Dr. Mahathir bukan sahaja berjaya menyekat kemaraan parti-parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam pilihan raya umum (PRU), malah beliau juga sering menjadi sasaran media-media asing yang sepanjang masa cuba mencari kelemahan dan kekurangan bagi mengganggu gugat kepemimpinannya.

Kehebatan Dr. Mahathir digeruni kerana tiada mana-mana pihak yang terlepas daripada sikap tegasnya. Parti-parti pembangkang berjaya dikalahkan dan kuasa raja-raja Melayu mampu dihadkan.

Sebagai Presiden UMNO, Dr.Mahathir berupaya menewaskan mereka yang cuba menggugat kedudukan beliau, khususnya pada tahun 1987, apabila jawatan itu dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebagai Perdana Menteri pula, Dr.Mahathir pernah mempunyai empat timbalan iaitu Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Musa dan Ghafar meletakkan jawatan manakala Anwar dipecat. Abdullah pula dilantik menggantikan beliau pada Oktober 2003.

Kalaulah semua rentetan ini dikaji, kita akan mendapati Dr.Mahathir tidak pernah gagal dalam mencapai apa juga keinginan dan matlamatnya. Apa sahaja yang beliau rancang dan mahukan pasti tercapai termasuklah melakukan gerakan sehingga Abdullah tersingkir daripada jawatan Perdana Menteri.

Semua itu dinikmati oleh bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun tersebut kerana beliau mempunyai pengaruh dan pengalaman atau ringkasnya 2P. Bagaimanapun apa yang boleh dianggap `senjata’ itu tidak begitu berkesan apabila Dr.Mahathir gagal dalam usahanya menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun mendapat sokongan padu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sanggup kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri demi untuk bersama Dr.Mahathir dan seterusnya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namun Najib tidak tergugat. Perdana Menteri meneruskan agenda membangunkan negara dan rakyat tanpa rasa terganggu dengan serangan bertubi-tubi Dr.Mahathir.

Keampuhan Perdana Menteri yang terus bertahan ternyata meletakkan Dr.Mahathir bagaikan `tenggelam punca’ kerana buat pertama kalinya apa yang beliau rancang dan inginkan tidak tercapai. Jika sebelum ini beliau begitu mudah menyingkirkan Abdullah, tetapi situasi agar berbeza apabila beliau berhadapan dengan Najib.

 

Pengaruh

Bagaimanapun sebagai seorang yang mempunyai pengaruh dan pengalaman, Dr.Mahathir yakin berupaya mengatur strategi bagi menumpaskan Perdana Menteri dan kerajaan BN dalam PRU akan datang, biarpun terpaksa melakukan tindakan yang diklasifikasikan sebagai menggadai prinsip, matlamat menghalalkan cara dan `menjilat ludah sendiri’.

Oleh itu beliau menggunakan pengaruhnya untuk kembali berbaik-baik dengan musuh-musuh politiknya termasuklah DAP yang dipimpin oleh Lim Kit Siang dan PKR yang dikuasai oleh Anwar.

Kajilah sepanjang menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO bermacam-macam perkataan beliau keluarkan bagi mengecam DAP dan antaranya beliau pernah berkata, "Hubungan orang Melayu dan Cina amat akrab tetapi DAP membawa budaya politik tidak sihat dengan memainkan isu-isu sehingga dua kaum ini bermusuhan.’’

Begitu juga dalam soal Anwar, Dr. Mahathir pernah menyatakan dengan tegas bahawa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana mempunyai masalah moral.

Namun kesediaan Dr.Mahathir untuk `menyembah’ DAP dan PKR semata-mata mahu mencapai matlamat politiknya menjatuhkan Najib disambut dengan tangan terbuka oleh kedua-dua parti itu.

Ia bukanlah bermaksud mereka memaafkan bekas Perdana Menteri itu tetapi mereka mahu memperalatkan `senjata 2P' yang dimiliki oleh Dr.Mahathir.

Pengaruh Dr.Mahathir boleh dimanipulasikan untuk meraih sokongan pengundi Melayu manakala pengalaman beliau pula boleh diperalatkan bagi menumbangkan kerajaan BN yang UMNO menjadi tonggaknya.

Kehadiran Dr.Mahathir dilihat jauh lebih penting daripada Muhyiddin yang merupakan Presiden PPBM.

Walaupun Dr.Mahathir amat memahami kesannya jika UMNO kehilangan kuasa tetapi demi dendam politik, beliau sanggup menubuhkan PPBM dan bekerjasama dengan DAP dan PKR walaupun pada 11 Februari 2011, beliau pernah berkata;

"Orang lain bertepuk tangan pasal kita berkelahi sesama kita, pecah diri kita, jadi lemah dan akhirnya kembali menjadi pengemis kerana kita perlukan sokongan daripada orang lain kalau nak menang pilihan raya.’’

Sebagai seorang yang berpengalaman selama 22 tahun menjadi Presiden UMNO, Dr.Mahathir amat memahami segala kekuatan dan kelemahan UMNO.

Walaupun beliau pernah menegaskan betapa besarnya jasa UMNO dalam memulihkan maruah bangsa Melayu tetapi kini beliau mahu meranapkan kuasa politik parti keramat orang Melayu tersebut.

`Peluru’ yang digunakan ialah melaga-lagakan kepemimpinan UMNO kerana sepanjang menerajui parti itu, beliau sendiri beribu-ribu kali mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO bahawa parti itu tidak akan musnah akibat serangan dari luar tetapi boleh hancur akibat krisis dalaman.

Atas sebab itulah, beliau cuba mewujudkan persepsi bahawa Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mahu menjatuhkan Najib. Dr.Mahathir tahu ia `peluru’ paling ampuh bagi menjejaskan kekuatan UMNO kerana ketika menyampaikan ucapan penggulungan terakhir pada perhimpunan agung parti tersebut pada 2003, beliau pernah menegaskan;

``Sesungguhnya musuh UMNO tidak kuat. Mereka tidak mungkin mengalahkan UMNO, tetapi UMNO boleh mengalahkan UMNO. Saya tidak perlu huraikan perkara ini. Kita semua tahu. Parti lawan tidak menang. Hanya UMNO yang kalah.’’


Tergamak

Dr.Mahathir sudah merasai betapa bahayanya krisis dalaman kepada UMNO seperti mana ketika beliau berhadapan dengan Musa dan Tengku Razaleigh serta bertembung dengan Anwar. Pengalaman itu sekarang digunakan untuk `menyerang’ UMNO kembali walaupun mengetahui betapa pentingnya UMNO kepada bangsa dan negara.

Bekas Presiden UMNO itu pernah berkata; ``Jasa UMNO kepada orang Melayu, bumiputera lain, bangsa Malaysia dan negara Malaysia amatlah jelas dan besar. Janganlah kekecewaan kita menghancurkan semula maruah bangsa kita.’’

Tetapi apakah sekarang semata-mata kerana gagal menjatuhkan Perdana Menteri, beliau melihat UMNO sudah tidak penting lagi untuk bangsa dan negaranya?

Kenapakah beliau tergamak menggunakan pengalamannya untuk menamatkan riwayat kuasa politik sebuah parti yang pernah meletakkannya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dengan sanggup `melutut’ kepada musuh-musuh politiknya sebelum ini?

Begitulah juga dalam soal pengaruh, Dr.Mahathir tahu sejauh manakah kekuatannya untuk memperdayakan rakyat khususnya orang Melayu untuk bersama-sama beliau menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan BN.

Oleh itu selain melancarkan serangan melalui tulisan di blog peribadinya, Dr.Mahathir juga menggunakan pentas-pentas ceramah, forum dan media propembangkang untuk melemparkan pelbagai tuduhan dan tohmahan terhadap BN.

Biarpun apa yang beliau katakan tidak benar dan boleh dipersoalkan, tetapi Dr.Mahathir tahu akan ada orang yang terpengaruh dan sekali gus memberikan keuntungan politik kepadanya dan Pakatan Harapan.

Kita akui sebagai seorang yang mempunyai pengalaman dan pengaruh, Dr.Mahathir adalah insan hebat malah kita juga tidak boleh menafikan sumbangan beliau kepada bangsa dan negara tetapi malang sekali, Dr.Mahathir kini bagaikan `hilang pedoman’ kerana `senjata 2P' gagal menjatuhkan Najib seperti mana beliau lakukan terhadap Abdullah.

Namun Dr.Mahathir pasti tidak akan berputus asa dan akan menjadikan PRU-14 sebagai `medan pertempuran' terakhirnya dalam PRU.

Malangnya semangat membaranya untuk terus bergelumang dalam politik bukanlah demi bangsa dan negara, tetapi semata-mata kerana kebenciannya kepada Perdana Menteri. Itu sahaja.

Berdasarkan keghairahan dan `nafsu’ politik Dr.Mahathir yang tidak pernah padam, UMNO perlu membuat persiapan rapi kerana musuh mereka kali ini bukannya Kit Siang atau Anwar, tetapi seorang individu yang berpuluh-puluh tahun pernah berada dalam kerajaan dan parti.

Pengalaman dan pengaruh individu ini akan digunakan habis-habisan oleh Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP, walaupun individu tersebut dalam amanat terakhirnya sebagai Presiden UMNO memberi peringatan;

``UMNO bukan sebarang parti. UMNO adalah teras dan tunjang kepada parti yang memerintah negara tercinta ini. Kuat UMNO, kuatlah Barisan Nasional, kuatlah kerajaan Malaysia, kuatlah Malaysia. Lemah UMNO akan mengundang malapetaka kepada kita semua.’’

Oleh itu jangan biarkan malapetaka tersebut berlaku hanya disebabkan oleh seorang pemimpin yang dilihat terus mahu menongkat langit semata-mata mahu melunaskan amarah politiknya!