Sahabat bertanya kenapa kes jenayah pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya begitu lambat berjalan. Saya jelaskan bahawa ini adalah satu perkara biasa kerana apabila suatu kes jenayah yang rumit itu melibatkan personaliti berprofil tinggi, adalah lebih wajar pasukan pendakwaan bertindak berhati-hati setiap masa, agar tidak tersilap langkah.

Mengendalikan satu kes jena­yah di mahkamah yang memerlukan pendakwa memanggil banyak saksi serta mengemukakan bukti sehingga memuaskan hati hakim bicara bukan satu kerja yang mu­dah. Pendakwa tidak boleh terburu-buru memulakan kesnya kerana jika berlaku kesilapan, kes itu mungkin dibuang atau ditolak oleh mahkamah. Sekiranya ini berlaku, orang kena tuduh (OKT) yang dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah itu tidak boleh diheret ke mahkamah lagi bagi kesalahan yang sama di masa depan kerana ini berlawanan dengan prinsip double jeopardy (tegahan perbi­caraan berulang) yang dijamin di bawah Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan.

Saya ingatkan sahabat saya itu satu kes bunuh beberapa tahun lalu di mana seorang OKT (bernama Hanif Basree Abdul Rahman) akhirnya dilepas dan dibebaskan oleh hakim bicara setelah pasukan pendakwa gagal mengemukakan satu kes prima facie terhadapnya. Mengambil pengajaran daripada kes-kes seperti itu adalah wajar sekali bagi Peguam Negara (selaku Pendakwa Raya) bertindak dengan penuh hati-hati me­­ngendalikan kes ini. Selagi be­lum yakin kes yang akan difailkan itu boleh berakhir dengan sabitan, adalah lebih wajar proses siasatan diteruskan.

Untuk mempastikan kesiapsagaan pasukan pendakwa inilah ma­­ka baru-baru ini Peguam Negara, Tommy Thomas telah melantik dua peguam kanan (Datuk Sulaiman Abdullah dan bekas hakim, Datuk Seri Gopal Sri Ram) mewa­kilinya mengendalikan kes apabila perbicaraan bermula pada tahun depan. Kita difahamkan kes ber­kenaan akan mula didengar pada 12 Februari 2019 dan dijadualkan berjalan selama tujuh minggu.

Mengambil kira tugasnya di ma­sa depan yang amat berat, Tommy merasakan adalah lebih wajar dua peguam kanan yang berwibawa ini mengendalikan kes itu bagi pihak Jabatan Peguam Negara. Langkah ini akan membolehkannya menumpukan segala tenaganya kepada tugas-tugas lain yang sama kritikal bagi memelihara kepentingan negara.

Sahabat saya juga bertanya ten­tang perkembangan terbaru ekoran siri tangkapan beberapa pegawai tinggi yang bertugas di suatu agensi risikan negara. Mengikut laporan media, agensi risikan itu (yang disebut secara rasminya sebagai Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri) kini disiasat oleh Suru­hanjaya Pencegahan Rasuah Ma­laysia (SPRM) dan beberapa pe­ga­wainya (termasuk ketuanya, Da­tuk Hasanah Abdul Hamid) te­lah ditangkap di bawah Sek­syen 23, Akta SPRM 2009. Pada 30 Ogos lalu, SPRM telah merampas wang tunai bernilai RM26 juta.

Mengikut Datuk Seri Azam Ba­ki (dari SPRM), siasatan kes ini mung­kin mengambil masa dua bu­lan lagi. Berasaskan maklumat ini, saya jangka paling awal kes pegawai-pegawai di agensi risikan boleh sampai di mahkamah adalah pada penghujung tahun ini.

Mengenai fugitive (orang yang diburu polis) bernama Jho Low, sahabat bertanya apakah kita tidak boleh membicarakan kesnya in absentia (tanpa kehadirannya di mahkamah) sebagaimana pro­ses tangkapan dibuat ke atasnya dulu adalah juga in absentia? Saya jawab bahawa pada teorinya, satu prosiding jenayah in absentia itu boleh dijalankan tetapi andainya kemungkinan Jho Low boleh dikesan dan ditangkap masih cerah lagi, adalah lebih wajar kita tunggu sehingga dia ditangkap dan diheret ke mahkamah.

Kehadirannya di mahkamah untuk membela dirinya apabila prosiding berjalan nanti akan menunjukkan kepada dunia bahawa negara kita ini menghormati dan mengamalkan rule of law sepenuhnya.

Pada 24 Ogos lalu, Jho Low ada menyatakan (menerusi jurucakapnya) bahawa dia tidak akan hadir untuk dibicarakan di mahkamah negara ini kerana lapan pertuduhan yang telah dibuat in absentia terhadapnya sebelum ini (di bawah seksyen 4(1)(a) AMLA 2001) menunjukkan bahawa dia telah pun “disabitkan kesalahannya” oleh kerajaan negara ini. Jurucakap Jho Low itu me­nambah “Adalah jelas sekali bahawa mustahil bagi Low mendapatkan perbicaraan yang adil di Malaysia di mana kerajaan telah menunjukkan beberapa kali bahawa ia tidak berminat menghormati rule of law. Pada hemat saya, tuduhannya itu tidak ada asas langsung.

Untuk memahami bahaya memulakan satu pendakwaan secara terburu-buru (atau pramatang), kita lihat semula keputusan Hakim Tun Suffian Hashim dalam kes Mat lwn. Pendakwa Raya [1963] MLJ 263. Mengikutnya, seorang OKT itu tidak memikul apa-apa beban untuk membuktikan dia tidak bersalah apabila prosiding berjalan di mahkamah. Sebalik­nya, beban pembuktian terletak kepada pasukan pendakwa bahawa dia (OKT) adalah bersalah.

Pada peringkat pertama prosi­ding, pendakwa mesti dapat buk­­tikan ada kes prima facie terhadap OK yang mesti dijawab olehnya. Jika pendakwa berjaya di peringkat ini, hakim bicara akan memanggil OKT membuat pembelaan. Di peringkat kedua prosiding, setelah OKT dipanggil membela diri, apa yang perlu dilakukan olehnya hanyalah me­nim­bulkan keraguan yang munasabah dalam minda hakim bicara terhadap kes pendakwaan. Andainya hakim bicara merasakan di akhir perbicaraan bahawa dia masih lagi ragu-ragu tentang kesalahan OKT, maka OKT berhak dilepas dan dibebaskan.

Sekiranya pasukan pendakwa terburu-buru atau gopoh memulakan kesnya terhadap sesiapa sa­haja individu (OKT) yang dise­butkan di atas tadi, tidak mustahil pendakwa akan kecundang di peringkat pertama, iaitu gagal membuktikan satu kes prima fa­cie terhadap OKT. Andainya pen­dakwa berjaya melepasi ha­langan pertama ini, tetapi dise­babkan beberapa kelemahan kes pendakwa sendiri, OKT masih dapat menimbulkan keraguan yang munasabah dalam minda hakim bicara, OKT berhak dilepas dan dibebaskan.

Pastinya Jabatan Peguam Ne­ga­ra mahu mengelakkan situasi buruk begitu berlaku.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.