Penulis merasakan tidak ada kewajaran untuk kerajaan bersikap aib dan silu bagi mengangkat realiti bahawa Bajet 2018 berniat meraih sokongan rakyat. Ini sebahagian proses politik yang sabit dan absah. Cukup malang sekiranya pembentangan bajet ini dikaitkan oleh pembangkang sebagai ‘rasuah’, ‘umpan’, ‘gula-gula’ dan sebagainya. Ucapan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sewaktu perbahasan bajet kelmarin boleh diibaratkan sebagai retorik politik kosong dan lompong.

Apakah boleh dinafikan bajet yang dibentangkan saban tahun di Pulau Pinang dan Selangor tidak berniat meraih sokongan dan undi rakyat? Adakah apa yang mereka bentangkan tidak boleh ditafsirkan sebagai proses memberi gula-gula dan rasuah kepada rakyat? Pada pandangan peribadi penulis, gaya politik sebegini tidak menguntungkan sesiapa, malah me­rugikan rakyat. Bajet adalah strategi kerajaan – dan tidak menjadi ‘dosa politik’ sekiranya kerajaan merancang sesuatu yang positif kepada rakyat.

Sebagai pemimpin muda di kawasan yang boleh disifatkan sedikit jauh dari bandar raya, penulis merasakan bajet ini memenuhi harapan dan kehendak majoriti rakyat. Dalam pertemuan ringkas penulis dengan penduduk di kawasan Parlimen Merbok, Kedah – mereka memuji bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri.

Walaupun Merbok, sebuah mukim di daerah Kuala Muda, sejauh 400 kilometer dari Kuala Lumpur; namun semangat rakyat di situ dalam menyanjungi dan menghargai komitmen Perdana Menteri dalam membantu rakyat melalui Bajet 2018 memang luar biasa.

Dalam pertemuan ringkas dan tidak formal penulis bersama para kakitangan awam, guru, pesawah, petani dan golongan pencen; mereka mengangguk setuju bahawa Bajet 2018 me­nyentuh keprihatinan rakyat yang tepat. Kepada rakyat biasa di luar bandar, mereka tidak terlalu biasa dengan istilah-istilah ekonomi yang gadang dan sarat. Perkataan seperti stimulus, strategi fiskal, defisit dan sebagainya tidak muluk kepada mata telinga mereka.

Dalam pada itu, yang mustahak kepada mereka, apakah bajet ini mampu membantu mereka meneruskan kehidupan seharian dengan lebih sejahtera dan mapan. Itu yang lebih penting. Mahu tidak mahu, mereka adalah golongan yang paling terasa sekiranya ‘harga barang’ meningkat, ia merobek dan mencarik bebenang poket mereka.

Untuk warga emas, yang pen­ting kepada mereka apakah bajet ini mampu memberikan pendapatan tambahan kepada anak-anak mereka di bandar? Mampu mengurangkan kos sara hidup cucu-cucu mereka di pusat pe­ngajian tinggi? Apakah bajet ini mampu membuka peluang kepada anak cucu mereka ke menara gading atau mendapat latihan kemahiran yang bersesuaian?

Hakikatnya, apakah menjadi kesalahan jika bajet meladeni dan mengendahkan keperluan rakyat? Apakah menjadi satu dosa kepada sebuah pentadbiran jika mengambil acuh tentang kesusahan rakyat?

Penulis mengharapkan, kala­ngan penganalisa ekonomi, khususnya mereka yang berorientasi jalur pemikiran pembangkang supaya tidak menjadi kalangan yang gemar memperbesarkan isu yang melukakan hati rakyat terbanyak. Tuduhan pemimpin sebuah parti baru, yang mengatakan bajet ini hanya gula-gula pilihan raya; kemudiannya akan ditinggalkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah contoh mereka yang berpendirian singkat dan dangkal. Ini kenyataan yang benak dan berotak tumpul.

Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berada di persada kepemimpinan negara sekiranya setiap bajet yang dibentangkan tidak disantuni dengan rasa tanggungjawab dan amanah. Komitmen pentadbiran dan ke­pimpinan negara dalam mensejahtera rakyat tidak wajar dipandang sebagai perkara remeh.

Cukup malang, kenyataan singkat ini dinyatakan oleh seorang bekas Timbalan Perdana Menteri. Selama berdekad-dekad berada di barisan yang sama, tidak pula timbul isu bajet me­ngauta rakyat. Hanya kerana beralih hala arah politik, mulut menjadi semakin celupar, akal menjadi semakin leper.

Apa yang nyata, Bajet 2018 sudah pun mencetuskan ke­gerunan politik kepada pakatan pembangkang. Mereka gerun dengan kemampuan bajet ini untuk menyentuh ‘minda dan hati rakyat’. Maka dengan itu, mereka mengambil keputusan untuk menyerang bajet tersebut secara semberono.

Di pihak UMNO dan Barisan Nasional, kita hanya wajar menunggu pembentangan bajet negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang. Kita akan terba­yang ayat dan laku hipokrasi yang luar biasa. Bajet kita digelar rasuah dan umpan; sedang bajet mereka berselindung kononnya di sebalik kebijakan ekonomi.

Kepada penulis, rakyat akan bijak membuat pilihan dan ban­dingan. Yang mana kaca, dan yang mana satu intan. Mengurus sebuah negeri, tidak sesukar mentadbir sebuah kerajaan Persekutuan. Generasi muda, pastinya celik mata dan minda dalam membuat keputusan. Kita tidak memilih pemimpin dan kerajaan berdasarkan molek bahasa saudagar mimpi.

Bajet 2018 sememangnya induk kepada segala bajet. Soko­ngan rakyat mesti dibulatkan, agar tidak ada gendala dan gugatan yang meminggirkan ijtihad dan iltizam pentadbiran yang luar biasa.

DATUK SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN ialah Ketua Pemuda UMNO Kedah yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah.