Prinsip perundangan dan pelaksanaan Islam selaras dengan adat istiadat Melayu yang telah diterima berdekad-dekad lamanya di negara ini seharusnya diambil sebagai satu kepunyaan rakyat semua kaum. Ini kerana pelaksanaan Islam secara adil itu tidak pernah menyentuh hak dan kepentingan serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam. Hal ini juga perlu difahami oleh umat Islam sendiri dalam usaha membina perhubungan antara kaum di negara kita.

Sejarah juga mencatatkan terdapat beberapa buah negeri Melayu menjadikan Islam sebagai dasar Perlembagaan negeri tersebut seperti yang dilakukan di Johor pada 1895 dan Terengganu pada 1911. Tetapi sayangnya fakta sejarah ini hanya tinggal dalam catatan sejarah tanpa dijadikan asas maklumat dan pendidikan rakyat umum,

Kesediaan dan komitmen tiga kaum terbesar Malaya ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada kerajaan British iaitu tentang kedudukan Islam dan kebebasan bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dalam aman dan harmoni merupakan suatu persefahaman asas yang menjadi prinsip pemerintahan negara ini. Hal inilah juga merupakan satu pendirian bersama yang dapat ditafsirkan sebagai kontrak sosial dalam beragama di negara ini di samping kontrak sosial dalam aspek-aspek yang lain lagi.

Institusi raja Melayu merupakan institusi yang mempertahankan Islam di semua negeri dalam Malaysia kerana raja-raja merupakan ketua agama Islam. Istilah ‘Islam’ ini pula tidaklah seharusnya dipertikaikan sebagai amalan ritual semata-mata iaitu satu konsep yang cuba disempitkan pentafsirannya seperti yang sedang dilakukan oleh sesetengah golongan di dalam masyarakat kita.

Adalah amat diharapkan bahawa proses dan usaha mempertingkatkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan usaha mengemaskinikan latihan dan pengeluaran tenaga manusia yang berkemampuan di dalam pentadbiran agama akan dapat dilipat gandakan lagi untuk melahirkan institusi pentadbiran, kehakiman, pendidikan dan semua institusi agama yang lebih berwibawa dan cekap sesuai dengan perkembangan negara yang pesat membangun.

Orang Islam tidaklah seharusnya mencari titik perbezaan di antara mereka dalam mempraktikkan Islam sebagai satu cara hidup yang holistik atau cuba menyalahkan orang bukan Islam sebagai dalang dan musuh mereka tanpa fakta dan hakikat yang sebenarnya..

Pendeknya, kedudukan Islam di Malaysia merupakan satu teras kewujudan institusi raja Melayu dan hal ini amat terserlah kepada dunia kerana Yang di- Pertuan Agong sendiri ketika mengangkat sumpah jawatan, di antara lainnya telah berikrar akan mempertahankan agama Islam. Sebagai pemerintah tertinggi negara, ikrar yang dilafazkan ini amatlah bermakna sekali bagi rakyat dan negara.

Oleh itu, apabila raja telah bertitah, maka tidaklah seharusnya akan timbul lagi sebarang gerakan melampau yang bertujuan mempolitikkan agama, kaum dan sebagainya mengikut kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu sehingga meletakkan negara dan bangsa di persimpangan jalan yang berbahaya.

Berdasarkan hakikat yang telah saya paparkan di atas, maka titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Canselor di dalam istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah baru-baru ini amat tepat sekali dengan suasana yang seharusnya diwujudkan ketika ini iaitu ketika baginda menzahirkan perasaan ikhlas baginda:

“Amatlah mendukacitakan, satu suasana harmoni yang begitu berharga, yang telah sekian lama merupakan budaya hidup yang diamalkan oleh majoriti rakyat di negara ini, kini mahu dimusnahkan semata-mata dise­babkan oleh persaingan politik, berpunca daripada sikap sebahagian pemimpin politik yang memilih bersifat riak dengan kemenangan, sementara sebahagian yang kalah bersifat berdendam.

“Sebaliknya pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan ilahi secara terhormat.”

Rakyat umumnya haruslah bersifat rasional dalam politik dan pentadbiran negara kerana politik partisan yang melulu dan penuh taksub hanya membawa kehancuran kepada rakyat dan negara.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).