Begitu juga Allah menerangkan betapa manusia akan mempersoal penggunaan bahasa asing jika ayat-ayatnya diturunkan kepada Rasul yang berbangsa Arab. Demikian ayat Allah itu menjadi cahaya dan penawar kepada yang beriman. (Fussilat 41:44).

Demikianlah bahasa itu menjadi pembina kefahaman dan ketahuan (kognisi) manusia pendukungnya bagi segala bentuk ilmu, maklumat dan berita yang tercipta dalam pelbagai bentuk serta disampaikan langsung ke dalam masyarakatnya. Bahasa itulah yang menjadi sendi keutuhan dan pegangan dalam rangkaian masyarakat dan bangsanya sehingga membangun bangsa ke tahap yang amat agung bernama peradaban atau tamadun. Beradab bermakna mempunyai segala adab dan peraturan atau juga adat seperti yang difahami oleh bangsa Me­layu: hidup dikandung adat. Bertamadun adalah pembinaan masyarakat dan bangsa pada landasan muduni atau bandar lalu membangun pelbagai tugu dan monumen besar serta bangunan agung sebagai petanda ketamadunannya.

Yang amat utama ialah bahasa itu menjadi saluran kefahaman dan ketahuan semua anggota masyarakat terhadap pelbagai maklumat, berita dan cerita oleh para pencetus pelbagai gagasan di dalam masyarakat. Dengan demikian anggota masyarakat berpegang kepada cetusan gagasan itu dan bersatu mendukungnya demi kepenting­an dan kemajuan mereka. Implikasi teragung daripada proses kefahaman itu ialah munculnya daya ikutan dan kuasa kepimpinan terhadap para pencetus yang lazimnya tergolong sebagai pemimpin masyarakat, sekali gus bangsa dan negara.

Inilah hikmah pembinaan bahasa negara oleh para ­pemimpin negara dan bangsa. Demi membina pengikut dalam kalangan warga negara dan terhadap orga­nisasi politiknya pemimpin wajib membina keupayaan bahasa di dalam kebangsaannya. ­Pemimpin diukur oleh keupayaan bahasanya dalam pelbagai bentuk ujaran dan ucapan yang menggubal idea, tanggapan, pandangan, rancangan serta gagasan visi masa depan yang gemilang dan bermakna.

Kegagalan menggarap bahasa dan gagasan yang unggul serta bermakna dalam akal budi anggota masyarakat yang menjadi pendengar dan pengikut maka kepimpinan akan dilihat cetek, sambang serta hampa yang akan membawa kepada kegagalan. Sekali gus organisasi dan politik akan tempang dan akhirnya akan tumbang serta lupus.

Prinsip keutuhan bahasa sebagai pembina kognisi atau ketahuan manusia dan masyarakatnya dengan segala bentuk maklumat dalam minda telah jelas daripada pandangan pengkaji bahasa seperti golongan linguis dari hipotesis Sapir-Whorf kepada Vygotsky dan kini digembleng sepenuhnya oleh ahli komunikasi dalam membina pelbagai kefahaman yang terarah. Demikian kelihatan pelbagai bentuk kefahaman serong dalam masyarakat, khusus dalam media cetak dan sosial, yang terarah kepada penyanjungan positif terhadap satu golongan atau sebaliknya penegasan sikap benci terhadap yang lain demi kepentingan kuasa dan pemerintahan. Seluruh dunia sedang gagap mengalami pertelagahan arahan dan pemutaran bahasa dalam dunia propaganda yang amat mengelirukan.

Dalam negara kita di Malaysia kelihatan suatu kontradiksi yang amat menakjubkan. Pemegang kuasa kelihatan tidak terlalu peduli akan bahasa yang amat luas difahami dan dipegang oleh anggota masyarakat umum dan seluruh warga negara – bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Ada usaha yang nyata dan gigih ingin memindahkan keupayaan kuasa berbahasa ke dalam bahasa asing sehingga menelan kos yang amat tinggi, mengorbankan generasi anak–anak sekolah rendah dan menengah dan akhirnya menghasilkan bangsa yang jahil dan gagal dalam pelbagai bentuk pembangunan.

Padahal, ada generasi terdahulu yang sudah membuktikan betapa segala ilmu yang diperturunkan ke dalam semua lapisan persekolahan serta pendidikan, dari yang rendah kepada yang tinggi, sudah menyerap dan meresapkan ribuan gagasan ilmu tinggi serta dapat membangun bangsa. Kehadiran ilmu dalam semua lapisan masyarakat itu telah dapat menggembleng kepandaian dan ketahuan mereka untuk membina dan menginovasi masyarakat dalam pelbagai bidang. Malah orang kampung di pendesaan ladang-ladang sawit dapat menggembleng pengetahuan mereka bagi menginovasi pengangkutan yang wajar dengan muka bumi perladangan mereka.

Demikianlah bahasa, ketahuan serta kuasa adalah saling berkait erat. Orang amat faham akan jaringan idea pembangunan Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020 selama gagasan itu diujarkan di dalam bahasa Melayu, bukan di dalam bahasa The Way Forward. Apabila kerangka itu diubah ke dalam bahasa pengurusan, sains dan teknologi asing, maka bahasa itu hilang makna bahkan menjahilkan ribuan anggota masyarakat.

Kejahilan ini sedang diulangi. Anak-anak sekolah ter­asing ke dalam bahasa kebangsaan dan bahasa asing­ dalam pendidikan mereka. Sekali gus mereka akan ­mengulangi keterpisahan zaman kolonial ke dalam perbezaan kelas-kelas sosial.

Para pemimpin amat jahil akan iktibar tamadun besar Arab yang terdidik dalam satu bahasa al-Quran. Bangsa Jerman cukup mempunyai seorang Martin Luther dan John Calvin menterjemah bible Latin dan membina ke­agungan bahasa dan bangsa Jerman. Hanya seorang Newton dan Beacon diperlukan untuk berfalsafah dalam sains di England dan menurunkan ilmu ke dalam seluruh lapisan masyarakat. Bangsa itu bertransformasi menjadi agung dalam peradaban bahasa sendiri.

Perhatikanlah! Kegagalan menurunkan ilmu dalam bahasa Melayu, tunggulah kehancuran kuasa dan organisasi politik Melayu. Apa perlu parti politik Melayu jika anggota masyarakat tidak lagi sedar sebagai Melayu?

PROFESOR DATUK DR. ZAINAL KLING ialah tokoh akademik.