Jika dilihat dalam pembenta­ngan bajet itu, boleh disimpulkan ia bajet yang realistik dan holistik. Bukan sekadar bajet yang manis di mulut namun tiada asas kukuh. Sebaliknya, bajet kali ini tepat pada masanya dan menyentuh terus nukleus yang menggerakkan keberlangsungan keutuhan negara.

Di awal pembentangan, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memaparkan rizab ekonomi semasa negara berjumlah RM428.7 bilion yang menggambarkan kekuatan ekonomi Malaysia kini.

Secara keseluruhannya bajet kali ini meningkat sekitar RM20 bilion, maka tidak hairan jika dilihat peruntukan di banyak kementerian juga dinaikkan. Namun naiklah sebanyak mana jua peruntukan, pasti ada pihak yang akan cuba mengorek kelompongan bajet ini untuk dijadikan modal politik mereka ke hulu dan ke hilir.

Namun bukan perkara mudah untuk dicari kelompongan daripada bajet kali ini kerana ia mencakupi segala hal yang berlegar-legar dan sering diharapkan. Contoh paling mudah, ada pihak yang mendesak agar tol dihapuskan, dan bajet kali ini menyahut terus desakan itu dengan menghapuskan tol bagi tiga lokasi iaitu di Batu Tiga (Selangor), Bukit Kayu Hitam (Perlis) dan juga Eastern Dispersal Link (Johor).

Selain itu, bajet Kementerian Pendidikan Tinggi yang suatu ketika dulu heboh diperkatakan kerana dipotong, namun ditingkatkan sekitar 13 peratus yang antaranya memperuntukkan RM400 juta bagi Geran Penyelidikan dan Pembangunan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berbanding hanya RM235 juta pada bajet lalu di samping peruntukan RM2.2 bilion bagi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan yang juga bakal membuka peluang bantuan pendidikan lebih besar selepas ini.

Bajet 2018 antara lain juga menyentuh isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membelenggu anak muda. Di samping kita memegang prinsip apa yang dipinjam, perlu dipulangkan kembali, namun begitu Bajet 2018 tetap juga memikirkan lagi isu PTPTN ini demi memastikan ada ruang untuk meringankan beban lepasan graduan.

Bukan itu sahaja, bajet di beberapa kementerian lain seperti Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar turut dinaikkan.

Apabila berbicara soal masa depan yang bukan sahaja kepada Malaysia bahkan kepada dunia, maka peningkatan peruntukan kepada kementerian ini amat penting kerana akan terus memperkukuhkan usaha sedia ada dalam memastikan pengurusan sumber alam negara di samping memastikan kelestarian pembangunan negara tidak mengesampingkan aspek alam sekitar itu sendiri.

Antara isu alam sekitar yang sering berlaku adalah banjir. Maka tepat pada masanya apabila sejumlah RM517 juta diperuntukkan bagi projek rancangan tebatan banjir di seluruh negara yang apabila siap kelak bakal memberikan sinar harapan kepada rakyat di kawasan yang sering menghadapi banjir.

Jika mahu diulas satu persatu perkara yang disebut dalam bajet ini, terlalu banyak boleh disentuh. Bajet kali ini boleh dikatakan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang juga bakal membantu usahawan muda untuk memperluaskan jaringan perniagaan melalui pembiayaan mikro yang ditawarkan. Ini adalah zaman mencabar yang memerlukan anak muda menjadi lebih proaktif terutama dalam kalangan gra­duan. Ini bukan masanya untuk berfikiran sebagai graduan yang mencari kerja (job seeker), tetapi graduan yang membuka peluang pekerjaan (job creator).

Anak muda perlu mengambil contoh kegigihan dan pengorbanan Kak Wan yang bermodalkan RM500 sebagai modal permulaan melalui bantuan kewangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), namun kini telah menjadi jutawan dalam bidang penternakan. Lalu apa lagi alasan? Jadilah insan yang mencari peluang atau membuka peluang, bukan sekadar menunggu peluang sahaja.

Perkara lain yang dimasukkan dalam bajet ini juga adalah dalam bidang pertanian, pembangunan sukan, pembinaan infra-rakyat yang berkualiti, menyemarakkan industri pelancongan, mempersiap siagakan aspek pertahanan, keselamatan negara dan ketenteraman awam, mempertingkatkan kualiti servis kesihatan, memperluaskan jaringan pengangkutan, menitikberatkan pembangunan wanita dan kesejahteraan keluarga, bantuan perumahan dan ba­nyak lagi.

Tidak dilupakan juga, 1.6 juta orang penjawat awam yang kekal menjadi tunjang pentadbiran kerajaan apabila Bajet 2018 turut menyentuh soal kenaikan pangkat time-based kali kedua, perihal cuti kakitangan awam, pelbagai insentif lain dan yang paling ditunggu adalah pengumuman bayaran khas sebanyak RM1,500 yang boleh dikatakan sebagai bayaran khas tertinggi pernah diberi kepada penjawat awam sejak bertahun-tahun lamanya.

Ini semestinya memberikan suntikan semangat kepada penjawat awam untuk meningkatkan lagi produktiviti mereka. Maka sebagai tanda terima kasih se­mula kepada insentif kerajaan ini, penjawat awam wajar memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat demi memastikan segala agenda yang dirangka kerajaan dapat digerakkan.

Bajet 2018 telah dibentang, sudah ada pihak yang memberikan persepsi negatif dengan mengatakan ia gula-gula dan candu bagi menghadapi PRU-14. Namun apabila pihak itu membentangkan belanjawan alternatif atau belanjawan negeri yang merangkumi pelbagai tawaran walaupun tidak realistik, tidak pula ditimbulkan ia adalah candu dan gula-gula bagi menghadapi pilihan raya.

Maka, tidak perlu kita terlalu melayan bunyi-bunyi sumbang yang cuba memburukkan Bajet 2018 ini, jika dilayan pasti pelbagai polemik lain pula ditimbulkan. Justeru ayuh kita fokus kepada pasca pembentangan Bajet 2018 ini.

PENULIS ialah Felo Perdana kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan juga Alumni Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).