Peruntukan itu juga menyaksikan peningkatan yang agak tinggi berbanding Bajet 2017. Dalam Bajet 2017 kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM260.8 bilion.

Untuk Bajet 2018, sebahagian besar peruntukan bakal disalurkan melalui pelbagai bentuk bantuan serta inisiatif seperti kewangan, pengecualian cukai serta pembinaan infrastruktur bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

Tidak terkecuali perbelanjaan untuk sektor keselamatan dan pertahanan negara.

Memandangkan jumlah peruntukan pada bajet kali ini meningkat berbanding Bajet 2017, adalah penting untuk pihak kerajaan memastikan segala peruntukan yang hendak disalur sampai kepada golongan sasaran.

Justeru, pihak kerajaan harus memastikan tiada ketirisan berlaku dalam menyalurkan segala bentuk bantuan yang ingin disampaikan kelak.

Seperti yang diketahui umum, sepanjang tahun ini sahaja, kita telah didedahkan dengan pelbagai isu yang membawa kepada keresahan rakyat akibat daripada ketirisan wang kerajaan seperti kes pecah amanah, penyalahgunaan wang dan harta kerajaan.

Paling utama masalah berkaitan rasuah. Sememangnya tidak dapat dinafikan masalah ketirisan yang berlaku sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak mencemarkan imej kerajaan sekali gus menyebabkan segala peruntukan yang telah disediakan dalam belanjawan tahunan negara tidak mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Akhirnya rakyat yang menjadi mangsa. Sehubungan itu bagi mengatasi masalah ketirisan ini, adalah penting bagi pihak kerajaan untuk sentiasa memantau serta menyemak segala proses penyampaian kepada rakyat agar hasrat Bajet 2018 benar-benar dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab.

Amat penting juga kerajaan membuat pemantauan rapi terhadap segala proses pelaksanaan infrastruktur yang akan dibina pada tahun depan bagi mengelakkan ketirisan, penyalahgunaan kuasa serta rasuah.

Sesungguhnya sikap sambil lewa serta tidak ambil tahu sewajarnya tidak boleh wujud dalam kalangan pegawai pelaksana yang terdiri dalam kalangan kakitangan dan pegawai kerajaan terutama dalam konteks menjalankan setiap amanah yang telah ditetapkan dalam bajet negara.

Mahu tidak mahu dalam kita menunaikan tanggungjawab ini, setiap daripada penjawat awam bermula daripada kakitangan bawahan sehingga peringkat atasan perlu memastikan setiap peruntukan yang telah ditetapkan ini dibelanjakan mengikut peruntukan bajet yang dibentangkan lima hari lalu.

Dalam pada itu sudah sampai masanya, pihak kerajaan mempertimbangkan penubuhan satu unit atau agensi khusus yang bersifat berkecuali bagi memastikan segala peruntukan dalam bajet berkenaan dibelanjakan dengan amanah.

Selain itu, setiap kelemahan yang telah dikenal pasti melalui laporan–laporan dikeluarkan oleh pihak Jabatan Audit Negara saban tahun perlu diteliti sebaik-baiknya.

Jika ada unsur-unsur penyelewengan dan pecah amanah tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terlibat.

Langkah itu penting dalam usaha kita mengelak berlakunya ketirisan atau pembaziran wang peruntukan kerajaan.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia