Agak pelik selepas lebih 60 tahun merdeka, kemahiran berbahasa Melayu masih longgar dan sesetengah ahli Parlimen dan generasi selepas merdeka bukan Melayu terutama generasi muda masih belum mampu berbahasa Melayu dengan baik.

Menarik kalau diteliti ke­upayaan golongan Baba Peranakan yang melakukan pendekatan asimilasi tidak sahaja mampu berbahasa Melayu walaupun de­ngan gayanya yang tersendiri dan mampu menyantuni budaya Melayu dan ia menghasilkan suatu bentuk persefahaman antara etnik dan menjadi asas perpaduan di Malaysia.

Malangnya gelombang penghijrahan kedua dalam kalangan orang Cina ke Malaysia sebahagian besarnya tidak mampu me­nyantuni masyarakat setempat dan masih utuh dengan ikatan budaya dan bahasa, sekali gus menyebabkan Dasar Pendidikan Negara untuk membentuk acuan perpaduan negara tidak kesampaian.

Tujuan bahasa Melayu dima­sukkan ke dalam peruntukan Perlembagaan supaya ia menjadi dasar dalam pendidikan dan pentadbiran negara. Lama kelamaan akan terbentuk asas persefahaman menerusi bahasa Melayu iaitu bahasa yang digunapakai sekian lama di negara ini.

Sebaliknya, pengukuhan sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil menyebabkan polarisasi terjadi. Malah terdapat puluhan ribu pelajar Melayu di sekolah Cina kini. Ini suatu dimensi baharu mengenai corak penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan ge­nerasi muda Melayu sendiri yang perlu dikaji.

Mempelajari bahasa asing tidaklah dilarang. Dalam tradisi Islam, mempelajari berbagai bahasa adalah baik. Ilmuwan Islam seperti Ibn Sina umpamanya menguasai 12 bahasa dan menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa utama kerana bahasa Arab pada zamannya adalah bahasa ilmu dan tamadun.

Terbukti mempelajari bahasa ibunda boleh menyebabkan bangsa itu maju seperti yang berlaku di Jepun, Korea dan China. Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan rasmi sejak awal kemerdekaan lagi boleh menjadikan sistem pendidikan Malaysia maju kerana disertai oleh pelbagai kaum. Malang­nya, ia tidak terjadi sepenuhnya dan mewujudkan jurang hubu­ngan kaum, menyukarkan persefahaman serta perpaduan terjadi. Akibatnya masyarakat cenderung kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa sains dan teknologi.

Menyiarkan siaran rasmi kementerian dalam bahasa Cina dilihat sebagai suatu percubaan untuk mendapatkan reaksi dalam kala­ngan orang Melayu. Ini di luar dari tradisi kerajaan sejak dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dulu.

Masyarakat Melayu dan pe­juang bahasa tidaklah naif membaca yang tersurat dan tersirat. Pepatah Melayu menyebutkan “lulus jarum lulus kelindan”. Kalau yang ini boleh, yang lain dan tidak mendukung semangat Perlembagaan tentu boleh.

Bahasa Melayu, agama Islam, hak istimewa, institusi Raja-raja Melayu adalah sesuatu yang sensitif untuk dipolitikkan di luar batas akademik. Peruntukan dalam Perlembagaan yang telah berjalan harus dihormati dan diperkukuhkan supaya asas persefahaman terbina. Ini sa­ngat perlu bagi Malaysia yang sifat masyarakatnya majmuk.

Jangan benarkan kuasa beli menjadi pertimbangan segala-galanya kerana ia boleh menyebabkan berlakunya jurang baik dalam ekonomi, perniagaan, dominasi sumber produk dan pemasarannya sehingga menyebabkan ekuiti golongan yang berada dan tidak berada semakin tidak seimbang.

Penulis amat bersetuju bahawa bahasa Melayu harus dimartabatkan supaya menjadi bahasa ilmu, pengajaran dan pembelajaran, bahasa rasmi negara di samping keperluan mempelajari bahasa Inggeris, Cina, Tamil dalam batas ruang terizin supaya penguasaan bahasa Melayu menjadi ke­utamaan dan bahasa-bahasa lain sebagai pilihan.

Melihat dari pemasangan papan tanda kedai-kedai perniagaan di seluruh negara kalau tidak ada penguatkuasaan, hanya satu bahasa saja bakal kelihatan. Imej yang bakal terbina ialah ia bukan gambaran urusniaga keMalaysiaan tapi negara lain.

Hal yang sama nama-nama jalan dan perumahan tidak mempamerkan iklim budaya setempat dan bahasa Melayu jelas dipinggirkan. Taman-taman perumahan mengambil nama yang asing dan kalau ia tidak dikawal, imej bangunan, nama-nama jalan, sektor perumahan berada seolah-olah kita berada di luar negara bukannya Malaysia. Jati diri keMalaysiaan semakin terhakis secara terancang.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).