Ketagihan yang dibisingkan itu adalah membeli-belah secara dalam talian (online). Panas juga telinga saya, apabila mereka ini asyik mengata dan mengaitkan orang perempuan dengan perangai sakan ‘bershopping’ sampai tak ingat dunia!

Ada yang menyalahkan teknologi, – “Siapalah yang panda-pandai mencipta ini semua? Sekarang tengah-tengah malam pun isteri aku boleh shopping.”

Ada yang bercerita, setiap hari sebaik pulang saja dari kerja mesti ada bungkusan yang sampai di rumah atau dibawa balik oleh isteri dari tempat kerja. Bukan bungkusan yang kecil tetapi yang besar-besar semuanya.

Malam-malam, sebelum tidur pula, si isteri asyik membelek-belek telefon pintar, melihat-lihat produk-produk online yang boleh dibeli lagi dengan alasan semuanya murah-murah harganya.

Kata si suami, perbuatan itu berlanjutan dari bulan ke bulan sehingga makan tahun. Dan akhirnya, membuatkan perbelanjaan rumah menjadi overspent walaupun dengan alasan barang-barang yang dibeli itu lebih murah daripada yang dijual di luar.

Pening kepala suami dibuatnya. Memanglah ada sesete­ngahnya bukan duit suami yang keluar, tetapi baru sahaja beberapa hari dapat gaji, si isteri mengadu duit sudah habis.

Salah seorang turut mengadu, duit yang sepatutnya dibayar untuk perkara yang lebih penting, bayaran upah untuk penjaga anak contohnya, yang dibayar oleh isteri kerana suami membayar perkara-perkara lain, akhirnya terpakai dan tidak dapat dibayar isteri.

Ada yang mengadu, si isteri minta pula duit daripada­nya untuk membeli barangan secara online itu, dengan alasan murah saja. Tetapi kalau semua barang yang murah itu dibeli, akhirnya dalam diam tak diam, tidak sedar duit yang dibelanjakan mencecah ribuan ringgit sebulan.

Membeli secara dalam talian memang tidak nampak duit itu keluar, tetapi sedar-sedar sahaja wang dalam akaun bank sudah tinggal beberapa ringgit sahaja.

Perkara-perkara sebegitu, kata para suami, akhirnya boleh membawa kepada pertengkaran dan bermasam muka. Maka, boleh juga dikatakan ketagihan berbelanja secara online ini boleh mengakibatkan rumahtangga bergoncang.

Mana tidaknya, kalau ekonomi rumahtangga tidak stabil dan merudum, perhubungan suami isteri dan keharmonian pun turut terjejas.

Saya juga mempunyai akaun pembelian secara online. Memang kalau kita tengok, harga-harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding harga di kedai atau gedung beli-belah dan ditambah pula penghantaran percuma.

Pun begitu, walaupun harganya murah, berpada-padalah. Takkan bila murah, yang tidak perlu pun mahu dibeli. Yang akhirnya menjadi satu pembaziran kerana tidak digunakan, saja-saja beli hanya terpengaruh dengan harga murah.

Dalam pada itu, membeli secara dalam talian juga perlu berhati-hati. Tidak semuanya sama dalam gambar dan kua­liti pun kita tidak boleh menilai melalui gambar. Ada juga barang yang sampai tidak sama seperti yang diiklankan, saiz dan warna tidak sama. Dalam gambar cantik, di luar buruk. Ada juga yang dipesan lain, dapat pula barang lain. Ini juga secara tidak langsung boleh membawa kepada pembaziran.

Sebenarnya, kalau hendak cakap pasal beli-belah secara online, orang lelaki pun apa kurangnya. Kalau perempuan asyik membelek barangan kecantikan atau hiasan rumah, orang lelaki pula ada yang membeli aksesori kenderaan kereta dan motosikal yang harganya bukan murah-murah, ada yang beli mainan robot Transfomer atau lego kononnya untuk anak, tetapi sebenarnya untuk dirinya sendiri. Yang ini bukan membazir, hobi pula katanya.

Memang teknologi banyak membantu. Kemudahan se­perti ini amat menyenangkan semua. Tidak perlu ke hulur hilir membuang masa mencari barang yang diinginkan. Tetapi teknologi juga boleh menyusahkan kehidupan kalau tidak digunakan dengan baik. Kalau dah sampai bergaduh-gaduh suami isteri dan ada yang sampai bercerai, apa hal?