Bajet yang dianggap terbaik dalam tempoh 60 tahun dan disifatkan oleh pelbagai pi­hak khususnya rakyat sebagai amat menyeluruh, komprehensif serta membuktikan ketelusan dan ko­mitmen kerajaan membela nasib rakyat memungkinkan pemimpin 2M itu (Mahathir,Muhyiddin) ber­usaha memburuk-burukkan apa yang dibentangkan oleh Perdana Menteri.

Dr. Mahathir menuduh Bajet 2018 oleh kerajaan meniru Bajet Alternatif Pakatan Harapan manakala Muhyiddin juga cuba mewujudkan keraguan dalam kalangan rakyat apabila dalam satu kenyataan menegaskan beliau tidak yakin semua peruntukan yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam bajet berkenaan akan disalurkan.

Ternyata sekali pemimpin 2M tersebut yang kini bersekongkol dan bersekutu dengan Pakatan Harapan semakin kehabisan modal menyerang kerajaan. Mereka sebenarnya ‘terpukul’ dengan bajet berkenaan meman­dangkan sebelum ini mereka adalah antara kelompok yang menyebarkan dakyah kononnya kerajaan Malaysia bankrap.

Sebagai ahli politik yang pernah berada dalam kerajaan de­ngan menikmati pelbagai keistimewaan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Dr. Mahathir dan Muhyiddin sepatutnya jujur dalam memberi ulasan berhubung pembentangan bajet oleh Perdana Menteri.

Bagaimanapun oleh kerana in­gin menjaga hati rakan-rakan dalam Pakatan Harapan khusus­nya DAP dan dipengaruhi politik kebencian, Dr. Mahathir dan Muhyiddin terpaksa mengikut rentak pakatan itu. Ini bukanlah rentak baharu tetapi rentak yang sememangnya sudah lama dimainkan oleh PKR dan DAP.

Walaupun suatu ketika dahulu Dr. Mahathir dan Muhyiddin mengkritik sikap pembangkang yang tidak pernah sekelumit pun memuji bajet kerajaan, kali ini kedua-dua pemimpin 2M tersebut bagaikan menjilat ludah sendiri dan sanggup menggadaikan prinsip serta maruah perjuangan semata-mata perasaan benci kepada Perdana Menteri, Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Sementara Muhyiddin cuba me­wujudkan keraguan dalam ka­langan rakyat supaya jangan mempercayai bulat-bulat apa yang dibentang oleh Najib, Dr. Mahathir pula yang kini dianggap semakin menjadi liabiliti kepada Pakatan Harapan berada dalam kedudukan lebih tidak selesa.

Ini memandangkan pada 19 Oktober lalu, melalui catatan dalam blognya Dr. Mahathir menyifatkan segala manfaat dan inisiatif yang disalurkan kepada rakyat dan penjawat awam sebagai pembaziran kewangan negara.

Antara inisiatif yang diperlekehkan Pengerusi Pakatan Harapan itu ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), elaun sara hidup kepada nelayan serta elaun bulanan kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Turut dipertikaikan bantuan ribuan ringgit yang diagihkan kepada jemaah haji selain berpendapat golongan yang telah bersara tidak layak menerima wang pencen.

Namun Perdana Menteri ti­dak terpengaruh dengan hujah ­dangkal Dr. Mahathir yang ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun lebih banyak menumpukan kepada projek-projek mega kononnya atas alasan mahu menjanakan ekonomi negara.

Ini terbukti apabila semua golongan yang diperlekehkan oleh Dr. Mahathir itu mendapat pembelaan melalui Bajet 2018. Penjawat awam menerima tidak kurang 13 inisiatif termasuk bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 manakala pesara pula diberi bantuan khas kewangan sebanyak RM750. Pencen pula ditetapkan dengan kadar pa­ling rendah RM1,000 berbanding RM750 sekarang.

Ketika Dr. Mahathir menganggap pemberian kerajaan kepada rakyat dianggap dedak, Najib membela nasib golongan itu apabila memberi bantuan khas sama ada kepada pesawah, nelayan, petani, warga emas, guru KAFA, imam, bilal, siak, tok batin, ke­tua kampung dan Orang Kurang Upaya manakala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sebelum ini dianggap oleh bekas Perdana Menteri itu sebagai rasuah dite­ruskan.

Perdana Menteri berbuat demikian kerana tidak mahu terpengaruh dengan politik tidak bermaruah Dr. Mahathir yang seolah-olah menghina penerima-penerima bantuan kerajaan sedangkan bantuan yang diberikan bertujuan meringankan beban golongan berkenaan.

Keprihatinan Perdana Menteri itu meresahkan Dr. Mahathir kerana Pakatan Harapan mahu menghapuskan BR1M dan mengurangkan jumlah penjawat awam. Kecelaruan fikiran Dr. Ma­­hathir semakin ketara apabila dalam kenyataan itu beliau juga menyifatkan pelaksanaan gaji minimum tidak akan menguntungkan mereka yang terlibat.

Tetapi soalnya, adakah Dr. Mahathir bersetuju dengan tindakan pemimpin-pemimpin Pakatan Ha­rapan yang mahu melaksanakan gaji minimum sebanyak RM1,200. Percanggahan panda­ngan itu membuktikan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanyalah ‘pak turut’ kepada DAP dalam Pakatan Harapan.

Kesimpulannya, sebaik mana pun usaha kerajaan BN membela rakyat dan memakmurkan negara ia pasti tidak akan mendapat pengiktirafan Pakatan Harapan. Tiada istilah politik matang atau menjadi check and balance kepada kerajaan,sebaliknya Dr. Mahathir dan Muhyiddin menjadi pemimpin 2M - ‘Makin Melalut’ - disebabkan sudah bersama pembangkang. ‘Tahniah’ kepada DAP kerana berjaya mempengaruhi dua pemimpin yang sebelum ini dianggap hebat itu!