Semangat Asmad menyamai semangat tokoh-tokoh pejuang bahasa mutakhir seperti Profesor Datuk Isahak Haron, Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh, Datuk Baha Zain, Profesor Dr. Abdullah Hassan, Profesor Datuk Seri Md. Salleh Yaapar, Datuk Zainal Abidin Borhan, Datuk Dr. Zurinah Hassan, Dr. Mohammed Saleeh Rahamad, Profesor Datuk Dr. Hashim Yaacob dan beratus-ratus tokoh lagi.

Ternyata, tokoh bahasa sejak dahulu telah mengkritik sikap orang Melayu terhadap bahasa sendiri. Dengan kata lain, daripada tulisan Asmad itu, kita me­nemukan rasa kesal kerana bahasa Melayu tidak diperhargakan di Tanah Melayu. (Perkataan ‘diperhargakan’ yang digunakan oleh Asmad bermaksud ‘dihargai’).

Jika pada 1950 terdapat keluhan, tentulah rasa tidak se­nang terhadap fenomena ini bermula sebelum itu. Maksud saya, masalah ketiadaan penghargaan terhadap bahasa Melayu pastilah bermula lebih awal. Dapatlah kita agak bahawa orang Melayu ketika makalah Asmad ditulis menggunakan bahasanya kerana keperluan komunikasi semata-mata, tanpa ada rasa cinta bahasa.

Hal ini sangat penting untuk diperhatikan. Menurut Asmad, di sekitar 1950-an, bahasa Melayu di Indonesia sudah menjadi bahasa rasmi. Di Tanah Melayu, hanya para sasterawan yang berusaha untuk menaikkan taraf bahasa Melayu agar sama tinggi dengan bahasa Inggeris. Perhatikan bahawa ketika itu pun bahasa Inggeris ialah pengukur pencapaian. Asmad menyarankan pembelaan bahasa Melayu agar dipandang tinggi oleh bangsa lain.

Dalam hal ini, bahasa yang kukuh iaitu yang jelas unsur tatabahasa dan gaya bahasanya akan terpilih untuk menjadi wadah penggalian ilmu. Rakyat negara ini iaitu kalangan pelajar mula mendapat ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa Me­layu pada awal dekad 1960-an.

Kebanyakan orang yang belajar di sekolah Inggeris tidak tahu bahawa pelajar aliran Melayu ketika itu berada dalam keadaan yang terpinga-pinga. Isahak yang pernah melawat Se­kolah Alam Shah, Jalan Che­ras pada masa itu pasti sedar akan keadaan ketika itu. Antara lain, guru sains pernah mengherdik pelajar yang tidak memahami buku teks dalam bahasa Inggeris. Pelajar keliru kerana ilmu di­sampaikan dalam bahasa Melayu sedangkan buku teksnya dalam bahasa Inggeris.

Seterusnya pelajar lepasan sekolah aliran bahasa Melayu agak cemas apabila terpilih belajar di luar negara. Hal ini tidak berlaku kepada pelajar lepasan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan juga Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kawan baik saya yang berpeluang belajar di sebuah universiti di London memberitahu saya, dia mena­ngis ketika memegang pen untuk menjawab soalan peperiksaan.

Kata kawan saya itu, dia memahami soalan, tetapi untuk menjawabnya dia berasa rumit kerana dia tidak dapat menguasai penulisan dalam bahasa Inggeris. Ini perlu difahami oleh kesemua pejuang bahasa agar dapatlah mereka menerima kaedah baharu memperjuangkan bahasa yang akan saya sarankan.

Elok juga disebutkan sejumlah kawan saya dari Sekolah Alam Shah kini berjaya dalam hidup dan mahir berbahasa Melayu dan Inggeris. Alasan untuk itu ialah kerajinan luar biasa mereka mempelajari kedua-dua bahasa. Salah seorang daripada mereka iaitu Datuk Dr. Anwar Ridhwan kini ialah Sasterawan Negara.

Sekarang, sejumlah pejuang bahasa Melayu ialah bekas pelajar aliran Inggeris dan aliran Melayu. Kecintaan mereka terhadap bahasa Melayu ternyata tinggi tetapi nampaknya mereka kurang memberikan saranan yang berimbang agar anak-anak muda kini maju dalam kedua-dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Perjuangan bahasa Melayu hendaklah dilaksanakan dalam keadaan serba mantap. Janganlah timbul anggapan bahawa pejuang bahasa Melayu ialah orang yang gagal menguasai bahasa lain. Pejuang bahasa Melayu hendaklah berbakat besar seperti Isahak, Dr. Muhammad, Baha, Dr. Hashim, Md. Salleh, Asmah Haji Omar dan Nik Safiah Karim yang mahir dalam lebih dari satu bahasa. Elok diingatkan bahawa pencinta bahasa Melayu seperti Hasniah Husin (Mamatok) dan Ramlee Wahab juga berpendidikan Inggeris.

Saya telah menyiapkan ma­nuskrip buku tentang perkara ini. Kaedah baharu yang saya maksudkan tersirat di dalam buku yang akan terbit itu. Saya tahu aliran pemikiran saya ini polemikal tetapi saya menyuguhkan membawa idea ini demi melihat kejayaan perjuangan bahasa Melayu dalam jangka masa 10 tahun.

Saya menyetujui pandangan Isahak bahawa dalam keadaan tertentu, bahasa Inggeris itu sendiri elok diajarkan melalui bahasa Melayu. Jika diaplikasi, kaedah pengajaran yang dinamakan L1 for L2 ini akan menaikkan rasa hormat terhadap bahasa Melayu. Ini ialah antara strategi yang akan menaikkan taraf bahasa Melayu agar diperhargakan dan tidak dipandang rendah oleh sesiapa.

Apabila Dr. Muhammad me­ngatakan bahasa Melayu sehebat bahasa Inggeris, kita yakin pada kata-kata itu kerana beliau mahir dalam kedua-duanya. Demikian juga apabila Baha mengemukakan sejumlah peribahasa Ing­geris, seterusnya Dr. Zurinah dan Dr. Hashim menterjemah karya mereka sendiri.

Jika pada 1950 Asmad telah menyebut masalah ketiadaan penghargaan terhadap bahasa Melayu, saya harap dalam tahun 2020 kita tidak akan mendengar keluhan itu lagi. Bahasa Melayu dicintai dan dihargai. Bahasa lain tetap wajar dipelajari dan dikuasai.

PROFESOR RAHMAN SHAARI ialah tokoh pendidikan dan sastera.