Penemuan itu ternyata tidak menggembirakan Korea Utara yang melalui Dutanya di Malaysia, Kang Chol mula melemparkan pelbagai kecaman kepada kerajaan Malaysia. Penahanan dua suspek wanita dalam kes itu turut meresahkan negara komunis tersebut. Berikutan itu, Korea Utara mengambil tindakan di luar batas diplomatik apabila menuduh Malaysia berkonspirasi dengan pihak luar bagi memburuk-burukkan negara itu.

Kenyataan biadab Kang Chol ternyata tidak boleh diterima. Beliau dan kerajaan Korea Utara didesak oleh Malaysia untuk meminta maaf. Kang Chol dan negaranya berdegil, beliau akhirnya diisytiharkan Persona Non Grata oleh kerajaan Malaysia. Kang Chol meninggalkan Malaysia Isnin lalu sebelum tamat tempoh 48 jam yang diberikan oleh kerajaan negara ini.

Ketegangan tidak berakhir di situ, Korea Utara bertindak balas. Kejadian yang berpunca daripada satu peristiwa pembunuhan kini menjadi ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara. Tidak cukup bertindak balas dengan mengisytiharkan Duta Malaysia ke Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad sebagai ‘persona non grata’, negara tersebut turut menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara republik berkenaan.

Tindakan Korea Utara itu sudah dianggap melampau dan terkutuk kerana mahu menjadikan rakyat Malaysia sebagai tebusan. Berikutan itu, Malaysia terpaksa bertindak balas dengan menyekat rakyat Korea Utara meninggalkan negara ini. Persoalannya, apakah selepas ini?

Sudah pastilah dalam isu ini Korea Utara sepatutnya menghormati kedaulatan dan undang-undang Malaysia. Mereka tidak sewajarnya menjadikan satu kes jenayah ibarat ‘agen saraf VX’ bagi ‘membunuh’ hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Malaysia hanya melaksanakan apa yang sepatutnya sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi undang-undang. Jong-nam dibunuh, maka siasatan perlu dijalankan untuk mengetahui punca dan siapa pelakunya, itu sahaja tujuan negara ini.

Malangnya, kematian Jong-nam yang dianggap pesaing kepada adiknya yang kini menjadi pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un meresahkan negara tersebut. Sepatutnya apabila abang kepada seorang pemimpin utama sesebuah negara dibunuh sudah pastilah negara berkenaan mahu tahu siapa yang terlibat.

Bagaimanapun dalam kes Jong-nam, ia terbalik. Korea Utara tidak berpuas hati dengan kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan termasuk menangkap dua suspek wanita. Mereka menolak keputusan bedah siasat yang dijalankan secara telus dan profesional. Korea Utara mahu kerajaan negara ini menyerahkan mayat Jong-nam dan mengisytiharkan ia sebagai kematian mengejut.

Ternyata sekali, Korea Utara begitu takut apabila kematian Jong-nam diklasifasikan sebagai pembunuhan terancang. Apatah lagi seperti mana dilaporkan cubaan membunuh lelaki tersebut gagal sebelum ini, sehingga Jong-nam meminta pemerintah Korea Utara tidak membunuhnya.

Justeru apa yang dilakukan oleh Malaysia adalah tepat. Kerajaan Malaysia sama sekali tidak harus tunduk dengan apa juga tekanan, serangan atau tindak balas Korea Utara. Sejarah sudah membuktikan Malaysia tidak pernah mahu bermusuh dengan sesiapa. Apa juga masalah yang wujud cuba diselesaikan dengan penuh berhemah melalui saluran diplomatik.

Namun Korea Utara tidak faham erti diplomasi. Mereka mahu Malaysia mengikut perintah kerajaan negara komunis itu seperti mana pemerintahan kuku besi yang dijalankan oleh Jong-un. Dalam bahasa mudah, Korea Utara mahu menggunakan pendekatan diplomatik ala agen saraf VX - yang membunuh mangsa perlahan-lahan. Sepatutnya Korea Utara menghargai apa yang Malaysia lakukan dalam menangani kes Jong-nam, bukannya mahu tunjuk samseng seolah-olah Malaysia sebuah negara yang boleh diperkotak-katikkan.

Oleh itu, Malaysia perlu tegas dalam berhadapan dengan isu tersebut dan setakat ini ­ketegasan Malaysia sudah terserlah. Apa yang kerajaan mahu lakukan sekarang adalah memastikan 11 rakyat negara ini yang kini menjadi tebusan di Korea Utara dibawa pulang dengan selamat. Malaysia tidak akan memperbodohkan diri seperti mana dilakukan oleh Korea Utara apabila menjadikan satu kes pembunuhan bertukar episod perbalahan diplomatik apatah lagi meng­heret rakyat tidak berdosa sebagai mangsa.

Jika Korea Utara jujur dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pembunuhan Jong-nam maka mereka tidak perlu bagaikan ‘cacing kepanasan’. Sebaliknya, mereka harus berunding secara baik dengan Malaysia bagi memastikan kes pembunuhan tersebut diselesaikan secara profesional dan telus. Ini termasuklah juga mengizinkan pihak polis Malaysia menangkap suspek-suspek yang kini berlindung di Kedutaan Korea Utara.

Namun melihat kepada tingkah laku Kang Chol dan pegawai-pegawai Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur adalah jelas ada sesuatu yang tidak kena. Mereka bermati-matian mahu kes kematian Jong-nam tidak disiasat, manakala dua suspek yang ditahan dibebaskan.

Ini menimbulkan persoalan apakah pembunuhan itu sememangnya mempunyai kaitan dengan agenda perebutan kuasa di Korea Utara? Kita hanya boleh mengandaikan sahaja tetapi apa yang pasti ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara perlu di­selesaikan dengan sebaik-baiknya.

Menyentuh soal ini diharapkan semua pihak menyerahkan kepada kerajaan menyelesaikan krisis ini sebaik mungkin. Jangan ada mana-mana pihak terburu-buru membuat kenyataan apatah lagi tindakan yang boleh memudaratkan keadaan.

Kita perlu yakin dengan ke­upayaan kerajaan bagi menangani isu ini. Tidak perlu ada mana-mana kelompok cuba mencari publisiti murahan atau berusaha meraih populariti politik dengan melakukan tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Apapun Kabinet akan membuat keputusan penting pada Jumaat ini. Sama-samalah kita tunggu hasilnya, tetapi apa yang kita mahu lihat Malaysia tidak tunduk dengan corak diplomatik ala agen saraf VX Korea Utara.