Sejak dua tiga tahun ini, berpuluh bahkan beratus bot nelayan asing telah diperlakukan sedemikian rupa.

Walaupun tindakan agresif itu dibantah keras pada mulanya, tetapi atas nama melindungi ekosistem Indonesia, penguatkuasaan itu berjaya. Dan disanjung dalam kalangan nelayannya.

Difahamkan, andai gerombo­lan kecil tiga nelayan asing menyusup perairan Indonesia hanya dalam beberapa jam, mereka pasti pulang dengan hasil lumayan - mengaut keuntungan RM70,000 hasil tangkapan marin.

Indonesia sebuah ne­gara kepulauan ter­besar di dunia dengan 17,504 pulau dan 95.181 kilometer per­segi garis pantai. Sebanyak 80 peratus penduduknya hidup di kawasan pesisir dan bergantung pada ekosistem laut. Laut tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan masyarakat Indonesia.

Begitupun menurut data 2012, hanya 5.3 peratus terumbu karang Indonesia tergolong dalam keadaan sangat baik. Bakinya, 27.18 peratus baik, 37.25 peratus sekadar hidup manakala 30.45 peratus lagi buruk.

Tetapi sejak penguatkuasaan ‘letup kapal nelayan penceroboh asing, tenggelamkan’, terumbu dan batu karang perairan Indonesia bercambah dan mekar kembali.

‘Malang’nya impak daripada ketegasan Indonesia itu, nelayan Vietnam menjadikan perairan Malaysia sebagai mangsa mereka. Nelayan Vietnam gerun mendekati perairan Indonesia, bimbang bot mereka diletupkan.

Dan dari pengamatan mereka, undang-undang negara ini berbeza dengan Indonesia. Kalau ditangkap pun, hukumannya setakat bayar denda. Atau paling tidak pun dipenjara enam bulan sahaja. Ini tidak memberi kesan langsung kepada nelayan Vietnam yang rata-rata miskin dan hidup melarat. Duduk dalam jel pun, boleh dapat makan percuma.

Namun masalahnya, akhbar ini difahamkan, apabila nelayan asing ditangkap menceroboh, ti­dak cukup bukti pula untuk mensabitkan me­reka.

Ini jugalah dilema yang dihadapi oleh nelayan tempatan.

Kerap kali nelayan kita bertembung dengan bot pukat tunda di perairan. Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Ah Phang’ yang pernah ditemui akhbar ini di Sekinchan, Selangor baru-baru ini memberitahu:

“Malam-malam dia tidak akan pasang lampu dan nombor le­sen bot di hadapan akan ditutup. Tetapi kita boleh mendengar deruan enjin bot. Selalunya kita jumpa sekitar pukul 2 atau 3 pagi. Waktu itu, semua orang tengah lena,” katanya.

Seorang lagi nelayan menamakan dirinya ‘Mat Piah’ mengadu, dia pernah meraih pendapatan lumayan dari hasil laut di pesisiran Kuala Selangor sebelum kegiatan pencerobohan bot pukat tunda yang berleluasa di kawasan itu.

Kini dia hanya berupaya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Mungkin gaji saya tidak sampai RM30 pun sebab kawasan saya jaring tadi sudah ditarik pukat tunda yang telah ceroboh zon kami malam tadi,” katanya.

Kerana itu, tidak peliklah dengan pendedahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Ma­ritim Malaysia) bahawa negara ini kerugian antara RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat hasil lautnya dirompak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar yang ditemui kelmarin mengakui selama 13 tahun beliau bersama agensi penguat kuasa itu, cabaran besar didepani bukanlah isu kegiatan pelanunan atau rompakan di laut.

“Tapi lebih besar lagi kerana pencerobohan nelayan asing. Bukan sahaja kehilangan hasil laut malah memusnahkan ekosistem perairan Malaysia.

“Mereka tarik pukat ganding dan perangkap gemuk guna besi pencakar sapu habis karang dan lantai ekosistem laut,” katanya.

Dalam aspek ini, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menyediakan kapal induk kepada agensi itu supaya operasi penguatkuasaan dapat dijalankan secara efisien.

Zulkifli turut mengingatkan anggotanya sendiri supaya tidak menggadaikan sumber negara semata-mata mahu memenuhkan poket sendiri.

“Dalam sesebuah organisasi akan terdapat anggota yang ‘nakal’, pada mulanya baik tetapi kemudian dipengaruhi sikap negatif dan akhirnya terjebak (dengan rasuah).

“Susah kalau ada anggota sen­diri yang belot, jual maklumat sebab itu Maritim Malaysia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui memorandum per­sefahaman pada 15 Februari 2015, diikuti dengan tekad Ikrar Bebas Rasuah,” kata Zulkifli lagi.