"Tidaklah mustahil, pembunuhan ini menyasarkan kerajaan Malaysia dan rakyatnya. mereka ingin menunjukkan bahawa Malaysia yang terkenal negara yang banyak membantu Palestin tetapi lemah kerana tidak boleh memastikan keselamatan seorang rakyat Palestin tinggal di sini.

Mereka ingin memalukan negara kita dan menyatakan bahawa “kami” kuat dan boleh buat apa saja yang kami kehendaki," katanya.


MINGGUAN: Bagaimana pandangan MyAqsa berkenaan kes pembunuhan Dr. Fadi?

dr. noorazman: Kita mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan tersebut. Tidak pernah terjadi dalam sejarah negara yang dikenali negara yang aman dan stabil mempunyai peristiwa yang demikian rupa. Pembunuhan yang dilakukan itu telah mencalarkan imej negara dan keselamatannya. Kita juga ingin mendedahkan perancangan jahat musuh-musuh negara sehingga negara kita menjadi aman dan kuat.

Boleh kongsikan latar belakang Dr. Fadi al-Batsh dan kenapa agaknya beliau dibunuh?

dr noorazman: dr. Fadi al-Batsh berasal dari Jabaliyah, Gaza. Beliau belajar di Universiti Islam Gaza diperingkat sarjana muda dan sarjana. Kemudian menyambung pelajaran di Universiti Malaya peringkat kedoktoran dalam bidang kejuruteraan elektrik pada tahun 2012. Beliau mendapat anugerah kecemerlangan daripada Yayasan Khazanah yang telah memberikan biasiswa.

Beliau telah ditawarkan jawatan pensyarah oleh British Malaysia Institute (BMI) salah sebuah kampus UniKL. Beliau merupakan seorang pensyarah yang aktif dalam penyelidikan kejuruteraan elektrik sehingga mendapat geran kajian melebihi RM130,000 daripada kerajaan Malaysia. Kepakaran beliau diiktiraf dunia, malahan beliau dijadualkan berlepas ke Istanbul, Turki untuk mempengerusikan persidangan antarabangsa berkenaan tenaga di sana.

Secara ringkas keperibadian beliau adalah seorang pendiam, banyak berfikir, sentiasa menolong orang lain, rajin beribadah, berakhlak mulia dan menghafal al- Quran. Beliau amat disenangi semua orang yang ada di sekelilingnya malahan menjadi salah seorang imam di tempat beliau tinggal. Pihak NGO dan masyarakat pula sentiasa memanfaatkan kemahiran beliau dalam membaca dan menghafal al-Quran untuk menjadi imam solat tarawih di masjid dan surau terpilih.

Kalau ditanya kenapa beliau dibunuh? Tiada siapa yang boleh menjawabnya dengan tepat. Tapi yang pasti, tidak ada alasan untuk membunuhnya! Keperibadian yang baik dan pendidikan cemerlang yang ada menjadikan beliau sebagai seorang idola dan contoh yang baik.

Kesimpulannya, sudah tentu pembunuhan beliau disebabkan oleh kejahatan manusia yang memusuhi kebaikan dan keamanan. Ramai menyatakan bahawa beliau dibunuh oleh Mossad, sebuah badan perisikan Israel. Daripada fakta sejarah Zionis, kita memang menyakini dan tidak mustahil kerana Israel memang tidak menyukai orang Palestin yang cemerlang.

Apa bukti bahawa pembunuhan ini adalah kerja Mossad dan Zionis?

dr. noorazman: Perkara ini masih dalam siasatan dan tiada kesimpulan yang tepat. Tetapi menurut laporan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pembunuhan ini bukanlah pembunuhan secara rawak tetapi adalah pembunuhan bersasar (targeted killing) dan bukan serangan jenayah biasa kerana ada orang lain di sekitarnya. Tapi pembunuhan tersebut hanya fokus pada Dr. Fadi. Ia bukan juga pembunuhan pengganas seperti ISIS kerana ia dilakukan secara lancar dan profesional.

Laporan dan siasatan oleh wartawan penyiasatan jenayah Israel oleh Ronen Bergman, pakar berkenaan pergerakan perisikan Israel serta pengarang buku Rise and Kill, dalam satu wawancara dengan al Jazeerah, telah menyatakan, “Pembunuhan Dr. Fadi al-Batsh menunjukkan semua tanda-tanda bahawa ia datang daripada operasi pembunuhan Mossad". (The murder of al batsh bears all the hallmarks of a Mossad operation…it’s been done as a clean, professional killing operation far away from Israel, points to Mossad’s involvement).

Sementara itu, akhbar-akhbar Israel seperti The Jerusalem Post dan Haaretz. com, melaporkan pembunuhan yang sama pernah dilakukan oleh Mossad di Tunisia pada Disember 2017, di mana seorang jurutera bernama Mohamed Zouri yang merupakan pakar drone dari Palestin telah dibunuh.

Oleh itu tidaklah mustahil, pembunuhan terancang ini berkemungkinan besar dilakukan oleh Mossad yang memang mempunyai motif jelas untuk menguasai perjuangan rakyat Palestin.

Kajian yang dibuat sudah tentu memberikan maklumat penting berkenaan peristiwa ini, apakah mesej yang terkandung?

dr. noorazman: Beberapa analisis kami menunjukkan sasaran mesej utama mereka (pembunuh) bukanlah Hamas atau untuk rakyat Palestin. Tetapi mereka menyasarkan Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia. Beberapa soalan yang menjadi analisis kita, antaranya, mengapa Dr. Fadi dibunuh tidak ditangkap saja (mungkin ketika ia di luar negara)? Mengapa Dr. Fadi tidak dibunuh di luar Malaysia (beliau akan ke Istanbul beberapa hari selepas pembunuhan)?

Mengapa Dr. Fadi dibunuh secara kejam, ditembak di khalayak ramai, sedangkan mereka boleh memilih untuk membunuhnya secara senyap dengan racun, kemalangan dan sebagainya? Mengapa mereka memilih tarikh 21 April 2018, walaupun Dr. Fadi sendiri telah berada di Malaysia semenjak 10 tahun lalu? Persoalan yang menunjukkan bahawa mereka ingin menyasarkan Kerajaan Malaysia dan rakyatnya. Mereka ingin mencemarkan nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Malaysia.

Pembunuhan terancang ini sudah tentu mempunyai motif yang besar. Walaupun pembunuhan ini berlaku pada rakyat Palestin, tetapi ia dilakukan di negara kita, secara kejam di khalayak ramai, dan pada tarikh yang menghampiri Pilihan Raya Umum ke-14.

Pembunuhan ini dilakukan ketika Perdana Menteri dan Malaysia sedang disanjung tinggi oleh masyarakat dalam dan luar negara. Isu pembelaan dan pembebasan Palestin telah menjadi sinonim dengan kita. Dalam majlis sambutan Israk Mikraj peringkat kebangsaan baru-baru ini, Imam Besar Masjidil Aqsa, Sheikh Ekrima Saeed Sobri yang mewakili Masjidil Aqsa dan penduduk sekitarnya telah menyampaikan surat pengiktirafan dan penghargaan kepada Perdana Menteri kita.

Sanjungan dan penghargaan ini tidak pernah diterima oleh mana-mana pemimpin Malaysia sebelum ini. Najib mendapat pengiktirafan daripada masyarakat di Masjidil Aqsa, sebagai seorang yang banyak jasa dalam membantu perjuangan rakyat Palestin.

Beliau juga merupakan salah seorang pemimpin dunia yang berani menjejakkan kaki di Gaza dalam menyatakan dokongan terhadap perjuangan Palestin.

Apakah ia dilihat mempunyai kaitan dengan kemelut di Palestin sekarang?

dr. noorazman: Ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengisytiharkan bahawa Baitulmuqaddis adalah ibu kota Israel, Najib antara pemimpin dunia yang lantang membantah sehingga menjadi perhatian di persidangan tergempar OIC di Istanbul.

Tahun 2016 pula menyaksikan Malaysia telah membawa usul untuk mengaktifkan Resolusi 2334 di PBB, yang menyatakan bahawa pencerobohan penempatan haram Israel di tanah Palestin hendaklah dihalang dan undang-undang berkenaannya hendaklah dikuatkuasakan dunia. Majoriti negara dunia menyokong resolusi dibawa Malaysia. Ini sudah tentu menaikkan kedengkian Israel terhadap negara kita.

Tidaklah mustahil, pembunuhan ini menyasarkan Kerajaan Malaysia dan rakyatnya. Mereka ingin menunjukkan bahawa Malaysia yang terkenal negara yang banyak membantu Palestin tetapi lemah kerana tidak boleh memastikan keselamatan seorang rakyat Palestin yang tinggal di sini. Walaupun CCTV dan bukti ada, tetapi pihak berkuasa Malaysia tidak dapat menangkap penjenayah tersebut.

Mereka ingin memalukan negara kita dan menyatakan bahawa “kami” kuat dan boleh buat apa saja yang kami kehendaki. Mereka ingin memalukan kita dengan menyatakan bahawa “kerajaan cakap tak serupa bikin” sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang dalam kempen politik mereka.

Mungkin sebab itu mereka memilih tarikh 21 April 2018, kerana inilah masa yang paling strategik untuk “menghentam” Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia, ketika pihak tertentu berkempen untuk kemenangan pilihan raya.

Tetapi hakikatnya kejadian ini membawa maksud bahawa negara kita sedang diancam oleh ejen-ejen asing dengan bantuan kunco-kunco mereka di Malaysia.Pembunuhan tersebut tidak boleh berlaku dan dirancang dengan begitu rapi, melainkan ia mendapat bantuan daripada organisasi atau orang tertentu dari Malaysia yang menjadi musuh dalam selimut.