Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

MARILAH kita berbicara secara terbuka, rasional dan prihatin apa yang telah berlaku terhadap bahasa Melayu pada masa ini.

Peristiwa terpinggir dan diketepikan bahasa Melayu sebenarnya berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Sebelum itu bahasa Melayu begitu mantap dan dihormati semua bangsa dan seluruh rakyat, terutama para pemimpin yang menunjukkan semangat mengutamakan bahasa Melayu dalam sebarang urusan termasuk berucap di majlis-majlis rasmi dan mesyuarat.

Akan tetapi kini, kebanyakan pemimpin kita tidak begitu betah lagi menggunakan bahasa Melayu. Ketika ditemu bual dan menyampaikan maklumat melalui televi­syen pun mereka menggunakan bahasa Inggeris. Kerana itu berlarutanlah penggunaan bahasa Inggeris dalam kalang­an ahli korporat, apatah lagi rakyat yang berpendidikan Inggeris.

Sesungguhnya kita tidak sama sekali anti atau memusuhi penggunaan bahasa Inggeris, akan tetapi jika difikirkan secara rasional, suatu ketika dulu pemimpin kita beria-ia benar ingin mewujudkan perpaduan melalui bahasa Melayu, kebetulan pula bahasa Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa rasmi negara, khususnya Perkara 152. Bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.

Kini negara kita sudah merdeka menjangkau 48 tahun, apakah kita masih mengekalkan isi Perlembagaan tentang penggunaan bahasa itu hingga sekarang? Selama 48 tahun itu kita sewajarnya sudah mantap menggunakan bahasa negara kita sendiri.

Kita amat bimbang usaha untuk menyatupadukan rak­yat negara ini, suatu ketika nanti tidak dapat lagi diben­dung apabila bahasa utama atau bahasa perpaduan bukan lagi bahasa Melayu yang kini menjadi teras perpaduan rakyat negara ini.

Apakah tidak berkemungkinan unsur-unsur perpaduan akan terhakis apabila rakyat negara ini tidak lagi menghormati bahasa rasmi negara, justeru tidak juga menghormati Perlembagaan?

Suatu kesan lagi yang amat ketara, apabila pemimpin-pemimpin kita bertutur bahasa Inggeris, sejumlah besar rakyat negara ini terutama kalangan orang Melayu yang tinggal di luar bandar tidak memahami mesej atau maklumat yang ingin disampaikan, kerana bahasa yang digunakan tidak dapat difahami oleh mereka.

Kerana itu, jika sekian banyak rancangan atau kempen kerajaan kurang berkesan termasuk Kempen Berbudi Bahasa, tidakkah salah satu sebabnya kerana rakyat tidak memahami maklumat yang disampaikan melalui bahasa Inggeris?

Oleh kerana pemimpin-pemimpin kita begitu meng­agung-agungkan bahasa Inggeris, tidakkah kehidupan bangsa kita akan terpengaruh dengan budaya barat?

Sekian banyak budaya bangsa kita kini, terutama anak-anak muda yang terikut-ikut dengan pengaruh barat terutama dari segi pakaian, tingkah laku, adab sopan termasuk kes jenayah seperti rogol, bunuh, rompak, tipu, rasuah, penyelewengan dan tindakan buruk lain yang sebelum ini kurang berlaku di negara kita, sebelum penggunaan bahasa Inggeris begitu berleluasa.

Tidakkah kesan pengaruh bahasa Inggeris itu menco­rakkan budaya kehidupan masyarakat kita sekarang?

Kita lihat negara maju seperti Jepun, Korea, China, termasuk negara barat Jerman, Perancis, Itali, Rusia, Belanda dan Portugis, kerajaan negara-negara tersebut termasuk para pemimpinnya tidak sama sekali mengagung-agungkan bahasa asing dalam kehidupan sehari-hari menyebabkan rakyatnya begitu mencintai budaya negara mereka sendiri.

Meskipun mereka turut mempelajari bahasa Inggeris akan tetapi bahasa ibunda negara diutamakan. Pemimpin-pemimpin negara tersebut akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing jika diadakan apa-apa upacara pembukaan rasmi sama ada di peringkat negara atau dunia.

Begitu juga negara tetangga kita seperti Thailand dan Indonesia, bahasa ibunda masing-masing begitu dipertahankan. Mereka begitu ampuh mempertahankan jati diri, identiti dan maruah negaranya. Mengapa pemimpin-pe­mimpin kita tidak begitu semenjak akhir-akhir ini?

Apabila kita membicarakan tentang jati diri, identiti dan maruah negara dan bangsa, pemimpin kita sering menyatakan kita sepatutnya memerintah mengikut acuan sendiri. Di manakah acuan itu jika bahasa negara mengikut bahasa asing?

Bahasa Jiwa Bangsa, Lenyap Bahasa Lenyaplah Bangsa! Kata-kata hikmat ini sering dilaungkan oleh pemimpin-pe­mimpin Melayu ketika memperjuangkan kemerdekaan negara kita dahulu termasuk pemimpin-pemimpin UMNO. Apakah kata-kata atau slogan itu sudah basi dan tidak bererti lagi dalam zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan?

Apakah tidak berkemungkinan negara kita telah atau mulai terjajah kembali sekarang? Pemimpin-pemimpin kita dahulu begitu bersungguh-sungguh berjuang menuntut kemerdekaan, bukan saja kemerdekaan negara tetapi juga kemerdekaan bahasa, pendidikan, ekonomi dan budaya. Perjuangan mereka amat berjaya, sehingga bahasa Melayu dimartabatkan ke universiti dan sekian ramai anak bangsa kita lulus dan kini berkhidmat sebagai doktor, jurutera, ahli korporat di seluruh negara melalui bahasa tersebut.

Mengapa pula kita ingin undur kembali ke zaman penjajah? Tidakkah langkah tersebut akan memundurkan anak-anak Melayu, sepertimana yang berlaku dalam zaman penjajahan dahulu?

Kita mempertikaikan anak-anak Melayu lemah dalam pelajaran bahasa Inggeris, mengapa suatu ketika dulu anak-anak kita berjaya bekerja dalam sektor swasta yang ketika itu mewajibkan penggunaan bahasa Melayu?

Di Jepun, Korea dan China sektor swasta dan pelabur dari luar dikehendaki mempelajari dan menggunakan bahasa negara mereka, mengapa kita perlu mengikut te­lunjuk sektor swasta mewajibkan kelulusan dan penggunaan bahasa Inggeris? Di manakah kuasa dan jati diri kita?

Sejarah adalah cermin kehidupan. Sewajarnya pemimpin kita menggunakan ‘cermin’ tersebut dalam menentukan arus pembangunan negara terutama bangsa Melayu. Kita khuatir, suatu ketika nanti orang Melayu akan ketinggalan dalam semua bidang kehidupan sepertimana berlaku dalam zaman penjajahan ketika bahasa Inggeris diutamakan.

Pepatah bangsa kita lumrahnya tidaklah salah: Jika sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Tindakan itu bukanlah sesuatu yang memalukan atau bukanlah pula sesuatu yang merugikan, sebaliknya suatu tindakan yang mulia dan murni demi keselamatan anak-anak bangsa kita jua.

PENULIS ialah dari Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Perlis.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain