Jika Bajet 2017 dianalogikan sebagai teori Transformasi Nasional 2050 (TN50) melalui cadangan ideologi ini yang dikemukakan dalam bajet tersebut, Bajet 2018 pula boleh dianggap sebagai usaha mengorak langkah yang lebih praktikal tentang usaha awal yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam merealisasikan TN50.

Dalam mengupas isu Bajet 2018 dan perkaitannya dengan TN50, tumpuan saya terarah kepada destini pendidikan dan pembangunan orang Melayu menjelang tahun 2050. Ketika keresahan tentang masa depan pendidikan dan masa hadapan orang Melayu hadir di lubuk hati, Bajet 2018 hadir tepat pada waktunya menjawab persoalan yang berlegar di fikiran. Asas yang jelas telah di­terjemahkan dalam bajet kali ini tentang masa hadapan pendidikan dan nasib orang Melayu.

Bajet 2018 memperkenalkan Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) bagi mempersiapkan generasi Malaysia yang mampu berdaya saing pada tahun 2050. Kita harus sedar bahawa cabaran dalam apa jua bentuk seperti ekonomi dan pendidikan yang wujud pada generasi hari ini tidak akan sama dengan cabaran yang dihadapi generasi hari esok atau lebih tepat lagi pada 2050. Justeru, usaha kerajaan menyediakan payung sebelum hujan adalah amat bertepatan sekali sebagai langkah galakan generasi muda untuk mendepani cabaran pada tahun 2050. Masyarakat Malaysia tidak boleh leka dengan kemewahan dan keselesaan hidup yang dinikmati pada hari ini tanpa mengambil kira percaturan pada masa hadapan.

Di bawah Dasar Transformasi Bumiputera pula, saya harus mengatakan kerajaan amat berani memastikan kelangsungan pembangunan bumiputera. Agenda Pemerkasaan Bumiputera diangkat sebagai agenda nasional dengan kesedaran bahawa bumiputera mendominasi hampir 70% populasi negara ketika ini.

Bermula dengan sektor pendidikan, pemberian biasiswa kepada golongan bumiputera bagi memastikan mereka berdaya saing dalam bidang yang kritikal keperluannya seperti artificial intelligence mampu memastikan kaum bumiputera duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa lain menjelang terlaksananya TN50 kelak. Tidak cukup dengan itu, Program Peneraju Profesional, Skil dan Tunas mampu menjadi akar sokongan kepada pembangunan kepakaran generasi muda dalam mendepani cabaran menuju TN50.

Dalam perbahasan mengenai pasaran kerja graduan pada hari ini, kita perlu menyokong usaha kerajaan mewujudkan Mara Graduate Employability Trai­ning Scheme (GETS) bagi melatih kemahiran-kemahiran graduan dalam mendapatkan pekerjaan dengan realiti keadaan persaingan dunia global. Graduan tidak lagi boleh mengharapkan pem­belajaran teori-teori di bilik ­kuliah untuk memastikan mereka mampu bersaing kerana pasaran kerja memerlukan seseorang yang mempunyai pelbagai kemahiran untuk memaksimumkan produktiviti modal insan.

Pada masa sama, mentaliti graduan juga tidak harus tertumpu untuk bekerja dengan majikan setelah tamat pengajian di pusat-pusat pengajian tinggi. Graduan terutamanya golongan bumiputera harus berani menceburkan diri dalam bidang keusahawanan melalui program keusahawanan bumiputera Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB).

Sebagai seorang Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, pastinya isu pendidikan tidak lekang dari pandangan mata dan pemikiran saya. Isu pendidikan perlu jauh dari proses `mempolitikkan’ pihak tertentu kerana pendidikan berhubung dengan masa hadapan generasi pewaris bangsa kita. Pada peringkat pengajian tinggi, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada kerajaan dengan penyediaan biasiswa dan skim MyBrain dalam membantu melahirkan pelajar-pelajar cemerlang yang menjadi aset kepada negara. Di sebalik tekanan ekonomi dunia yang memuncak, kerajaan terus berani mempertahankan pemberian biasiswa dengan menyedari keperluan generasi ini untuk pembangunan negara menjelang TN50. Geran-geran penyelidikan yang diberikan pula mampu memberikan keupayaan kepada pengkaji-pengkaji di universiti tempatan menerokai bidang-bidang kajian baharu.

Pendidikan di peringkat menengah dan rendah pula terus diperkasakan dengan penyediaan kemudahan dan penambahbaikan kemudahan di sekolah. Demi mencapai standard pendidikan negara maju menjelang TN50, kerajaan telah berhasrat untuk menaiktaraf kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad ke-21 bagi meningkatkan pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif di samping penubuhan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Di samping itu, penambahbaikan sekolah daif dan uzur adalah usaha yang bijak dalam memastikan keselesaan pelajar. Tidak ada gunanya mempunyai silibus pendidikan terbaik dan program memperkasa pendidikan yang unggul namun kemudahan pendidikan demi keselesaan pelajar tidak berada pada tahap selamat dan selesa. Bagi menjamin kebajikan pelajar, Bantuan Persekolahan RM100 dan Baucar Buku RM250 untuk pelajar di peringkat pengajian tinggi mampu meringankan beban kos pembelajaran.

Hal ini jelas juga menunjukkan kerajaan mendengar rintihan golongan pelajar tentang sistem Kad Siswa 1Malaysia yang kurang berkesan disebabkan kelewatan dan usaha mengembalikan sistem baucar ini adalah langkah yang tepat.

Secara kesimpulannya, usaha-usaha dalam Bajet 2018 tidak bersifat jangka pendek yang kesannya dapat dilihat serta merta. Pihak kerajaan telah menilai baik buruknya dalam pembangunan negara lebih-lebih menjelang tahun 2050 dalam merealisasi hasrat TN50. Bajet 2018 adalah satu langkah permulaan dalam merealisasikan sebuah pohon TN50 yang bakal merimbun.

PENULIS ialah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).