Apa yang disuarakan oleh Ahmad Zahid menunjukkan ketegasan beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dalam memastikan gejala judi haram tidak terus berleluasa dan sekali gus membuktikan bahawa kerajaan tidak duduk diam dalam berhadapan dengan satu perbuatan yang boleh meruntuhkan negara jika dibiarkan.

Namun begitu apa yang lebih penting adalah penguatkuasaan dan integriti. Terlalu banyak cerita yang kita dengar dan disebarkan berhubung kenapa kegiatan judi haram tidak dapat dibanteras. Kadang kala cerita-cerita tersebut ‘terlalu menyeramkan’ khususnya melibatkan soal integriti sesetengah anggota agensi penguat kuasa.

Tindakan segelintir mereka yang sanggup menjadi ‘balaci’ ­kepada sindiket judi haram dengan menerima imbuhan tertentu bagaikan ‘duri dalam daging’ dan ‘musuh dalam selimut’ kepada usaha kerajaan membanteras kegiatan tersebut.

Sememangnya dalam mana-mana juga organisasi tidak boleh ada watak-watak ‘duri dalam daging’ yang sudah tentulah hanya mengutamakan kepentingan peribadi mereka sahaja dan sanggup menjual maruah diri biarpun perbuatan itu boleh memusnahkan organisasi. Mereka boleh dikategorikan sebagai ‘pengkhianat’ kerana berbuat demikian.

Justeru sementara undang-undang dipinda, soal integriti juga harus dititikberatkan supaya sikap ‘duri dalam daging’ tidak terus menjadi ‘barah’ dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan judi haram. Atas sebab itulah ketegasan agensi-agensi penguat kuasa adalah penting khususnya dalam memastikan tiada mana-mana anggota mereka bersekongkol dengan ‘tauke-tauke ‘ judi.

Bagi ‘tauke-tauke’ judi memberikan sedikit ‘imbuhan’ dan ‘hadiah persahabatan’ bukanlah satu masalah kerana mereka mampu mengaut keuntungan berpuluh-puluh juta ringgit sebulan. Mereka menganggap apa dilakukan adalah ‘pelaburan’ jangka panjang, asalkan ‘perniagaan’ mereka tidak akan terganggu. Oleh itu, pindaan undang-undang akan menjadi sia-sia jika integriti dalam kalangan sesetengah anggota agensi penguat kuasa masih berada pada tahap yang rendah.

Dalam usaha menghapuskan bahaya ‘duri dalam daging’ itu, adalah penting pihak atasan agensi-agensi terlibat menunjukkan ketegasan dan bersedia bertindak ke atas mana-mana juga pegawai atau anggota yang menjadi ‘pengkhianat’ kepada usaha kerajaan membanteras kegiatan judi haram.

Penulis percaya dalam mana-mana juga organisasi hanya segelintir sahaja yang menjadi ‘musuh dalam selimut’, ramai lagi yang bertugas demi perjuangan agama, bangsa dan negara. Atas sebab itulah adalah diharapkan pindaan akta berkaitan judi haram akan segera dilakukan kerana gejala tersebut perlu dibanteras habis-habisan. Dalam melaksanakan langkah itu tidak boleh ada mana-mana peringkat pe­ngurusan yang turut terlibat. Jika ada bukti mereka terbabit, maka ‘operasi pembersihan’ perlu dilakukan.

Cukup-cukuplah, kita sudah bosan melihat bagaimana kegiatan judi haram seolah-olah satu jenayah yang begitu sukar ditangani sedangkan dalam masa sama agensi-agensi penguat kuasa kita hebat-hebat belaka.

Jangan biarkan ‘tauke-tauke’ judi terus bermaharajalela dan meletakkan undang-undang di bawah tapak kaki mereka akibat wujudnya segelintir anggota agensi penguat kuasa yang tidak amanah, tamak dan mahu hidup mewah dengan menjamah wang haram. Percayalah perkara haram tidak akan memberi apa-apa nikmat, ia pasti ada pembalasan, tidak dunia, di akhirat, itu adalah pasti!