Gerakan mendaulatkan kedudukan bahasa Melayu bukan baru. Ia bermula seawal tahun 1960-an. Pelbagai usaha dilakukan secara berterusan untuk memastikan bahasa itu terus menjadi wadah perpaduan masyarakat pelbagai etnik di negara ini merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pada awalnya dikenali sebagai Minggu Bahasa Kebangsaan, kempen memperkasakan kedudukan bahasa itu telah melalui pelbagai perubahan wajah dengan kandungan yang sama. Ia pernah dikenali sebagai Gerakan Cintailah Bahasa Kita; Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta dan Minggu Sastera.

Pada 1999, ia dinamakan sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara dan 10 tahun selepas itu pada 2009, lahirlah Bulan Bahasa Kebangsaan. Tujuannya jelas sebagaimana dinyatakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia. Ia juga perlu untuk menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan; memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan; dan menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

Dalam kita hidup beradat dan berbudi, bahasa tidak boleh dijual beli. Tinggi bangsa adalah kerana bahasa. Yang kurik kundi, Yang merah saga, Yang baik budi, Yang indah bahasa - lahir sebagai santapan pantun kerana ketinggian budi dan bahasa dalam amalan kita.

Hari ini, ramai dalam kalangan warga Malaysia malu dan segan untuk menggunakan bahasa Melayu kerana persepsi bahawa ia tidak setaraf dengan kedudukan bahasa Inggeris, bahasa Perancis malahan bahasa Latin. Hakikatnya, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantara, bahasa pertukaran dagangan dan lingua franca gugusan Kepulauan Melayu.

Tatkala sejarah beredar; ia luntur kerana gugurnya nasionalisme bahasa dengan pencerobohan penjajah yang menjadi punca runtuhnya kebitaraan bahasa Melayu yang unggul pada dekad 16 dan 17. Hatta, lahir sekatan, keterbatasan penggunaan dan ia luntur dan perlahan-lahan cuba diturunkan darjat daripada bahasa induk di pelbagai arena kepada bahasa komunikasi sama ada dalam kalangan masyarakat Melayu atau mereka yang memahaminya.

Siapakah sebenarnya bertanggungjawab membawa kedudukan bahasa Melayu daripada bahasa besar kepada bahasa lokal walaupun selepas kemerdekaan, pengisian kemerdekaan diwarnai dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi dan itu juga dilalui dengan rintangan dan cabaran kerana hadir golongan yang mahu mengetepikan kedudukannya sebagai bahasa ulung negara-bangsa merdeka.

Dalam meraikan bulan bahasa, jangan ada anak watan yang kecewa dengan bahasa kerana ia bukan sekadar bahasa perhubungan tetapi lebih daripada itu, ia adalah nilai jati diri nasionalisme dan patriotisme pelbagai kumpulan etnik negara ini. Bahasa jiwa bangsa, bahasa menjadi lambang perpaduan, simbol penyatuan negara yang impikan kesejahteraan muhibbah.

Seorang yang menamakan dirinya warga Malaysia mesti secara ikhlas dan jujur menyanjung tinggi penghormatan diri sebagai warga Malaysia kerana ini bumi dipijak; mesti fasih menguasai bahasa kerana bahasa kebangsaan membawa bersama sifat kepunyaan dalam diri setiap warga; dan memastikan Perlembagaan terpelihara keluhurannya kerana dokumen keramat ini turut memastikan maruah bahasa dipertahankan di bawah Perkara 152 yang menekankan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi yang turut menjamin penggunaan, pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain.

Sebutan sebagai bahasa rasmi jelas bahawa kelonggaran penggunaan bahasa lain merupakan kompromi tetapi tidak boleh menyanggahi kedudukan bahasa Melayu. Usaha berterusan melahirkan modal insan berilmu, berkebolehan dan berkemahiran termasuk menguasai pelbagai bahasa tetapi ia tidak pernah sama sekali mencadangkan untuk menderhaka jiwa bahasa Melayu kerana identiti nasional juga terletak kepada jiwa Malaysia dengan nilai bahasa Melayu di dalam diri anak watan Malaysia.

Bagi yang menyoal sama ada ia adalah bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia, elok memikirkan bagaimana untuk menguasainya dan menjadikan ia sebagai landasan keutuhan diri daripada menimbulkan polemik yang tidak membawa sebarang kebaikan tetapi mengganggu proses memperkasakan ia sebagai adunan kepada latar belakang dirinya.

Peringatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional di Perhimpunan Agung parti Malaysian Chinese Association (MCA) hujung minggu lalu kena pada masanya. Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa; "Kita harap SJKC belajar bahasa kebangsaan dengan baik, boleh tak? Jangan guna 'gua', 'lu' lagi. Bercakap seperti Presiden MCA. Keseluruhan ucapan dasar beliau dalam bahasa (Melayu), tahniah. Kita hendak macam itulah, lancar bahasa kebangsaannya". Isyarat Najib jelas dalam nada sinis; jangan salah gunakan kelonggaran yang diberikan dengan membelakangkan semangat anak Malaysia.

Perencanaan martabat bahasa Melayu perlu dilakukan dengan rapi dan kemas. Polemik yang berterusan perlu dihentikan jika ada usaha tegas menjadikannya sebagai bahasa ilmu yang bergantung kepada pengiktirafan dan pelaksanaan. Pengukuhan kedudukan bahasa Melayu selaras dengan intipati dan kedudukan dalam Perlembagaan tidak bermakna kepentingan bahasa lain diketepikan.

Realiti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa dominan, bahasa jati diri perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa lambang bangsa warga Malaysia mesti ditempatkan di kedudukan yang dihormati supaya mutu dan tarafnya disanjung tinggi.

Majlis Mendaulatkan Bahasa Melayu perlu ditubuhkan secara langsung di bawah Pejabat Perdana Menteri supaya lambang keagungan tanah air ini tidak diragut maruahnya. Jangan biar ia tergantung tanpa tali seolah-olah segala usaha hanya bersifat retorik. Kita tidak memerlukan undang-undang baru kerana sudah pun wujud ketinggian kedudukan bahasa di bawah Perlembagaan serta beberapa akta seperti Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan serta Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis ini perlu diberi imuniti untuk mendaulat, memperkasa, mengangkat, memelihara, membimbing dan melatih jiwa bangsa Malaysia melalui Bahasa Kebangsaan.

Yang juga diperlukan adalah memberikan roh kepada akta ini agar ia diguna pakai sepenuhnya.

Ketegasan dalam membudayakan bahasa Melayu boleh meningkatkan pemantapan martabat bahasa Melayu. Ia bukan sekadar menjadi tanggungjawab DBP yang bertungkus lumus memastikan martabat bahasa kebangsaan tidak tercalar ataupun Kementerian Pendidikan yang sering memastikan ia menjadi agenda utama dalam pendidikan negara. Pelbagai kementerian, agensi berwajib dan pihak swasta juga ada peranannya untuk berfungsi bersama sebagai cabang dan ranting pengembangan bahasa Melayu ke seluruh pelosok baik dalam mahupun luar negara.

Di Persidangan Kebangsaan Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Pelaksanaan Dasar Bahasa USM 2012, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Omar Osman menyarankan - usaha-usaha dan hala tuju yang jelas dalam memastikan usaha mendaulatkan bahasa Melayu dilaksanakan dengan berkesan dapat dibuat agar dilakukan secara lebih berstrategi, berfokus dan realistik.

Saranan beliau datang dengan gesaan bahasa adalah jiwa bangsa. Bahasa mencerminkan budi dan jati diri seorang manusia. Bahasa adalah cerminan diri. Secara strategik, ia mampu diangkat kedudukannya dan bukan sekadar menjadi pelapik kepada bahasa lain. Secara realistiknya, ia bukan bahasa yang rendah kedudukan jika dinilai daripada sejarahnya; secara berfokus ia boleh mencapai pelbagai kumpulan walaupun akan ada yang merungut dengan alasan yang sama bahawa ia bukan bahasa Inggeris yang diguna di merata tempat. Bagaimana dengan bahasa Jepun dan bahasa Perancis? Bagaimana dengan gelagat warganya yang kekal menggunakan bahasa tersebut walaupun asing dan tidak difahami tetapi diberikan pengiktirafan demi menghormati pengamalnya.

Begitu juga dengan bahasa Melayu. Ia bermula dengan warganya sendiri yang perlu ada jiwa bahasa Melayu daripada sentiasa memperlekeh tutur dan bicara penggunaannya. Maka, Bulan Bahasa Kebangsaan menepati usaha dan matlamat ini. Ia bukan program rasmi jabatan kerajaan atau kementerian bersangkutan tetapi adalah gerakan massa mendaulatkan bahasa kebangsaan. Dalam merentasi tahun 2020, kita mahu melihat masyarakat kelas satu, di negara kelas pertama. Dalam keindahan infrastruktur dan kemudahan dunia pertama; biar ia dihuni oleh masyarakat kelas satu yang tahu menghormati bahasa kebangsaan sebagai bahasa jambatan penyatuan pelbagai kumpulan dalam stratifikasi masyarakat di samping kekal sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Dr. Sivamurugan Pandian ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM)