Kebanyakan kesan rawatan ozon hanyalah bersifat jangka pendek dan memerlukan rawatan ulangan. Pendedahan berterusan itu dipercayai mengundang banyak kesan jangka panjang yang lebih teruk terutama pada sel dan sistem imun tubuh badan. Di udara, ozon adalah gas toksik yang terhasil apabila nitrogen dioksida berinteraksi bersama sebatian organik meruap di bawah haba sinaran matahari. Gas ozon ini adalah sama dengan lapisan ozon yang melindungi kita dan bumi ini dari sinaran ultra ungu B dari matahari.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah menetapkan paras ambien ozon hanyalah pada kepekatan 200 g/m3 bagi pendedahan manusia purata satu jam, dan pada kepekatan 120 g/m3 bagi pendedahan purata lapan jam. Ini selaras dengan ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana kesan toksik ozon ter­utamanya pada sistem pernafasan manusia. Ozon adalah bahan oksidatif yang menyebabkan fungsi paru-paru menurun akibat inflamasi saluran pernafasan.

Namun dari aspek kejuruteraan, gas ozon amat berguna untuk tujuan suci hama air limbah dan makanan seperti sayuran dan buahan. Ia juga digunakan di banyak negara seperti Malaysia. Kalau masa pemerintahan British dahulu, banyak hospital di negara ini menggunakan cecair ozon sebagai detergen pencuci lantai dan tandas. Ini kerana sifatnya yang mampu membunuh kuman seperti virus, gas ozon telah mula digunakan sebagai pencuci darah terutama untuk pesakit AIDS atau mereka yang mengalami masalah sistem imun. Memang, ozon menyebabkan peningkatan sel limpfosit darah yang penting untuk membunuh virus. Namun keberkesanannya dalam aspek penjagaan kesihatan masih tidak jelas terutama untuk kesan jangka panjang.

Banyak kajian haiwan mendapati bahawa rawatan ozon ini merangsang sistem antioksidan tubuh badan seseorang. Dengan peningkatan beberapa parameter dan sel, rawatan ini menunjukkan kesan fisiologi yang meyakinkan. Pesakit juga merasa lebih sihat dan bertenaga kerana paras hemoglobin, sel pembawa oksigen turut meningkat. Banyak testimoni yang meyakinkan akan keberkesanan rawatan ini. Namun tiada lagi kajian jangka panjang yang dilakukan bagi melihat kesan tekanan pada sel, sistem imun badan dan genetik seseorang itu.

Antara antioksidan yang meningkat adalah enzim glutation yang penting dalam biotranformasi badan. Memang bagus mempunyai enzim ini dalam badan, sehingga ada pengusaha kosmetik yang mengambil kesempatan untuk ‘memasukkan’ glutation di dalam produk mereka. Walaupun begitu, pengguna jangan tertipu kerana glutation tersebut amat mudah rosak apabila terkena lelehan air liur dan perut.

Rawatan ozon menyebabkan peningkatan atau induksi glutation ini, yang akan memesongkan proses biotransformasi yang menyebabkan fasa kedua menjadi dominan. Ada bahan kimia yang akan menjadi kurang toksik, dan ada juga yang akan jadi lebih toksik. Dengan induksi enzim ini, dikhuatiri proses semula jadi toksik di dalam badan akan terganggu dan lambat laun menyebabkan pelbagai gangguan metabolik sistem tubuh.

Ozon juga didapati mengaktifkan peroksidasi lipid yang sememangnya dikenal pasti sebagai pencetus apoptosis atau kematian sel yang senyap. Ini adalah salah satu kesan jangka panjang yang amat merisaukan bagi mereka yang menjalani atau terdedah kepada gas ozon sama ada dirawat dalam darah atau di udara persekitaran.

Apoptosis adalah keadaan di mana sistem penjana tenaga sel atau mitokondria rosak dan pecah akibat terdedah kepada ozon dan oxidatif kimia lain. Ini menyebabkan sel tersebut menjalani proses kematian secara perlahan-lahan. Dan ini berlaku bukan hanya pada satu sel, tetapi pada beberapa ratus sel yang terdedah. Akhirnya, satu organ akan rosak dan menyebabkan gejala kesihatan.

Ada juga kajian yang menunjukkan rawatan ozon mengurangkan tindak balas inflamasi tisu, lantas mengurangkan kesan sistem imun badan. Ini adalah kerana imun atau antibodi badan akan bertindak balas dengan bahan asing seperti kuman atau bahan kimia, lantas membentuk suatu kompleks imun. Kompleks ini boleh memburukkan lagi keadaan tubuh badan terutama pada buah pinggang yang bertugas menapis darah setiap masa. Oleh itu, dengan ozon, kompleks tersebut kurang terbentuk dan tidak merosakkan organ.

Seperkara lagi mengenai rawatan ozon yang invasif itu, adalah kesan dari prosedur itu sendiri. Kebersihan peralatan dan perkakas hendaklah bersih dan bebas dari sebarang kuman dan bahan kimia. Prosedur memasukkan tubing darah hendaklah dilakukan oleh pegawai perubatan atau mereka yang terlatih kerana kecuaian boleh menyebabkan embolisma udara yang boleh menyumbat paru-paru, jantung dan otak. Sepanjang prosedur juga perlukan pemerhatian yang penuh terutama pada tekanan darah dan kepekatan oksigen darah.

Memang kita belum dengar ada pesakit mati setelah menjalani rawatan ozon, tetapi belum ada kajian yang kukuh melihat kepada kesan jangka panjang rawatan ini. Istilah ‘rawatan’ ini juga amat mengelirukan kerana seakan-akan telah diiktiraf sebagai salah satu kaedah rawatan perubatan. Padahal, di AS dan kini di Malaysia, ia tidak diiktiraf.

Bagi yang sering terdedah kepada gas nitrogen dioksida yang terhasil dari pembakaran petrol dan diesel dari kenderaan kereta dan lori, pencucian darah menggunakan ozon ini sebenarnya meningkatkan lagi risiko masalah kesihatan paru-paru dan jantung. Ini secara langsung akan meningkatkan lagi kos rawatan di negara ini di masa hadapan. Oleh itu, janganlah terpedaya untuk mengambil risiko yang tidak sepatutnya diambil. Kesihatan diri dan keluarga adalah tanggungjawab kita semua.

PENULIS ialah Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi Pusat Perubatan UKM.