakan masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, mahu tidak mahu, pemain-pemain dalam universiti atau pengajian tinggi itu sendiri perlu sentiasa diberikan sokongan secara menyeluruh.

Sememangnya, universiti-universiti di Malaysia terutamanya universiti awam (UA) telah membuktikan bahawa mereka ini bertaraf dunia. Buktinya, sejak akhir-akhir ini pelbagai pengiktirafan antarabangsa diperoleh selain ranking UA meningkat tinggi membuktikan keyakinan masyarakat dunia terhadap kua­liti pendidikan tinggi Malaysia.

Malah, ramai pelajar antarabangsa meneruskan pengajian mereka bukan setakat di peringkat sarjana muda tetapi juga sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran. Mereka ini dididik, diajar dan di­selia oleh ahli akademik tempatan yang sentiasa menyasarkan kua­liti pendidikan yang terbaik buat ­keseluruhan para pelajar mereka.

Tidak hanya setakat menyelia, ahli akademik juga diamanahkan untuk menjalankan penyelidikan dan perundingan serta perlu komited melaksanakan penulisan dalam pelbagai jenis medium penerbitan seperti jurnal, buku, majalah, akhbar dan lain-lain.

Begitu juga, mereka dikehendaki menyumbang kembali ilmu-ilmu yang diperoleh kepada masyarakat melalui khidmat masyarakat dan membentangkan kertas kerja di seminar selain membuktikan kecemerlangan dari sudut kepimpinan akademik. Dengan kata lain, seseorang ahli akademik perlu membuktikan bahawa dirinya serba boleh dalam pelbagai bidang yang diamanahkan.

Itu adalah tanggungjawab besar yang dipikul oleh ahli akademik yang mana hanya mereka yang sedang dan pernah menjadi ahli akademik sahajalah mengetahui betapa besarnya tanggungjawab tersebut.

Sudah terbukti, ahli akademik tempatan telah melahirkan ramai tenaga pakar tempatan dalam pelbagai bidang termasuklah mereka yang bergelar ahli politik. Tenaga-tenaga pakar yang dilahirkan pula bukan setakat me­nyumbang ke atas negara ini sahaja tetapi juga di peringkat antarabangsa. Misalnya, penyeliaan ke atas pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah mem­bolehkan ilmu-ilmu yang diperoleh mereka daripada penyelia Malaysia disumbangkan kembali kepada masyarakat negara mereka selepas tamat pengajian kelak.

Tidak setakat itu, ahli akademik juga perlu sentiasa ­bekerjasama erat dengan pihak industri dan komuniti agar dapat memberi impak positif terhadap masyarakat sekeliling. Dengan kata lain, peranan universiti dan ahli akademik kepada negara amat besar yang mana institusi ini perlu sentiasa diperkasakan.

Lebih-lebih lagi, menjelang pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat depan, diharapkan ada khabar gembira buat warga UA. Ini termasuklah merealisasikan penambahbaikan skim gaji pensyarah UA yang sekian lama diperjuangkan oleh warga UA itu sendiri. Ini selain daripada usaha berterusan untuk meramaikan warga Malaysia yang memiliki ijazah kedoktoran.

Sayugia diingatkan, Malaysia memerlukan ramai tenaga pakar yang memiliki ijazah kedoktoran memandangkan agenda besar negara dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50) menitikberatkan kualiti modal insan tempatan. Kita perlu meramaikan golongan sebegini bagi melahirkan ramai cendekiawan yang boleh berbakti dan memberi impak besar buat negara.

Sebab itulah, mahu tidak mahu kerajaan perlu sentiasa menyokong rakyat tempatan meneruskan pengajian mereka termasuklah dalam bidang sains sosial sehingga ke peringkat ter­tinggi iaitu ijazah kedoktoran. Kerajaan perlu terus membantu mereka ini terutamanya dari sudut kewangan memandangkan aspek ini cukup kritikal bagi membolehkan mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi.

Dalam hal ini, Bajet 2018 perlu meneruskan komitmen dalam meramaikan tenaga kerja yang memiliki ijazah kedoktoran. Malah, komitmen sebegini perlu diteruskan dalam bajet-bajet negara pada masa akan datang demi manfaat keseluruhan ekosistem masyarakat Malaysia.

Justeru, pelaburan sebegini dapat memperkasakan pengajian tinggi terutamanya UA yang mampu memberi impak positif jangka masa panjang dalam melestarikan kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).