Bahasa Melayu pada masa itu banyak digunakan bukan hanya oleh keturunan Melayu tetapi juga orang asing yang datang berurusan di negara-negara Me­layu. Sekiranya dakwaan ini hendak mendapat kepercayaan orang ramai apatah lagi kepercayaan orang asing maka kita hendaklah menunjukkan bukti bagi menyokong dakwaan yang bahasa Melayu ini benar-benar mampu berbuat demikian dewasa ini.

Bukti-buktinya memang ada di dalam banyak bidang, tetapi kita jarang menelitinya sehinggakan tidak menyedarinya. Salah satu daripadanya adalah pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu oleh Great Britain seperti diterangkan di bawah ini:

Pada 1997, The General Dental Council of Great Britain (GDC), ia­itu sebuah badan yang mengawal piawai latihan ijazah dan amalan doktor pergigian di Great Britain menganugerahkan pengiktirafannya ke atas Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian daripada Universiti Malaya (UM). Program UM ini dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

GDC telah lama sebelum 1997, menganugerahkan pengiktirafan ke atas Ijazah Bachelor of Dental Surgery (bersamaan dengan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian ) dari negara-negara Eropah seperti Itali, Sepanyol, Jerman, Perancis, yang menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri dan bukannya bahasa Inggeris. Dengan pengiktirafan ke atas program dari UM itu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajian, maka Great Britain dengan secara langsung mengiktiraf bahawa ilmu kedoktoran pergigian dari UM itu mampu disampaikan dengan menggunakan bahasa Melayu, sejajar dengan bahasa-bahasa Eropah lain.

Presiden GDC, Dame Margaret Seward pada 1977 telah mengeluarkan kenyataan bahawa Fakulti Pergigian UM menjalankan program doktor pergigian yang sama taraf mutunya seperti yang terbaik di dunia. (Dame Margaret Seward, President GDC of United Kingdom (1977) stated; “This school (Dental Faculty of University Malaya) delivers a course of the highest standard to match the best in the world.”) Dengan kenyataan oleh Presiden GDC ini maka, bahasa Melayu bolehlah dianggap sebagai bahasa ilmu.

Beza antara Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (SMPP) dari UM dengan yang dikeluarkan di Eropah adalah ha­nya dari segi bahasa pengantarnya. Kursus ijazah SMPP di Fakulti Pergigian UM diajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu manakala kursus ijazah yang sama di Barat dijalankan dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jerman dan sebagainya mengikut negara masing-masing.

Apabila GDC Great Britain menganugerahkan pengiktirafannya kepada ijazah SMPP dari UM pada 1997, pihak berkuasa negara itu yang bertanggungjawab dalam pemberian pengiktirafan telah mengambil kira bahawa UM telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran ijazah itu. Pengiktirafan itu juga bermakna peme­gang ijazah SMPP dari UM diiktiraf oleh United Kingdom (UK) untuk bekerja sebagai doktor pergigian di negara itu. Pengiktirafan itu dibuat atas sebab-sebab kursus ijazah SMPP itu dijalankan de­ngan cemerlang mengikut piawai yang ditentukan UK. Ini termasuk kewujudan infrastruktur dan kelengkapan moden, struktur kurikulum pengajaran yang mantap, kewibawaan kakitangan akademik dan profesional yang berkhidmat serta penyelidikan dan penerbitan yang dihasilkan, dan tatacara pengajaran yang dijalankan dalam bahasa Melayu.

Kalau bahasa Melayu sudah terbukti boleh menjadi bahasa ilmu dalam bidang kedoktoran pergigian maka kita boleh bina keyakinan bahawa bahasa Melayu boleh juga menjadi bahasa ilmu di dalam bidang lain. Kita hanya perlu menggunakan bahasa Melayu dengan lebih luas dan membina istilah serta perbendaharaan kata yang bersangkutan dengan bidang-bidang ilmu yang hendak kita terokai.

Tetapi ada beberapa masalah yang dihadapi dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Ramai yang menyebut antara puncanya adalah seperti berikut: - Usaha pelaksanaan bahasa Melayu yang tidak serius; sektor swasta kurang peduli dengan penggunaan - Kurang keyakinan sesetengah rakyat kepada bahasa Melayu dan mengagungkan bahasa Inggeris; pensyarah kurang proaktif menggunakan bahasa Melayu; Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) - Perubahan dasar pendidikan negara yang sering berlaku dalam hal bahasa pengantar pendidikan sekolah dan universiti; penerbitan dan terjemahan dalam bahasa Melayu tidak menyerlah; pencemaran bahasa sering berlaku; kekurangan penguatkuasaan undang-undang dalam penggunaan bahasa Melayu.

Sayugia dimaklumkan bahawa Akta Pendidikan 1961, 1996 memaktubkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa pengantar pendidikan. Perkara 152 (1) memaktubkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan. Walaupun begitu, sekiranya kita mempunyai kemahuan untuk memar­tabatkan bahasa Melayu, kita tentu sekali dapat melakukannya.

PROF. EMERITUS DATUK DR. HASHIM YAACOB ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM).