Saban tahun ada sahaja berlaku kebakaran tempat tinggal atau premis simpanan akibat bahan hiburan berbahaya ini. Tidak kurang kes kanak-kanak kehila­ngan jari dan tangan, penglihatan serta pendengaran akibat letupan kuat mercun.

Namun di sebalik keindahan warna percikan serta dentuman letupan mercun itu, terdapat perkara yang lebih teruk daripada isu keselamatan itu sendiri. Percikan berwarna mercun adalah hasil tindakan kimia yang melibatkan pelbagai bahan serta logam berat. Merah, biru dan hijau adalah warna kegemaran bagi sebarang aktiviti membakar mercun, sama ada untuk tujuan menyambut tahun baharu, Hari Raya, atau hari kebesaran negara seperti Hari Kebangsaan.

Secantik warna merah, ada bahayanya. Ini kerana warna merah dihasilkan apabila satu bahan bernama strontium dibakar dan bertindak balas dengan oksigen di udara. Beberapa kajian mendapati bahan strontium ini bertoksik kepada manusia. Menghidunya dengan kuantiti yang banyak dan berpanjangan boleh mengganggu tumbesaran tulang.

Oleh kerana sifatnya yang hampir seperti mineral kalsium, ka­nak-kanak yang ada masalah nutrisi akan menyerap pada kuantiti yang lebih besar. Begitu juga bagi ibu hamil yang kekura­ngan kalsium, bahan strontium ini mampu mengganggu gigi bayi dalam kandungan.

Selembut warna biru, ia sebenarnya adalah hasil tindak balas pembakaran kuprum dengan gas di udara. Dengan pengambilan kuprum dalam makanan harian kita, tambahan dos hasil dari pendedahan asap mercun boleh mengganggu sistem hati dan pankreas seseorang. Tanda awal dedahan akut kuprum adalah seperti loya dan muntah, sakit perut dan mungkin muntah berdarah. Mereka yang menghidap penyakit Wilson mempunyai risiko kemudaratan yang lebih tinggi. Mercun berwarna ungu sering mengandungi kedua bahan strontium dan kuprum.

Sedingin warna hijau, ia terhasil akibat pembakaran barium di dalam serbuk mercun tersebut. Barium adalah logam berat yang didapati mampu mengganggu denyutan jantung, fungsi paru-paru dan buah pinggang. Beberapa kajian haiwan juga mendapati logam ini, pada paras yang tinggi, boleh menyebabkan kematian.

Warna percikan mercun yang lain disebabkan oleh bahan yang berlainan. Warna oren oleh kalsium, warna emas oleh logam besi, kuning oleh sodium, serta warna perak oleh bahan seperti alumi­nium, titanium atau magnesium. Dan kebanyakan mercun sekarang mengandungi hampir kesemua warna yang disebutkan tadi. Oleh itu, sebenarnya kita terdedah kepada banyak logam berat yang bertoksik setiap kali mercun dibakar atau setiap kali menyaksikan pesta mercun secara dekat.

Kandungan plumbum sebagai bahan oksidiser turut mendedahkan peminat mercun kepada masalah neuro tingkah laku dan tahap kecerdikan seseorang ter­utamanya kanak-kanak.

Selain warna yang pelbagai, mercun juga mengeluarkan asap berbau sulfur. Asap mercun adalah sangat halus, antara 2.5 mikrometer sehingga sekecil 0.1 mikrometer. Beberapa kajian di negara Barat dan China mendapati kandungan habuk halus itu meningkat secara ketara selepas pembakaran mercun bagi sesuatu keraian.

Habuk-habuk ini adalah sa­ngat kecil sehingga boleh memasuki sistem darah seseorang melalui paru-paru akibat terdedah semasa pesta mercun. Sehingga ada para pengkaji yang menyamakan asap mercun dengan asap rokok yang diketahui akan bahayanya. Kekelaman asap mercun juga boleh disamakan dengan jerebu yang sering berlaku setiap tahun di negara ini. Namun, sebahaya jerebu, bahaya lagi asap mercun ini.

Penghasilan gas toksik sulfur dioksida dan nitrogen dioksida dari asap mercun memburukkan lagi kualiti udara. Ini adalah gas-gas yang boleh menyebabkan hakisan pada saluran pernafasan lalu menyumbat dan memburukkan keadaan penyakit asma atau semput. Di bawah pengaruh cahaya matahari, gas toksik ozon juga terhasil. Ozon adalah gas yang sangat oxidatif yang boleh mengganggu sehingga ke peringkat sel dan gen.

Berbanding jerebu, asap mercun sebenarnya lebih mengganggu manusia. Ini terutamanya mereka yang mempunyai penyakit jantung, paru-paru, buah pinggang, kekurangan imun ba­dan dan zat makanan, serta mereka di peringkat umur eks­trim ia­itu bayi dan warga emas. Ia boleh merubah sikap dan tingkah laku remaja akibat dedahan di waktu kecil.

Dari itu, seharusnya mercun diharamkan bukan hanya kerana isu keselamatan, tetapi juga kerana sifat ketoksikannya juga. Pihak tertentu juga dinasihatkan untuk tidak terlalu ghairah untuk me­nganjurkan sebarang pesta mercun atau bunga api kerana ia seakan meracun semua penduduk dan rakyat di negara ini.

PROFESOR MADYA DR. MOHD. HASNI JAAFAR ialah Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).