Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bagaimana Rasulullah menyambut kemerdekaan

KEMERDEKAAN dari perspektif sirah sangat signifikan dengan peristiwa pembukaan Kota Mekah. Islam sering menggunakan istilah pembukaan yang merujuk kepada maksud kemerdekaan.

Salah satu surah di dalam al-Quran dinamakan surah al-Fath iaitu pembukaan. Surah al-Fath menjelaskan sebahagian daripada perjalanan Rasulullah SAW untuk memerdekakan bumi Mekah. Peristiwa pembukaan kota Mekah sarat dengan pengajaran yang boleh menjadi panduan kepada kita dalam meraikan Hari Kemerdekaan ke-57 negara.

Ketika memasuki Kota Mekah di hari kemerdekaannya, Rasulullah sentiasa menundukkan kepala baginda kerana menzahirkan kesyukuran dan ketundukkan kepada Allah SWT yang menganugerahkan nikmat yang sangat bermakna ini.

Rasulullah tunduk hingga janggutnya mencecah belakang unta tunggangannya. Rasulullah terus menerus membaca surah al-Fath di hari kemerdekaan kota Mekah. Semoga kita juga banyak membaca surah al-Fath sepanjang sambutan bulan kemerdekaan.

Antara agenda utama yang direalisasikan oleh Rasulullah di hari kemerdekaan Kota Mekah adalah membersihkan Bai­tullah daripada sebarang amalan-amalan syirik. Ini mengisyaratkan kepada kita bahawa nilai-nilai akidah adalah perkara asas dalam mengisi kemerdekaan.

Agama seharusnya dipasak kemas untuk menjadi sandaran dan panduan dalam apa jua program sambutan kemerdekaan.

Bukankah kemerdekaan negara ini dinikmati di atas darah para pejuang kita terdahulu, bukankah agama yang menunjangi kekuatan para pejuang terdahulu? Bukankah surau, sekolah agama, madrasah menjadi titik mula ke arah pencarian sebuah kemerdekaan, amat malang jika agama dikesampingkan ketika kita mengisi dan menyambut kemerdekaan? Seharusnya di dalam menyambut kemerdekaan jauhilah perkara-perkara kemaksiatan dan kemungkaran.

Semarakkan dengan acara-acara patriotik yang menginsafkan khususnya kepada golongan muda-mudi. Almarhum Ramadan al-Butiy menegaskan di dalam Fiqh Sirah: "Muslimin seluruhnya wajib berada dalam keadaan memperhambakan diri kepada Allah sama ada dalam keadaan senang mahupun susah, lapang atau sempit, gagah atau lemah. Sebaliknya bukan sifat muslim sekiranya melahirkan hina dan lemah diri kepada Allah hanya di waktu sesak dan sempit.

Bila sesak dan sempit sudah hilang, di saat itu mabuklah kembali dengan riang dan ria, seolah-olah dia itu bukanlah orangnya yang sebelum ini menadah tangan berdoa memohon supaya segala kesempitan dihapuskan."

Perpaduan, persamaan sesama manusia, kesanggupan melupakan sengketa lama adalah petunjuk wahyu baginda dalam peris­tiwa pembukaan kota Mekah.

Rasulullah di dalam khutbah baginda menyatakan : "Tidak ada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu baginya Dia telah membuktikan kebenaran janjinya Dia menolong hambanya. Dan dibinasakan bersendirian musuh-musuh-Nya yang bersatu, segala perbalahan dan dendam kesumat atau menuntut bela tamatlah hari ini . Wahai orang-orang Quraish sesungguhnya Allah telah menghapuskan sikap membangga-banggakan keturunan atau membesar-besarkan nenek moyang kerana semua manusia adalah anak cucu Adam dan sedangkan Adam dijadikan daripada tanah"

Rasulullah telah membaca ayat 13 surah al-Hujurat yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya.

Rasulullah juga telah bersabda: "Sesiapa yang memasuki Masjidilharam maka dia selamat" "sesiapa yang memasuki rumah Abi sufian maka dia selamat" sedangkan Abu sufian amat memusuhi Rasullullah, Abu Hubairah yang hampir dibunuh oleh Saidina Ali telah dimaafkan oleh Rasulullah dengan perantaraan Ummu Hani.

Bayangkan Hindun Utbah yang telah membelah dada Saidina Hamzah dengan penuh kezaliman juga menerima maaf daripada Rasulullah sehingga Hindun sendiri akhirnya mengucap dua kalimah syahadah.

Sebelum merdeka dan selepas merdeka sentimen perkauman telah memberi kesan buruk kepada kestabilan negara. Mengapikan-apikan kemarahan atas sengketa lama seharusnya dielakkan.

Sememangnya, kepelbagaian bangsa dan etnik di negara kita amat mudah mengheret kita ke kancah permusuhan kaum. Justeru, semua kaum seharusnya bersedia melupakan sengketa lama demi meneruskan kelangsungan pengisian kemerdekaan negara ini.

PENULIS ialah Pensyarah di Kolej Komuniti Gerik, Perak

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain